SEBELUM dan selepas  Harimau Muda bergelut mati-matian dengan Gajah Perang di final bola sepak KL2017 di Stadium Shah Alam malam tadi, semua jalan utama di sekitar bandar raya itu jadi sesak sesesaknya.

Demikianlah keadaan lebuh raya dan jalan raya kita sejak dahulu kala. Setiap kali ada temasya dan perayaan, maka merangkak-rangkaknya kenderaan kita berbatu-batu jaraknya.

Tetapi dengarnya sudah ada perancangan memberangsangkan yang katanya akan dapat menamatkan igauan pengguna jalan raya tidak lama lagi.

Andainya tercapailah apa yang dicanangkan itu, bermula Januari 2018, sistem tol di negara kita akan jadi tersangat canggih. Pemandu dikatakan tidak lagi terpaksa memperlahankan kenderaan mereka di plaza.

Pada masa ini, semua plaza tol di Malaysia telah pun melaksanakan sistem elektronik tanpa tunai bagi memudah dan mempercepat pergerakan kenderaan.

Tetapi, bermula Januari depan, hanya lima bulan lagi, anda mungkin boleh ucapkan selamat tinggal kepada penggunaan kad Touch n’ Go  dan SmartTAG di plaza tol.

Sebagai ganti, pihak berkuasa akan perkenalkan sistem teknologi pengecam frekuensi radio (RFID). Sistem pembayaran digital terbaru yang menggunakan Kuti-pan Tol Elektronik (ETC) berasaskan RFID ini akan gantikan sistem sedia ada.

Dengan sistem ini juga, pengguna jalan raya hanya perlu memasang tag khas pada kenderaan dan melalui plaza tol tanpa perlu memperlahankan kenderaan, apa lagi memberhentikannya.

Dengan sistem ini, sensor di plaza tol akan mengesan tag dan debit secara automatik. Mak-nanya, sistem ini dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu-lintas di plaza tol.

Sistem baharu ini akan diap-likasikan secara berperingkat.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dilaporkan sedang men-jalankan percubaan untuk sistem baharu ini sebelum membuka peluang kepada orang ramai untuk menggunakannya seawal 28 Januari hadapan. Harapkan begitulah!

Tag RFID  ini telah digunakan oleh polis dan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan perkhidmatan ambulans. Di kesemua perkhid-matan ini yang dimulakan di lapan kawasan tol di Lembah Klang itu, mereka dikecualikan daripada membayar tol.

Sistem terbaru ini serupa dengan sistem Electronic Road Pricing (ERP) yang digunakan di Singapura atau Australia.

Selaras dengan sistem ETC berasaskan RFID yang baharu, LLM juga merancang untuk melak-sanakan sistem multi-lane free flow (MLFF) atau yang akan menjadikan plaza tol tidak mempunyai lorong.

Sistem MLFF dapat memastikan aliran lalu-lintas yang lebih cepat kerana pengguna jalan raya dapat melepasi plaza tol tanpa perlu memperlahankan kenderaan.

Setiap plaza tol akan mempunyai sekurang-kurangnya satu lorong yang disediakan untuk menguji sistem baharu ini. Pihak berkuasa kemudiannya akan meluaskan penggunaannya ke lebih banyak lorong apabila ia terbukti berkesan.

Tag RFIS itu akan berfungsi seperti Touch ‘n Go iaitu nilai kredit ditambah apabila kredit rendah.

Bagaimanapun, sistem debit secara langsung sedang dikaji di mana tag akan disambung ke akaun bank pemilik supaya bayaran tol boleh dipotong terus daripada akaun mereka.

Nampaknya LLM sudah sedia untuk bergerak ke depan dan memberi perkhidmatan baharu kepada orang awam tidak lama lagi. Berdasarkan persiapan ini, ada kemungkinan tempat membayar tol juga akan ditiadakan langsung di lebuh raya tertentu.

Saya yakin pelaksanaan sis-tem RFID dapat menyelesaikan kesesakan lalu-lintas di plaza tol. Tetapi apakah sistem tersebut mampu menyelesaikan masalah kesesakan di seluruh lebuh raya di negara kita ini?

Pengguna lebuh raya kita masih akan bersesak untuk masuk kawasan Rehat & Rawat (R & R), dan maaf cakap, ada segelintir masih tidak tahu memandu dengan baik.

Dari aspek ini, pembinaan lebih banyak R & R barangkali boleh membantu tetapi sejauh mana masih tidak dapat diramalkan.

Satu lagi masalah yang terus akan menjejaskan pergerakan lancar kenderaan adalah keluasan laluan lebuh raya.

Dari satu aspek, kita boleh rasa bangga kerana kualiti lebuh raya kita dilaporkan menepati piawaian dunia dan setaraf dengan lebuh raya di negara-negara maju.

Lebuh raya kita mempunyai R & R pada jarak tidak lebih 60 kilometer dan menyediakan kawasan letak kereta serta telefon kecemasan pada jarak setiap 2km.

Ia juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang tinggi, termasuk penggunaan Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (Itis) dan pemantauan aliran trafik melalui rakaman tele-visyen litar tertutup.

Namun, dari segi kemudahan, setakat ini, masih sangat sedikit laluan di lebuh raya mempunyai tiga lorong. Lebih banyak laluan adalah dua lorong sahaja.

Maka, kita percaya usaha melebarkan lorong lebuh raya sedang diusahakan juga.    Jika tidak, hasrat untuk membebaskan pengguna lebuh raya dan jalan raya kita daripada kesesakan akan kekal sebagai igauan. Wallahuaklam.