SAYA sangat tidak suka pergi ke kebanyakan pesta sebab di samping tidak tahan dengan kesesakan, ia lebih kepada buang duit dan masa sahaja.                         

Adalah juga sekali saya ke Pesta Pulau Pinang beberapa tahun lalu atas desakan kawan-kawan.

Bukan setakat buang masa berjalan dari gerai ke gerai, malah dipaksa naik merry-go-round.

Kering darah apabila buaian mencapai kelajuan maksimum hingga nampak bumbung flat di sekitar tapak pesta.

Terbayang dalam fikiran apa akan jadi sekiranya rantai buaian tiba-tiba putus. Kalau tercampak ke atas bumbung flat  dan hidup, tak apa lagi. Tapi kalau jatuh atas besi-besi ceracak atau kepala terhantuk ke batu, akibatnya saya mencatat sejarah mati di tapak pesta.

Yang saya suka adalah pesta@karnival buku, terutama oleh Karangkraf, kerana banyak pilihan bahan bacaan dan diskaun tinggi.

Cakap pasal pesta, hanya kelmarin saya terbaca mengenai pesta bir terbesar dijadualkan di Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Oktober.

Menurut sebuah akhbar Inggeris, penganjurnya menjangkakan pesta itu menarik 6,000 orang, jauh lebih ramai daripada jumlah tahun-tahun lalu.

Penganjuran pesta ini tidak menyenangkan Pas, yang menyifatkannya sebagai pesta maksiat. Ada portal yang menganggap sambutan pesta itu menggemparkan dan mengundang kemarahan umat Islam.

Pesta serupa dimulakan pada 2012, untuk merayakan pembua-tan bir di Malaysia, yang dihadiri 200 pengunjung. Ia diadakan sekali lagi pada 2016 dengan menyediakan 150 jenama arak dan kehadiran mencecah 3,500 orang.

Tahun ini, penganjur membawa 250 jenama arak daripada 43 syarikat arak untuk memenuhi cita rasa pengunjung serata dunia.

“Kita tidak sanggup Kuala Lumpur dikenali dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia,” kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor, melalui Harakah Daily.

Walaupun penganjur beralasan ia adalah aktiviti untuk bukan Islam dan untuk mempromosikan pelancongan, katanya, ia tetap tidak patut diadakan di Malaysia.

Malaysia, katanya, telah menjadi destinasi strategik untuk aktiviti bebas kepada masyarakat luar seperti tidak ada sekatan undang-undang dan peraturan.

Menurut Dr Riduan, jika penganjuran tahunan ini berjaya, tidak mustahil aktiviti yang berskala lebih besar akan diadakan pada tahun-tahun akan datang.

“Apa jaminan keselamatan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti akan berlaku jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain? Walaupun penganjur dikatakan akan bekerjasama dengan Uber melalui pelancaran kempen Don’t Drink & Drive di mana para pengunjung akan menerima kod pengangkutan Uber mereka untuk pergi balik ke pesta tersebut, sesiapa boleh beranggapan mungkin banyak aksi lain yang berlaku sehingga terpaksa menempatkan anggota keselamatan berkawal di lokasi terbabit,” katanya.

Pendedahan demi pendedahan mengenai kemungkaran oleh pelbagai pihak membuktikan telah banyak kepincangan berlaku di negara ini, katanya.

Beliau bertanya sama ada Better Beer Festival 2017 adalah aktiviti terlepas pandang oleh kerajaan atau sengaja dibiarkan bagi mengabui mata serta memenuhi kehendak segelintir masyarakat yang dahagakan budaya liar dan hedonisme.

Namun bagi umat Islam yang prihatin, katanya, tidak ada suara yang dapat mengungkapkan perkataan terhadap penganjuran pesta tersebut  melainkan bantahan keras dengan memastikan ia tidak diadakan di ibu kota.

“Kebencian masyarakat terbanyak terhadap aktiviti maksiat juga perlu dipandang berat dan diraikan, bukan hanya meraikan keinginan segelintir manusia yang memuja nafsu,” katanya.

Ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi, ketika ditanya Malaysiakini, sama ada akan mengadakan protes terhadap penganjuran pesta minum arak itu, disebut sebagai berkata: “Kita akan fikir, tengok dulu keadaan”.

Sementara itu, seorang exco Selangor, seperti dipetik Oriental Daily. berkata: “Ini adalah negara demokrasi. Pas boleh terus membantahnya tetapi acara itu tetap berjalan.”

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker pula membidas Pas kerana tidak menghormati kebebasan bukan Islam seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Pas jangan mempermudah masalah sosial dengan memilih acara tertentu dan mengatakan ia akan membawa kepada tindakan tidak bermoral, jenayah dan keganasan."

Katanya, perbuatan tidak bermoral yang berlaku di Kelantan, umpamanya, menunjukkan moral dan jenayah bukan disebabkan oleh satu dua acara sahaja.

Menurutnya, adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi sesiapa yang mengguna sensitiviti atau kemarahan sebagai ancaman untuk mencapai hasrat mereka mengenai sesuatu perkara.

Kini, ada lebih tiga minggu lagi sebelum pesta minum arak itu akan diadakan. Dalam tempoh yang panjang demikian, macam-macam boleh berlaku dan diperkatakan. Wallahuaklam!
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SELURUH negara terkejut menerima berita kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, yang mengorbankan 23 nyawa Khamis lalu.
  • SEBELUM dan selepas Harimau Muda bergelut mati-matian dengan Gajah Perang di final bola sepak KL2017 di Stadium Shah Alam malam tadi, semua jalan utama di sekitar bandar raya itu jadi sesak sesesaknya.
  • MALAM Ahad lalu, saya menyertai majlis pertemuan semula kakitangan Jabatan Keselamatan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) buat kali keempat sejak jabatan itu diwujudkan 47 tahun lalu.
  • SAYA sungguh rasa bingung - bagaimana kes-kes buli boleh terus berleluasa walaupun amaran sentiasa diberi dan tindakan selalu diambil pihak berkaitan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.