SAYA tak tahu hendak senyum atau menangis selepas menerima mesej ringkas seorang Datuk kelmarin.

“(Kalau boleh) saya nak PRU14 selesai esok,” kata Datuk yang saya kenal lebih 20 tahun lalu.

Beliau hantar mesej itu selepas membaca kenyataan seorang pemimpin yang mendakwa berhadapan masalah menjelang penamaan calon PRU14.

Saya tidak berhasrat membincang satu persatu perkara itu. Cuma saya ingin berkongsi perasaan Datuk itu.

Saya kira, melihat pada apa yang berlaku kebelakangan ini bukan saja Datuk itu yang bimbang dan rimas. Ramai lagi saya percaya berada dalam keadaan sama, tetapi kebanyakan hanya menyimpan dalam dada.

Sementara saya turut berasa rimas dan bimbang, saya sedar di Malaysia ‘kempen’ politik diadakan hampir setiap hari, 365 hari setahun dan 1,825 hari sepanjang lima tahun.

Ia samalah seperti kes kemalangan jalan raya, jenayah dan yang berkaitan penyalahgunaan dadah.

Perkara-perkara yang berlaku dalam dunia politik dan di luar arena politik dalam negara kita hebat-hebat belaka. Dalam kes-kes kemalangan maut rekod Malaysia boleh tahan.

Malangnya, peristiwa-peristiwa itu membuat negara kita popular for wrong reasons.

Contohnya, kehilangan pesawat Boeng MH370, tragedi pesawat ditembak jatuh, beberapa kes pembunuhan, termasuk yang terbaru melibatkan imam Palestin cukup membuat kita bimbang.

Dalam tiga empat hari ini timbul cerita tentang kes tolak-menolak di antara musuh politik, dan membuang serta membakar bendera parti lawan.

Kalau dibandingkan dengan kes-kes di atas, kes-kes yang berlaku sejak PRU14 diumumkan baru-baru ini, seperti dakwaan sabotaj ke atas pesawat yang dijadual dinaiki bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dinafikan pihak berkaitan dan kes penolakan beberapa calon PRU di hari penamaan calon boleh dianggap kecil sahaja.

Tetapi kes-kes ini tetap cukup serius dan menarik perhatian rakyat yang mahu mendapatkan jawapan yang mereka rasa adil dan relevan, bukan sesuatu yang ada agenda tersembunyi atau sebagainya.

Hanya jawapan yang telus dan tulus tanpa menampakkan sebarang percubaan untuk menyembunyikan kebenaran akan mententeramkan rakyat tetapi belum tentu dapat membuat mereka jadi pasif.

Jika difilemkan, banyak daripada kes dan peristiwa yang berlaku di negara ini boleh pecahkan panggung, dengan mudah mengalahkan kemampuan negara-negara lain.

Pembaca budiman hanya perlu baca laporan media untuk membenarkan dakwaan saya mengenai ‘kempen’ tanpa noktah ini.

Dalam tempoh seminggu untuk PRU14 berlangsung, entah apa lagi yang akan berlaku.

Jangan lupa PRU ini dianggap medan pertarungan sengit antara BN dan parti-parti pembangkang.

Walaupun hanya berusia sekitar 20 tahun PKR bukan calang-calang parti yang perlu dihadapi oleh BN.

Ia, bersama parti lain dalam gabungan pembangkang, sudah berjaya menguasai Pulau Pinang, Selangor dan pada suatu ketika, Perak.

Dengan wujudnya Bersatu, yang dipimpin oleh Mahathir yang mempunyai pengalaman memimpin selama 22 tahun, disokong oleh bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa orang kuat yang lama dalam kerajaan dan politik, intelek serta ahli politik muda, cabaran yang dihadapi BN lebih mencabar.

Kalau yang berhadapan cabaran parti lawan itu sebuah parti selain daripada BN, kita sudah dapat ramalkan keputusan PRU kali ini.

Tetapi BN terlalu kuat untuk dicabar, apa lagi dijatuhkan dengan mudah.

Dengan kewujudan selama lebih 60 tahun, pemimpin yang banyak pengalaman dan kuat dari segi pentadbiran dan kewangan, adalah payah untuk difikirkan mereka akan menyerah kalah, apa lagi untuk tumbang dengan mudah.

Sehingga kini, belum ada satu kesimpulan yang kuat yang boleh meyakinkan bahawa BN akan hilang Putrajaya.

Sementara ramai yakin Pakatan Harapan yang menggabungkan empat parti - PKR, DAP, Amanah dan Bersatu - akan mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang, di samping merampas kembali Kedah bersandarkan pengaruh Mahathir dan anaknya, Mukhriz, yang tersingkir daripada kerusi Menteri Besar Kedah dua tahun lalu, tidak ramai yang berani ramal sama ada ia mampu mengambil teraju negeri-negeri lain.

Tetapi kempen masih ada seminggu lagi. Apa yang akan berlaku sehingga masuk hari membuang undi tiada siapa yang tahu. Seperti kata Harold Wilson, seminggu adalah terlalu panjang dalam politik. Apa-apa pun boleh berlaku. Ramalan yang dibuat hari ini boleh berubah esok atau lusa.

Di Malaysia, kempen pilihan raya seolah-olah pesta dan lebih meriah daripada mana-mana perayaan. Kenapa jadi begitu?

Apakah ia disebabkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam negara, tindakan-tindakan yang diambil pihak berkaitan, sikap ahli-ahli politik atau suasana masyarakat majmuk yang kita warisi sejak sebelum mencapai kemerdekaan? Banyak peristiwa boleh berlaku tanpa diduga.

Pergerakan politik Malaysia adalah seperti tsunami yang kemunculan serta kesannya boleh berlaku secara mengejut. Sama-samalah kita ikuti perkembangan politik tanah air dan dapatkan jawapannya nanti. Wallahuaklam!