SEJAK kebelakangan ini, hampir setiap hari kita baca atau dengar cerita berkaitan dengan amaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada perasuah dan mereka yang bersekongkol.

Hampir setiap minggu ada sahaja individu, daripada kakitangan rendah jabatan dan agensi kerajaan hingga ke peringkat atasan, disoal siasat, direman atau dihadapkan ke mahkamah atas perbagai kesalahan melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.

Berdasarkan kes terbaru di Johor, pegawai-pegawai dari jabatan berkaitan agama juga tidak terlepas daripada perhatian dan tindakan suruhanjaya itu.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kelmarin, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anaknya Ahmad Zukhairi mengaku tidak bersalah bersubahat dan menerima rasuah RM550,000.

Mohd Arif dituduh bersubahat dengan anaknya untuk menerima rasuah daripada sebuah syarikat solar elektrik berhubung Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, pada Ogos lalu.

Ini bukan kes besar yang pertama dan tentunya bukan kes besar terakhir SPRM dalam usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dengan tindakan demi tindakan yang diambil SPRM, jelaslah kepimpinannya dari dahulu hingga kini tidak sekadar memukul tin kosong.

Kita masih ingat amaran yang diberi Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad, kepada mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa sejak dilantik ke jawatan itu pada 1 Ogos 2016.

Kepada penjawat awam di semua peringkat, kepada ahli politik dan wakil rakyat, amarannya ringkas tapi tajam: “Hentikannya dengan kadar serta-merta sebelum SPRM bertindak”.

SPRM juga mengenal pasti faktor utama yang mendorong gejala rasuah semakin berleluasa. Ia disebabkan sikap tamak golongan yang berkuasa dan kedudukan sama ada di kalangan mereka yang berjawatan tinggi mahupun rendah.

Beliau juga mengingatkan bahawa SPRM akan memberi fokus kepada usaha-usaha dan tindakan tegas bukan sahaja mengheret perasuah ke mahkamah, bahkan merampas semula harta-harta yang diperoleh hasil daripada gejala rasuah.

Dzulkifli berharap tindakan SPRM dalam usaha memerangi rasuah secara menghukum dan mencegah akan dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Namun, perkara ini agak mustahil sekiranya rakyat tidak bekerjasama dengan SPRM.

Justeru, rakyat perlu sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah. Ini kerana isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM harus dilihat bersama rakyat dan sebagai pembela rakyat.

Memang benar, usaha memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi adalah usaha secara kolektif dan tidak harus diletak atas bahu sesebuah agensi penguatkuasaan sahaja.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang tidak kurang tegasnya dalam menjalankan tugasnya ketika menerajui suruhanjaya itu, turut memuji kepimpinan SPRM sekarang, yang disifatkan sebagai berjaya menyambung perubahan menerusi transformasi dilakukan pada 2010.

Sebelum ini, katanya, SPRM berdepan masalah aspek siasatan lambat, sabitan kes kurang dan siasatan yang sukar atas kes-kes besar.

Beliau sendiri mengakui siasatan kes melibatkan rasuah biasanya mengambil masa lama, iaitu tidak kurang dari 16 bulan hingga dua atau tiga tahun.

Sudah sampai masanya kita lupakan sahaja terus bertanya SPRM setakat mana ia bersungguh-sungguh menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Lupakan dahulu amalan sekadar mengulangi ingatan kepada SPRM supaya jangan tangkap bilis sahaja, tangkaplah jerung sekali.

Apa jenis jerung yang kita mahu SPRM tangkap untuk kita puas hati?

Kini jelas SPRM sudah pun melakukan apa yang ia mampu.

Kita harus sedar dan hargai usahanya yang gigih walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan masalah dalam menjalankan pemantauan, siasatan, pengumpulan bukti dan pendakwaan.

Berat bahu kita memandang, berat lagi bahu SPRM memikulnya.

Jadi, kita patut kurangkan rungutan, tuntutan, sebaliknya berilah kerjasama, sokongan dan lebih penting, maklumat untuk SPRM bertindak secara berkesan.

Sudah-sudahlah. Kita tidak mahu lagi dengar negara kita dinamakan sebagai antara negara yang mempunyai 'skandal rasuah paling teruk' di dunia seperti yang diberikan oleh foreignpolicy.com, iaitu sebuah bahagian di bawah Washington Post Company dua tahun lalu atau ‘anugerah’ yang serupa oleh pihak-pihak penyelidikan.