ADA beberapa rakan menghantar mesej kepada saya sejak kelmarin, mengisytiharkan semalam sebagai “Hari Terkejut Sedunia”.

Tidaklah dapat saya baca hati nurani mereka, apakah mereka berseloroh atau sinis, tapi tahulah saya mereka merujuk kepada kes pembebasan Lim Guan Eng atas dua kes berkaitan rasuah.

Kelmarin Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng dalam kes pembelian banglo ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Memanglah keputusan berkenaan mencetuskan kejutan dalam kalangan banyak pihak di seluruh negara dan mungkin di negara luar yang mengikuti kes ini.

Semalaman WhatsApp saya dihujani soalan kenapa kes Guan Eng ini digugurkan, sedangkan kes melibatkan orang lain sebelum ini sangkut.

Bukan mereka tidak tahu saya bukan peguam untuk menghuraikan sebab musababnya secara terperinci. Saya seorang wartawan dan pernah berkhidmat lama juga di bawah pentadbiran orang yang disabitkan dengan kes demikian. Itu sahajalah.

Apa pun, saya jawablah juga setakat yang saya rasa saya tahu, merujuk kepada pihak yang lebih mak­lum.

Saya difahamkan, kes begini terjawab dengan jelas di bawah Seksyen 254 Kanun Prosedur Jena­yah. Ia menyebut bahawa pendakwa awam boleh menolak pendakwaan lanjutan pada peringkat mana pun (tentunya dengan alasan).

Untuk mudah difahami orang awam, ada seorang rakan yang memahami undang-undang memberi andaian. Katanya: “A laporkan  bahawa B sakit ditumbuk oleh C sedangkan B mengatakan dia tidak sakit dan tidak buat aduan. Apakah pihak berkuasa mahu atau boleh dakwa C?”.

Bagaimanapun, saya boleh faham perasaan mahu tahu banyak pihak, sama ada yang faham undang-undang mahu pun tidak kerana kes itu ada iras-iras dengan kes lain.

Orang awam, orang politik, yang agak-agak macam sudah faham, apa lagilah yang tidak faham langsung; semuanya tak sabar nak tahu yang sebenar. Mereka mahu tahu apa yang tersurat dan apa yang tersirat.

Yang menjadi kejutan dan kekeliruan ramai adalah kenapa dalam kes sebelum ini, yang didakwa didapati bersalah dan dikenakan hukuman, tetapi dalam kes Guan Eng, ia digugurkan?

Dan untuk mendapat penjelasannya, mereka menghalakan soalan kepada Tommy Thomas, orang yang dipilih kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggantikan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara selepas PH buat kejutan, menumbangkan kerajaan BN pada 9 Mei lalu.

Thomas dipilih daripada beberapa nama yang disebut-sebut kerana pengalaman luas, ketegasan dan sikap tidak berpihak. Bukan calang-calang orang yang terkejut dan mahukan penjelasan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun terkejut, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pun terkejut sama, orang dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wakil-wakil rakyat, pemimpin-pemimpin politik habis semua jadi terkejut.

Guan Eng kelihatan sangat gembira dibebaskan dan menyifatkan dirinya  bersih daripada palitan rasuah. Tidaklah berani saya kata apakah Guan Eng bersama kaum keluarganya, pemilik banglo dan penyokong-penyokong turut terkejut.

Kata orang putih, sekurang-kurangnya “pleasant surprise”.

Banyak pihak terkejut kerana membandingkan kes ini dengan kes lain. “Mereka (SPRM) berhak terkejut. Saya pun terkejut juga,” kata Dr Mahathir ketika ditanya, kelmarin.

Ramai yang bertanya: “Kenapa yang itu sangkut, yang ini lepas?”. Itulah bentuk hampir semua soalan yang saya terima secara lisan atau WhatsApp.

Sama ada saya jawab atau tidak, sama ada saya memberi pandangan tentang apa yang saya rasakan dan apa yang saya dengar dan percaya, masing-masing yang hubungi saya bagaikan sudah membuat kesimpulan.

Setakat ini, Pas telah mendesak kertas putih dibentangkan di Parlimen bagi menjelaskan pembebasan Guan Eng dalam dua kes berkaitan rasuah itu.

Setiausaha Agungnya, Taki­yuddin Hassan menegaskan kes itu adalah kepentingan awam dan Thomas wajib jelaskan lima perkara, termasuk justifikasi menggugurkan kes berkenaan dan kedudukan kes-kes lain yang serupa.

SPRM pun terkejut dalam kes melibatkan Guan Eng dan bekas pemilik banglo, Phang Li Koon digugurkan. Penarikan balik itu, kata SPRM dalam satu kenyataan, adalah keputusan Pejabat Peguam Negara, bukan SPRM.

Ramai lagilah yang mahu Thomas memberi penjelasan. Pihak PH perlu beri penjelasan cepat kerana MCA sudah pun menggunakan pembebasan Guan Eng itu sebagai isu dalam kempen PRK Balakong.

Senator MCA, Ong Chong Sen mendesak Guan Eng menjelaskan kepada umum mengenai pembelian banglo di bawah harga pasaran itu. “Kenapa penjual sedia menjualnya murah? Orang biasa susah nak berunding untuk dapat harga rendah apabila beli harta. Macam mana Guan Eng dapat begitu murah?” dia bertanya dalam ceramah malam kelmarin.

Pihak berkaitan perlu jawab sejelas-jelasnya supaya semua yang di bandar dan di luar bandar faham dan yang terkejut pun pulih daripada kejutan secepat mungkin.

Ketika menyiapkan artikel ini, saya terbaca kenyataan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang menjelaskan, keputusan bertindak tidak meneruskan pendakwaan ke atas Guan Eng dan Li Koon dibuat tanpa penglibatan Peguam Negara.

Sama-sama kita tunggu penjelasan lebih terperinci kalau ada.