SEORANG rakan yang saya jumpa baru-baru ini merungut tak habis-habis tentang harga ikan yang dia terpaksa bayar apabila makan malam di sebuah hotel di sebuah pulau tidak berapa lama dahulu.

“Saya tak akan makan lagi di hotel itu,” katanya penuh penyesalan.

Saya dengar sahaja ceritanya, tanpa menunjukkan apa-apa reaksi atau membuat apa-apa komen, apa lagi untuk mentertawakannya.

Maklumlah, dia sangat marah dengan apa berlaku ke atas dirinya. Bahkan dia rasa bukan setakat ditipu, malah diperbodohkan.

Ceritanya begini. Dia pergi memancing di kawasan pantai tidak jauh dari hotel empat bintang dan dapatlah seekor ikan seberat kira-kira 2 kilogram.

Seronoknya dia tidak terperi. Panjanglah ceritanya penuh pera-saan kepada anak isteri bagaimana dia berjaya menangkap ikan itu.

Dipendekkan cerita, dengan bangganya dia pun bawa ikan itu ke hotel, terus ke dapur hotel, serahkan ikan itu kepada tukang masak untuk dimasak untuk dia turun makan dengan isteri dan dua anaknya yang berusia dalam lingkungan 8 ke 10 tahun.

Mereka pun duduk pada satu sudut dan makan makanan yang diminta, bersama ikan yang dipancingnya sendiri.

Habis sahaja makanan dan baru sahaja hendak bersandar kerana kekenyangan, bil pun sampai.

“Apa? Saya kena bayar RM400 untuk ikan itu saja? Bukankah ikan ini ikan saya? Saya yang pancing sendiri. Saya hanya upah awak untuk masak ikan itu!” bersemburan soalannya kepada tukang masak.

Soalannya tidak berjawab. Pelanggan-pelanggan lain di restoran hotel itu sudah memandang ke arahnya.

Mahu tak mahu, dia terpaksa berlagak seperti gentleman. Kata orang, berani buat beranilah tanggung.

Dia pun bayar RM400 sebagai upah kepada tukang masak yang memasak seekor ikan yang dia sendiri pancing.

Sampai habis ceritanya kepada saya, saya tidak kata apa-apa kerana separuh terkejut dan tidak tahu apa hendak kata.

Tetapi dalam kepala saya, timbul beberapa persoalan yang saya pilih untuk jawab sendiri.

Kenapa tak tanya dahulu tukang masak itu upah yang akan dikenakan? Berapa ramai lagikah pelanggan yang sudah terkena dan akan menjadi mangsa taktik kotor tukang masak atau pihak pengurusan hotel itu?

Sebenarnya kawan saya bukan-lah seorang sahaja yang mengalami pengalaman pahit seperti itu.

Macam-macam cerita yang pernah dengar tentang makanan mahal dan upah perkhidmatan yang tinggi.

Hanya minggu lalu dua keluarga dilaporkan mengalami pengalaman ‘mengerikan’ yang agak sama dengan apa dialami kawan saya itu.

Yang ini bukan di pulau, tetapi di sebuah restoran di sebuah kawasan utama di Kuala Lumpur.

Seperti yang diceritakan melalui The Star Online, dua keluarga itu terkejut apabila empat ketul kepala ikan yang dihidangkan kepada mereka berharga RM600.

Maknanya, satu mangkuk kepala ikan berharga RM150. Itu tak masuk lagi bayaran untuk nasi, sayur, ayam dan minuman yang kesemuanya berjumlah RM1,000.

“Harganya sangat mahal. Saya tak akan ke restoran itu lagi,” katanya, sambil nasihatkan orang lain supaya jangan makan di restoran itu.

Masalahnya, keluarga ini tidak mengadu kepada pihak berkuasa dan tidak pula menamakan restoran yang caj melampau itu.

Saya tidak terkejut kalau selepas ini, akan ada pula pelanggan lain yang jadi mangsa. Wallahuaklam!

Maka, saya nasihatkanlah sesiapa yang rasa dia tertipu, segeralah lapor kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dan orang lain tidak terjerat pula.

Kepala ikan memanglah ada kalanya mahal, tetapi biasanya dalam RM50 atau lebih sedikit semangkuk. Kalau sampai dah RM100 ke atas tu, kira dah melampaulah!

Tetapi, seperti kawan saya yang bayar RM400 untuk seekor ikan miliknya sendiri, keluarga yang makan di restoran Kuala Lumpur ini perlu salahkan diri mereka sendiri.

Kenapa tidak tanya harga dahulu? Kenapa tidak minta menu sebelum buat order? Apabila main order sahaja kepala ikan tanpa soal jawab, dan terima bil, kita yang sakit kepala!

Kenapa setengah daripada pelanggan terkena? Andaian saya mudah sahaja. Segelintir daripada kita selalunya masuk restoran tidak mahu nampak seperti kedekut atau berkira.

Jadi, mereka masuk, duduk, order dan makan; tidak tanya satu soalan pun tentang harga. Itulah jadinya.

Marilah kita hayati nasihat orang tua-tua kita, iaitu sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Peribahasa Inggeris juga ada mengingatkan, yang diterjemahkan berbunyi: “Janganlah menangis ke atas susu yang sudah tumpah”.