SEPERTI wartawan koresponden Malaysia lain, saya dihantar ke London untuk melaporkan cerita-cerita yang ada kaitan dengan negara sendiri. Kebanyakan cerita yang saya laporkan adalah mengenai kenyataan-kenyataan perdana menteri, menteri-menteri atau ketua-ketua jabatan kerajaan yang melawat United Kingdom (UK) dan kejayaan pelajar-pelajar kita di luar negara.

Usaha mendapatkan maklumat bagi berita membawa saya ke merata bandar di UK@Britain. UK meliputi England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. Ramai juga pelajar dan pegawai Malaysia yang saya temui ketika membuat jelajah ke hampir seluruh UK dalam tempoh sembilan bulan di sana.

Malah, saya mengambil peluang menemu ramah beberapa rakyat Malaysia yang sudah bermastautin di UK sejak 40 ke 50 tahun yang lampau. Kebanyakan mereka adalah kelasi kapal yang memutuskan untuk terus membina keluarga di negara orang. Bahkan, ada beberapa kawan wartawan saya yang pergi ke UK pada 1980-an dan memilih untuk kekal di sana hingga ke hari ini.

Antara personaliti yang saya temu ramah adalah Yusof Islam, penyanyi, pencipta lagu, dermawan, dan aktivis di bidang pendidikan yang mengguna nama Cat Stevens sebelum memeluk Islam pada 23 Disember, 1977.

Saya bertemu dengan Yusof di Pusat Islam yang dikendalinya. Isterinya, Fauzia Mubarak Ali (kelahiran Nairobi, Kenya) dan dua orang anak mereka ada bersama ketika itu. Hari ini, pasangan itu mempunyai enam anak, empat daripada mereka perempuan.

Bersama saya menemu ramah Yusof seorang rakan wartawan, juga dari Malaysia, yang menghubungi pihak Pusat Islam itu untuk membuat janji temu. Yusof yang saya jumpa hari itu tidak menepati watak dan penampilan Cat Stevens yang saya kenali melalui buku-buku dan akhbar. Beliau seolah-olah bukan seorang penyanyi yang pernah dikenali; lahir di London pada 1948 sebagai Stephen Demetre Georgiou, daripada ayah berbangsa Greek dan ibu berbangsa Swedish.

Yusof yang saya jumpa itu berjubah dan berjambang, lebih kelihatan seperti orang Timur Tengah daripada orang putih. Sebutan perkataan-perkataan Arabnya juga cukup fasih. Beliau menjawab salam saya dengan senyuman dan memeluk saya sebagai saudara seagama, sebelum menjemput saya dan rakan wartawan duduk di pejabatnya.

Saya sudah banyak membaca tentang latar belakang Yusof Islam; bagaimana beliau kagum dengan azan yang berkumandang ketika bercuti di Maghribi. Juga tentang kisah beliau menjerit ketika di lambung ombak: “Wahai Tuhan, jika Engkau selamatkan aku, aku akan berkhidmat untuk Mu”, ketika beliau hampir mati lemas di pantai Malibu, California, Amerika Syarikat pada tahun 70-an.

Saya juga membaca kisah beliau menerima al-Quran sebagai hadiah hari jadi daripada abangnya sendiri, David Gordon, yang mengamalkan fahaman Judaisme, yang turut menjadi asbab untuk Yusof mendalami Islam.

Dalam pertemuan kami pada pertengahan 1989 itu, saya tidak mahu bertanya Yusof mengenai hidupnya sebagai selebriti yang diakui tidak memberi makna dan ketenangan kepadanya. Saya pernah membaca bagaimana dia lupa diri akibat tenggelam dalam tepuk-sorak ribuan peminat ketika beraksi di pentas, tapi kembali rasa sunyi dengan jiwa kosong ketika berada seorang diri.

Hanya kira-kira sejam bertemu ramah, waktu Zohor pun masuk. Kami hentikan perbualan dan terus menunaikan solat berdua. Yusof menjadi imam. Saya tidak pasti sama ada isteri beliau solat bersama ketika itu.

Masa tidak mengizinkan kami menemu ramah Yusof lebih lama kerana beliau mempunyai jadual yang ketat, mengendalikan kerja berkaitan sekolah dan Pusat Islam  dan memenuhi undangan memberi ceramah dan berjumpa dengan pihak berkaitan.

Namun, masa diberikan itu cukup untuk kami memahami kegiatan yang beliau jalankan, semuanya untuk kepentingan ummah dan mengembangkan Islam di Britain. Beliau menekankan tentang peranan dan harapannya untuk menggerakkan aktiviti sekolah untuk masyarakat Islam di UK walaupun terpaksa mengharungi banyak halangan dan rintangan.

Antara lain, saya masih ingat sepatah kata Yusof pada temu ramah itu tentang kehebatan Islam. Katanya, setengah orang tidak nampak keistimewaan yang ada kepada Islam kerana Islam dating kepada mereka dengan mudah, sedangkan orang yang baharu mendapat hidayah seperti beliau melihat Islam itu ibarat mutiara yang tersangat tinggi nilainya.

Atas kegigihannya memperjuangkan keamanan tanpa mengenal letih, Yusof dianugerahkan dua ijazah kedoktoran dan hadiah daripada dua pertubuhan yang diasaskan oleh Presiden Pertama Soviet Union, Mikhail Gorbachev.