SAYA pening memikirkan isu pengharaman penggunaan polisterina dan beg plastik yang heboh sekarang. Apa yang saya tahu, tindakan itu bertujuan mengurangkan penggunaannya untuk menjaga alam sekitar, tetapi berdasarkan apa yang sedang berlaku, mampukah pihak berkuasa mencapai matlamatnya?

Penggunaan bahan itu dikuatkuasakan di Selangor mulai 1 Januari lalu.

Lima hari kemudian, saya pergi membeli sedikit barang di sebuah pasar raya di Shah Alam.

Sampai sahaja di kaunter bayaran, si juruwang bertanya: “Mau beg plastik ka?”

“Tak mau”, jawab saya dan terus mengeluarkan bekas dari dalam poket dan mengisinya dengan barang-barang yang saya beli.

Tetapi maaf cakap, saya lihat kebanyakan daripada pelanggan yang ada ketika itu selamba memilih untuk membayar 20 sen bagi mendapatkan beg plastik untuk mengisi barang-barang belian mereka.

Adalah juga seorang dua yang tidak mahu beg plastik kerana membeli dua tiga barang sahaja.

Keadaan di pasar malam dan pasar juga sama. Barang-barang diisi dalam beg plastik, bahkan ia diberi percuma.

Macam mana boleh jadi begitu? Siapa untung, siapa rugi dalam hal seperti ini?

Mengapa setelah pengharaman dikuatkuasakan beg plastik dan polisterina masih digunakan?

Barangkali pihak berkuasa masih mahu memberi tempoh kepada pengguna dan peniaga. Kita tunggu dan lihat.

Saya mengalu-alukan amaran Kementerian Wilayah Persekutuan yang bertekad mengenakan kompaun maksimum RM2,000 ke atas peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik dan polisterina mulai 1 September 2017.

Tempoh sembilan bulan itu, saya kira, lebih daripada cukup untuk mendidik masyarakat berkaitan perkara itu.

Kalau ikut kenyataan Pengerusi NGO Kumpulan Alam Sekitar Malaysia, Yasmin Rasyid, larangan penggunaan bahan polisterina itu perlu dikuatkuasakan di semua negeri.

Memang wajar pun. Tidak guna kalau hanya beberapa negeri menguatkuasakan larangan itu kerana matlamat untuk tidak mengguna bahan pencemar alam sekitar itu tidak akan dapat dicapai secara berkesan.

Beberapa negeri sudah menyuarakan keazaman menghalang penggunaan beg plastik dan polisterina dalam tempoh antara enam bulan dan setahun akan datang.

Universiti Sains Malaysia (USM) juga pernah menjadi universiti awam pertama tidak menggunakan bahan polisterina, termasuk sebagai bekas makanan, dalam kalangan warga kampusnya. Syabas!

Saya percaya institut pengajian tinggi lain turut mengambil berat perkara yang penting kepada negara dan masyarakat ini.

Tetapi sama ada dengan semakin banyak pihak dan lebih cepat ia dilaksanakan mampu menyelamatkan alam sekitar daripada ancaman bahan pencemar ini pada kadar yang memuaskan adalah satu perkara lain.

Kalau berdasarkan kepada apa yang sedang berlaku di depan mata, masih banyak nampaknya boleh diperdebatkan.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap acuh-tak-acuh sebahagian daripada masyarakat dalam mematuhi undang-undang berhubung dengan banyak perkara.

Yang ketara adalah yang berkaitan dengan penggunaan jalan raya, pembuangan sampah, penggunaan tandas awam dan pengawasan tempat rekreasi, antara lain.

Justeru, apa sahaja undang-undang dan peraturan yang mahu dikuatkuasakan, sikap masyarakat untuk menerima dan memberi kerjasama sepenuhnya perlu turut ditekan dan disemai oleh pihak berkuasa. Wallahuaklam.

Dalam usaha mencapai matlamat menjaga alam sekitar melalui halangan penggunaan beg plastik dan polisterina, saya nampak dua bentuk tindakan yang wajib diperkenalkan.

Pertama, setiap pengguna yang membawa bekas mengisi barang selain daripada beg plastik ke pasar raya patut diberi kredit walaupun sekadar 10 sen.

Kedua, pasar raya boleh menyediakan bekas kertas sebagai pengganti kepada beg plastik dan polisterina, seperti yang diamalkan di beberapa negara.

Malah, ada negara yang terus mengamalkan sistem tiada bekas langsung.

Maknanya, pembeli perlu membawa bekas sendiri atau menerima barang tanpa bekas langsung.

Saya teringat ketika membeli kentang di pasar terbuka Portobello, London, lebih 25 tahun lalu.

Terpinga-pinga saya apabila peniaga memasukkan kentang yang saya beli dari alat timbang terus ke dalam tadahan tangan saya kerana saya tidak membawa bekas.

Rupa-rupanya peraturan tiada bekas untuk pelanggan itu sudah lama dikuatkuasakan di sana.

Ia nampak seperti tidak mesra pelanggan, tetapi ia meninggalkan kesan mendalam. Wallahuaklam!