HEBOH cerita seorang guru perempuan yang mengamuk, tumbuk-tumbuk meja dan keluarkan kata-kata kesat dalam mesyuarat guru sekolah Cina di Kulim, Kedah, baru-baru ini.

Akibat perbuatannya yang dirakam dan ditularkan itu, guru muda itu dipindahkan segera ke bahagian pejabat untuk mengelak kejadian serupa berulang.

Memindahkan guru itu adalah langkah yang baik memandangkan kelakuan seperti itu boleh menjejaskan imej profesion guru, memudaratkan diri sendiri, guru-guru dan pelajar.

Cuma dalam hal di Kulim itu, tindakan guru berkenaan bukan disebabkan dia buruk perangai, tetapi disebabkan dia mengidap sakit mental.

Sebenarnya, kejadian membahayakan seperti itu pernah berlaku di tempat lain; ada yang kita lupa dan barangkali ada yang tidak dilaporkan.

Tentu ada pembaca budiman yang masih ingat cerita bagaimana 14 guru bertarung dengan nyamuk dan pacat selama 11 jam dalam hutan paya bakau di Pulau Banggi, Sabah, tujuh tahun lalu kerana bersembunyi daripada seorang guru lelaki sakit mental yang mengamuk melibas pedang samurai pada tengah malam.

Kisah orang dirasuk makhluk halus, sakit mental dan histeria memang banyak berlaku, cuma tidak semua dilaporkan.

Saya sendiri pernah menyaksikan beberapa kes histeria dan rasukan makhluk halus termasuk di sekolah dan kilang.

Malah beberapa kejadian meremangkan bulu roma itu melibatkan empat atau lima orang rakan sekampung di zaman remaja kira-kira 50 tahun lampau.

Masih jelas dalam ingatan apa yang berlaku ke atas Mat, kawan baik saya.

Pada suatu pagi, entah apa yang masuk dalam kepalanya, tiba-tiba dia bergegas tanpa kasut ke masjid 150 meter dari rumahnya, meluru naik mimbar dan ‘berkhutbah’ dengan lantang.

Dalam ‘khutbah’ itu, Mat menyanyi lagu zaman pop yeh yeh, Si Cincin Emas dendangan A Rahman Onn dan ‘mentafsirkan’ liriknya.

Mat kaitkan lirik lagu itu dengan Tuhan. “Tuhanlah yang bagi cincin mas ini kepada kita,” dia merapu.

Kawan-kawan bersama orang kampung riuh-rendah. Saya menggeleng.

Kami terpinga-pinga. Nak rapat takut dibelasahnya dengan cokmar. Jelas Mat bukan Mat yang saya kenal lagi. Jelas dia sakit mental. Entah siapa telefon pihak berkuasa. Akhirnya dia dipujuk, diiring turun dari mimbar dan dibawa ke pusat pemulihan.

Hingga hari ini saya tidak tahu di mana Mat berada, masih hidup atau sudah tiada. Menurut orang masjid, dia jadi begitu kerana isim (fikiran terganggu akibat salah tuntut ilmu batin).

Berapa hari lalu, saya nampak Kak Jah pusing merata-rata kota sedang cari anaknya.

Dia ada dua anak lelaki; kedua-dua alami masalah mental selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya 10 tahun lalu.

Yang seorang, kini berumur lebih 30-an, jadi panas baran, tidak makan pujuk, selalu ugut Kak Jah serahkan duit. Dah beberapa kali dirawat, tapi dia lari. Yang seorang lagi suka merayau dan tidur di kaki lima.

Menitis air mata melihat Kak Jah, dalam usianya yang sudah menjangkau 70-an dan pergerakan yang lemah, masih terus bersabar mencari anaknya untuk dibawa pulang beberapa kali setiap hari.

Beberapa tahun lalu, banyak kalilah juga saya saksikan pekerja kilang dan pelajar-pelajar berlari, berguling dan meracau akibat histeria. Selalunya perempuan. Ada yang anggap histeria disebabkan masalah tidak menjaga kebersihan diri. Ada yang dakwa disebabkan cuaca. Ada pula yang kata kurang mendekatkan diri dengan ALLAH. Tetapi ada juga yang histeria bukan beragama Islam. Wallahualam!

Saya difahamkan histeria juga berlaku di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea.

Sebenarnya masalah sakit mental di Malaysia dikatakan semakin merisaukan.

Pada 2016, Institut Kesihatan Umum di bawah Kementerian Kesihatan mengeluarkan laporan hasil Program Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan.

Kajian itu mendapati bilangan rakyat Malaysia yang sakit mental meningkat daripada 10.6 peratus pada 1996 kepada 29.2 peratus pada 2015.

Menurut seorang pakar psikiatri tidak lama dahulu, penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi yang dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada 2020.

Statistik menunjukkan pada 2008, 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan dan jumlah itu terus meningkat di mana 2,000 kes baharu split personality (skizofrenia) dilaporkan setiap tahun.

Ini bukan gurauan, tetapi fakta yang perlu diberi perhatian serius.

Juga dilaporkan pesakit-pesakit mental yang dimasukkan ke hospital hanya mewakili 1 peratus daripada jumlah keseluruhan mereka yang sakit mental di negara ini.

Bezanya, kebanyakan pesakit yang dirawat rapi di hospital adalah yang mengalami sakit mental kronik.

Selebihnya, iaitu mereka yang mengalami penyakit mental lain seperti kemurungan, kebimbangan dan bipolar, masih ramai hidup bebas dalam kalangan kita semua. Wallahuaklam!