PENANTIAN rakyat untuk menyaksikan bagaimana kerajaan baharu akan bergerak hampir sampai ke penghujungnya. Selepas hampir dua bulan menumbangkan BN pada PRU14, Pakatan Harapan kelmarin membentuk sebuah Kabinet, dengan 25 kementerian dan 26 menteri. Tiga lagi akan dilantik sebagai senator sebelum dijadikan menteri.

Kabinet kerajaan Harapan lebih kecil dibandingkan dengan Kabinet kerajaan lalu, yang mempunyai 36 menteri dari 26 kementerian.

Hampir semua yang dilantik adalah muka baharu, Ramai tiada pengalaman mentadbir kerajaan, tetapi ada kelebihan.

Mereka daripada kalangan profesional dan berkelulusan tinggi.

Saf baharu juga menyaksikan representasi besar kaum wanita dalam kerajaan. Terdapat lima orang wanita sebagai menteri dan empat sebagai timbalan menteri.

Apa pun, biasalah apabila rumah siap, pahat berbunyi. Pemuda DAP dilaporkan tidak puas hati kerana mendakwa pelantikan menteri tidak selari dengan kerusi dimenangi parti-parti terlibat dan tidak menghormati cadangan pimpinan parti bergabung.

Tujuh daripada menteri daripada PKR ada 50 ahli Parlimen, DAP ada enam menteri (42 ahli Parlimen), Bersatu ada enam menteri (13 ahli Parlimen) dan Amanah lima menteri (11 ahli Parlimen). Gabungan PKR dan DAP menguasai 73.6 peratus daripada kerusi Parlimen kerajaan, tetapi hanya diperuntukkan 50 peratus jawatan Kabinet.

Pemilihan menteri dan timbalan menteri bukan mudah macam makan kacang. Harapan diwakili lima parti yang tiada pengalaman bekerjasama, iaitu PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan Parti Warisan Sabah. Bagi Warisan, lima daripada lapan ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

Pemuda DAP menganggap pemimpin Harapan tidak mengikuti senarai calon menteri yang dicadangkan kepimpinan DAP, termasuklah Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan MP Stampin, Chong Chieng Jen.

Namun, bagi sesetengah pemerhati, Kabinet baharu ini menampilkan barisan mantap terdiri daripada pelbagai latar belakang mampu menyuntik harapan dan keyakinan baharu kepada rakyat.

Berdasarkan pecahan dari segi kaum pula, daripada 49 menteri dan timbalan menteri, 31 Melayu (64 peratus) dan 18 bukan Melayu (36 peratus), secara kebetulan hampir menyamai peratusan populasi penduduk negara ini, iaitu 68 peratus Bumiputera.

Jumlah menteri yang lebih sedikit daripada yang dilantik kerajaan lepas disifatkan seiring dengan langkah kerajaan Harapan mahu kurangkan perbelanjaan negara, apatah lagi dalam keadaan kita memikul beban hutang yang banyak.

Mudah-mudahan Kabinet baharu ini jadi seperti apa yang Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli), Tan Sri Ramon Navaratnam sebut, iaitu “Bersih, Cekap dan Kompak”. Kabinet yang lebih kecil, katanya, boleh meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran dan mengurangkan birokrasi.

“Kami berharap Kabinet baharu ini akan mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan lancar. Kabinet yang kecil juga membolehkan perdana menteri dan timbalan perdana menteri memantau setiap kementerian dengan teliti,” katanya.

Letaklah apa slogan pun, yang penting rakyat harapkan mereka mampu belajar selok-belok tugasan dengan cepat dan berkhidmat dengan jujur untuk memenuhi mandat dan harapan tinggi masyarakat. Kita percaya mereka bukanlah daripada golongan yang apa yang disebut dalam peribahasa Inggeris, New broom sweeps clean (Penyapu baharu menyapu dengan bersih).

Kita mahu pemimpin, menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat yang mesra rakyat dan berkhidmat secara berkesan, bukan yang mendabik dada dan tidak tahu berhujah secara sopan. Rakyat tidak mahu lagi mendengar cerita pemimpin, menteri dan penjawat awam yang, antara lain, korup, menyeleweng, salah guna kuasa, boros, membazir, haloba, kongkalikong dan tidak bertanggungjawab.

Rakyat tentunya tidak gemar berurusan dengan mereka yang melakukan tugas secara secara tergopoh-gapah, tidak berfikir secara matang terlebih dahulu dan akibatnya terpaksa buat u-turn. Lebih daripada itu, rakyat meluat dengan pemimpin yang sepatutnya boleh dijadikan teladan, tetapi melakukan perkara-perkara yang memalukan negara di mata dunia dan menyalahgunakan wang rakyat.

Setakat ini, ramai yang percaya mereka yang diberi tugas dan tanggungjawab oleh kerajaan baharu ini jujur dan tidak akan cuba memperbodoh dan menipu rakyat, mengaut wang rakyat untuk tembolok sendiri dan kaum keluarga.

Rakyat pasti akan terus menyokong pemimpin yang sentiasa menjadi semak dan imbang, bukan yang berat sebelah dan menyembunyikan kesalahan anggota kumpulan sendiri. Apakah permintaan itu terlalu banyak dan payah ditunaikan?