GAMBARAN kepuasan jelas terpancar pada wajah Tipah, janda muda beranak satu, ketika ditemui di sebuah kampung di Chini, Pahang, beberapa hari lalu.

Dia kelihatan gembira dengan kehadiran ramai pelanggan, lelaki dan perempuan, yang pilih untuk singgah di kedai makannya, apa lagi apabila mereka memuji kualiti masakannya.

Walaupun kecil, agak usang, dan terletak betul-betul di tepi jalan kampung yang berdebu, kedai itu menjadi tumpuan kerana menghidangkan masakan menyelerakan.

“Terima kasih. Datang lagi ya!,” ucap Tipah, dengan iringan senyuman. Malah, dalam kesibukan melayan, Tipah mengambil peluang merakamkan gambar bersama pelanggannya.

Kalau anda pasang telinga, memang ramai yang datang makan di kedai Tipah mengiktiraf kualiti masakannya. Tidak hairanlah apabila lauk yang disediakan biasanya habis sebelum pukul 3 petang.

Kedai itu, yang Tipah usahakan bersama adiknya lima tahun lalu, menghidangkan pelbagai masakan, termasuk daging salai masak lemak cili api, patin masak tempoyak, baung masak lemak cili api, tilapia masak goreng berlada, keli goreng berlada, nasi kukus ayam berempah dan kerabu kaki ayam.

Bagaimanapun, jelas bukan semua orang di Chini, khususnya orang politik, suka dengan kehadiran sebahagian orang luar yang datang ke kawasan mereka.

Baru-baru ini pun timbul cerita Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyokong serta petugas diberi peringatan oleh orang Umno supaya jangan masuk berceramah di Pekan kerana ada perasaan resah dalam kalangan sesetengah pihak.

Tapi pada sesi lawatan itu dan di majlis ceramah, sepasukan anggota polis beruniform berkawal di kawasan berkaitan dan seluruh suasana didapati aman tenteram.

Pada ceramahnya di Felda Chini pada hujung bulan lalu, Dr Mahathir menyentuh pelbagai isu, termasuk masalah peneroka, skandal 1MDB, isu berkaitan kleptokrasi, Tabung Haji, KWSP, Bank Negara, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat serta isu kapal Equinimity milik jutawan Jho Low bernilai lebih RM1.1 bilion.

Dr Mahathir menyifatkan kehadiran hampir 3,000 orang pada ceramahnya sebagai petanda Harapan akan menang pada PRU14.

Pemimpin-pemimpin yang ditemui di Chini dan Rompin dilihat bekerja keras untuk memenangi beberapa kerusi di Pekan.

Betul atau tidak, seorang pemimpin Harapan peringkat bahagian, yang pernah jadi ahli Umno, mendakwa ramai pengundi sudah tidak menyokong BN dan Umno.

“(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib sendiri pernah hampir kalah di Pekan. Dia menang hanya dengan 241 undi pada 1999 walaupun beliau anak (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak (Hussein),” katanya,

Najib sendiri mengakui undi rendah itu susulan isu ‘mata lebam’ yang merupakan ‘mimpi ngeri’ kepadanya. Selepas itu Najib kembali mendapat majoriti yang banyak, iaitu 35,613 pada PRU13.

‘Mata lebam’ merujuk kepada kejadian bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipukul semasa ditahan di Bukit Aman.

Apa pun, Umno masih yakin, dengan usaha gigih dan berterusan, Umno mampu meraih undi majoriti 40,000dalam PRU14. Pada mereka, keprihatinan Najib terhadap rakyat Pekan tidak dapat dinafikan melalui pelbagai kemudahan.

Seorang lagi, yang juga tidak mahu dikenali, yakin swing mode dalam kalangan pengundi kekal, pengundi di Dun Ibam dan Bandar Muadzam Shah akan memberi kemenangan kepada Harapan di kawasan Parlimen.

Seorang pemimpin di Rompin mendakwa, Umno kini perjuangkan golongan atasan dan pertengahan sahaja. “Golongan bawahan dipinggirkan, kecuali apabila tiba masa pilihan raya,” katanya.

Pada masa yang sama, dia mengaku bukan mudah mahu jatuhkan Najib di Pekan, kerana pengaruh Najib masih kuat, melainkan lawannya seorang calon tempatan yang disegani kawan dan lawan.

“Tetapi saya yakin, Harapan boleh menang di satu atau dua Dun dengan syarat petugas-petugas Harapan kerja keras,” katanya.

Balik kepada Tipah. Bagi ibu tunggal ini, saat kegembiraannya adalah apabila kedai kecilnya itu dikunjungi ramai pelanggan, tak kira daripada parti mana pun.

Padanya, pendapatan untuk menyara diri dan keluarganya adalah lebih perlu diberi tumpuan daripada melayan sepak terajang orang politik. Wallahuaklam!.