SAYA tidak sabar berkongsi suatu berita gembira dengan pembaca budiman sekalian kali ini. Kisahnya adalah mengenai sekumpulan jemaah haji kita menerima pujian pihak berkuasa kita dan Arab Saudi kerana menyertai kempen kebersihan di tanah suci baru-baru ini.

Arab News melaporkan pujian pihak berkuasa terhadap teladan yang dipamerkan kumpulan jemaah kita di kawasan khemah di Mina, dekat Makkah.

“Terkenal di seluruh dunia kerana imej kesantunan dan disiplin mereka, jemaah Malaysia yang berjumlah 30,200 tahun ini menyertai gotong-royong ketika masyair pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah,” lapor Arab News.

Mereka mengutip sampah di sekitar khemah, menjadikannya kawasan paling bersih pada musim haji tahun ini. Perlu disebut sikap terpuji ini berlaku dalam keadaan mereka diuji dengan ancaman ribut pasir yang melanda kawasan berkenaan, mengakibatkan banyak khemah rosak dan bekalan elektrik terganggu.

Pada masa sama, pihak berkuasa di tanah suci, dengan kerjasama jemaah, berjaya melancarkan fasa pertama projek percubaan “Haji Hijau” tahun ini. Digelar “Haji Tanpa Plastik”, inisiatif ini juga dijalankan di sebahagian khemah di Mina.

Beribu-ribu pekerja dan kumpulan sukarela menyertai usaha mengasingkan plastik daripada sampah biasa ketika lebih 2 juta selesai menunaikan haji.

Usaha untuk meningkatkan kualiti kebersihan alam semula jadi akan diperluaskan pada musim haji tahun depan. Alhamdulillah dan tahniah. Tabik spring untuk jemaah haji Malaysia menyumbang ke arah kebersihan sambil yang menaikkan imej negara kita di mata dunia.

Saya teruja dengan sikap gotong-royong jemaah kita membersihkan khemah kerana ia sesuatu yang “luar biasa”; luar biasa, kerana, maaf cakap, orang kita kerap sangat dikaitkan dengan kekotoran dan kemalasan, bukan kebersihan dan rajin.

Jadi apa yang kita lihat dan baca ini membuktikan sangkaan buruk orang terhadap orang kita selama ini tidaklah betul. Kita pun ringan tulang, suka bekerjasama, bergotong-royong, menjaga kebersihan, tidak berkira dalam menyumbangkan tenaga, fikiran dan wang ringgit.

Jadi, kita tidaklah malas dan pengotor seperti disangka setengah pihak; harap begitulah dan sayugialah kita terus mempertahankan imej bersih dan martabat kita ini hingga ke bila-bila.

Saya dan saya percaya pembaca budiman juga, sangat tidak suka apabila melihat taman, pusat bandar, flat, tapak pasar malam kotor dan berselerak dengan sampah. Tandas dan bilik air tidak perlu disebut lagilah.

Di mana sahaja; restoran, sekolah, pejabat, pusat membeli- belah, gerai, malah - segan nak sebut - surau dan masjid pun bagai tidak sah kalau tidak kotor.

Yang lebih kita tidak suka apabila perkara begini dikaitkan dengan orang kita, seolah-olah segala yang kotor mesti kerja orang kita. Tetapi, suka tidak suka, kita perlu mengakui ada juga kebenarannya dalam andaian, tuduhan dan sangkaan setengah pihak.

Cuba lawat kebanyakan kawasan flat, tapak pasar malam, kawasan rehat dan rekreasi, sebilangan tandas awam dan tandas surau.

Saya rasa, tidaklah patut selama-lamanya kita patut dihumban dengan tuduhan yang memberi imej negatif.

Ini sudah hampir masuk tahun 2020, tahun sepatutnya negara kita mencapai taraf negara maju. Cukup-cukuplah dengan tuduhan dan andaian demikian.

Ramai daripada kita sudah menjadi rakyat prihatin yang mahu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan rakyat beberapa negara yang selalu disebut sebagai teladan setiap kali isu positif seperti rajin dan bersih jadi perbincangan.

Tidak perlu lihat orang lain sebagai contoh. Kita pun rajin, kita pun bijak, kita kreatif dan inovatif. Kita boleh utamakan kebersihan dan berusaha ke arah mewujudkan suasana sihat dan bersih setiap masa, bukan hanya ketika di tanah suci, bukan hanya ketika disuruh.

Kita mahu sentiasa bersih di luar, bersih di dalam. Kita rakyat Malaysia, tentunya kita boleh. Insya-ALLAH!

Selamat menyambut Hari Kebangsaan.