MEMANDU di lebuh raya ketika balik kampung di musim raya terus menjadi fobia setiap tahun kepada saya.

Sebab itu di musim raya, saya pilih waktu yang paling sesuai untuk memandu, iaitu pagi raya. Ada yang tuduh saya mengarut, tetapi memang begitulah hakikatnya. Pengalaman sudah membuktikan kepada saya berulang kali, memandu sebelum subuh di hari pertama hari raya sangat menjimatkan masa dan mengatasi sebarang perasaan stres yang boleh mematikan semangat dan keceriaan musim raya.

Bayangkan, memandu sehari sebelum raya dari Shah Alam ke Ipoh umpamanya, boleh mengambil masa enam jam, kalau tidak lebih.

Tetapi memandu di awal pagi raya pertama hanya mengambil masa dua jam atau bagi yang berani menanggung risiko kena saman kerana memandu melebihi had laju, sejam setengah sudah boleh sampai. Malah, boleh berhenti di masjid pekan kecil seperti Gopeng untuk solat Aidilfitri lagi.

Mereka ingin bersama bangun subuh, makan pagi dan solat hari raya dengan adik-beradik dan sanak saudara di kampung.

Macam kawan saya. Azli, orang Kota Bharu, Kelantan. Dia tahu balik ke Kota Bharu sehari sebelum hari raya adalah satu ‘igauan’. Perjalanannya boleh memakan masa hampir 18 jam.

Ini bukan kali pertama. Perkara yang sama berlaku setiap tahun sejak dia kahwin lima tahun lalu.

Tetapi dia tidak peduli terpaksa merangkak sepanjang perjalanan.

Yang penting dia bersama isteri dan anak-anak tiba di destinasi sebelum pagi raya untuk bersama ibu bapa dan sanak saudara. Biar panas, janji hati puas.

Saya tabik kepada Azli dan mereka yang mempunyai semangat sepertinya.

Bagi saya, tahun ini juga seperti tahun-tahun lalu, berkumpul dengan sanak saudara.

Bersembang dengan sepasukan lapan atau sembilan orang anak saudara hingga larut malam di hari raya sangat memberangsangkan.

Banyak ilmu dan pengalaman dapat dikongsi. Almaklum, anak-anak saudara adalah daripada pelbagai bidang; ada jadi doktor, kontraktor, guru, pakar  teknologi, orang media dan lain-lain.

Dan tajuk perbahasan bebas; kesihatan, pendidikan, politik, agama...apa sahaja!

Masing-masing menegakkan pendirian, namun ‘perdebatan’ berakhir dengan salam mesra dan ucapan ‘Selamat hari raya, maaf zahir batin’.

Sesuatu yang melegakan di musim raya ini adalah sementara kita tumpang sedih dengan tragedi kereta merempuh jemaah mengakibatkan enam orang cedera di luar masjid di Newcastle dan kematian lebih 157 orang akibat letupan tangki minyak di Pakistan, di negara kita tiada tragedi seperti itu.

Walaupun kemalangan di lebuh raya masih terus berlaku dan ramai yang kena denda kerana melakukan kesalahan di lebuh raya dan jalan raya, setakat coretan ini dibuat, tiada kejadian maut melibatkan ramai pengguna lebuh raya. Alhamdulillah.

Kita usaha dan doakan lebih ramai pengguna lebuh raya di negara kita berhemah dan bertimbang rasa moga rakyat kita selamat dan sejahtera. Pandu cermat, jiwa selamat. Jangan jadikan lebuh raya kita pusara di jalanan. Aamiin!