SAYA bukan jenis yang mudah menangis tetapi ketika berdoa selepas tarawih pertama Ramadan tahun ini, tanpa disedari air mata mengalir.

Bukan kerana sedih, tetapi bersyukur ALLAH masih mahu memberi saya peluang bertemu lagi dengan bulan yang penuh berkat ini untuk membolehkan saya perbaiki amal dan terus bertaubat menebus dosa, sedangkan ALLAH boleh sahaja perintah supaya nyawa saya dicabut bila-bila masa.

Sejak awal Ramadan, tidak kurang daripada tujuh orang sahabat saya yang seumur dan lebih muda kembali ke rahmatullah. Moga-moga roh mereka dikumpulkan bersama orang yang beramal soleh.

Saya menyedari dalam usia enam siri ini, kemungkinan untuk saya turut dipanggil kembali menemuiNYA bila-bila masa sahaja lebih besar, walaupun kata orang, kelapa tua tidak semestinya gugur sebelum kelapa muda.

Maka, saya menerima hakikat bahawa bonus usia yang ALLAH beri kepada saya ini merupakan peringatan untuk saya bersungguh-sungguh supaya setiap langkah saya menepati restu ALLAH.

Seperti beberapa rakan saya yang sudah pergi, mahu atau tidak, sedia atau belum, sampai masanya saya juga perlu meninggalkan dunia fana yang penuh dengan sandiwara dan pura-pura ini untuk kembali ke akhirat yang kekal abadi.

Apakah saya akan dipertemukan lagi dengan Ramadan dan Aidilfitri tahun hadapan? ALLAH sahajalah yang tahu dan menentukannya.

Cakap mengenai mati, teringat saya tentang keputusan beberapa rakan sekerja untuk menjadikan saya ‘pelakon segera’ dalam cerita pendek video raya tahun ini.

Tanpa sebarang uji bakat, mereka ‘memaksa’ saya, selaku bidan terjun sebagai seorang ayah yang mati kerana serangan jantung akibat menderita dengan sikap seorang anak derhaka baru-baru ini.

Maka berlakonlah saya di bawah bimbingan rakan-rakan yang jauh lebih muda tetapi ketara berbakat.

Bukan senang berlakon. Rupa-rupanya beraksi sebagai orang mati pun susah juga!

Walaupun tiada dialog, tiga kali pengarah terpaksa ‘cut’ dan saya kena ulangi babak kematian yang singkat itu; dua kali kerana kening bergerak dan sekali kerana saya melenting apabila air masuk hidung ketika ‘mayat’ dimandikan.

Peristiwa ‘mayat’ bangun itu membuatkan semua yang hadir berdekah-dekah, tetapi bagi saya, ia meninggalkan kesan mendalam.

Saya insaf, hanya disebabkan kematian itu olok-olok, saya masih mampu bangun, sesuatu yang sah tidak berdaya saya lakukan apabila saya betul-betul mati nanti.

Tiada syak, semua kita akan melalui pengalaman yang sama apabila tiba masanya. Kita akan mati!

Tetapi sabda Nabi SAW, orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati.

Memang beruntunglah orang yang panjang umurnya dan banyak amalan baiknya, dan rugilah mereka yang panjang umur tetapi buruk amalan.

Termenung saya memikirkan kesan hadis yang dibacakan seorang sahabat di surau dekat rumah selepas Subuh baru-baru ini, yang berbunyi: “Jika kamu tahu mengenai azab akhirat, kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis”.Wallahuaklam!

Saya selalu juga mengingatkan diri untuk memikirkan apa yang mampu saya bentangkan apabila berhadapan dengan ALLAH nanti.

Cukupkah dengan solat lima waktu yang ditunaikan setiap hari dan amalan-amalan lain?

Teringat juga cerita seorang rakan tentang bagaimana manusia berterusan meraikan ulang tahun kelahiran.

“Jika mereka menyedari hakikat bahawa sebenarnya tempoh kehidupan mereka telah berkurang satu tahun, tentu mereka akan menangis, bukan tertawa pada hari ulang tahun hari kelahiran mereka itu,” katanya.

Yang menghairankan, katanya, semakin dekat dengan kubur, ramai semakin kuat berusaha untuk mengumpul harta, walaupun mereka tahu harta itu pasti kita tinggalkan. Perkara yang kita akan bawa, iaitu iman dan amal, tidak pula dititikberatkan.

Nabi SAW ada memberi nasihat bahawa orang paling bijaksana ialah yang paling banyak ingat pada kematian dan membuat persiapan untuk mati.

Jadi orang yang tidak ingat mati bukanlah bijak kerana dia bermati-matian berusaha mengumpul harta untuk menjadi habuan orang lain sehingga terlupa untuk mengumpul habuan dia sendiri di kubur nanti.

Dia menceritakan sebuah kisah mengenai seorang ahli perniagaan yang dianggap berjaya di sebuah negara, membina sebuah rumah tersergam seperti mahligai.

Tapi kerana ajal telah tiba, selepas hanya sebulan, dia pun meninggal dunia dan tinggallah mahligai serta hartanya yang berkoyan-koyan itu dengan jandanya yang muda lagi jelita.

Selepas tamat tempoh edah, seorang hamba ALLAH menikahi jandanya. Mereka hidup gembira berdua-duaan dalam mahligai itu.

"Jadi fikirkanlah, adakah kita mahu harta kita memberi manfaat kepada kita atau untuk menjadi beban penghisaban di akhirat kelak?" tanya rakan saya.

Selamat berpuasa dan selamat berhari raya. Maaf zahir batin kepada pembaca budiman sekalian.

Panjang umur saya, kita akan terus berkongsi ilmu, pengalaman dan cerita hingga ke suatu masa yang ALLAH  tentukan. Insya-ALLAH.