TAHUKAH pembaca budiman bahawa ada satu keadaan kita boleh pukul sesiapa sahaja kita suka dan tidak akan dihukum?

Kita boleh curi wang atau barang sebanyak mana kita terlarat dan tidak didakwa?

Malah kita boleh lakukan apa sahaja ‘under the sun’ dan tidak akan dipersalahkan?

Tidaklah perlu sakitkan kepala mencari jawapan kepada teka-teki ini kerana kita akan dapat jawapannya sekarang juga.

Segala yang saya sebutkan di atas itu boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja sebebas-bebasnya hanya dalam mimpi dan angan-angan!

Saya menimbulkan cerita ini kerana saya dapati terdapat beberapa kenyataan yang membingungkan saya dari semasa ke semasa, terutama dalam isu-isu politik.

Maafkanlah saya kerana tidak menyebut nama sesiapa pun dalam isu pelik ini kerana tidak sampai hati. Pembaca budiman bolehlah Google kalau mahu tahu lebih-lebih.

Kisahnya, ada hamba ALLAH dakwa Umno tidak perlu tunggu hingga PRU15  lima tahun lagi bagi mengambil kembali Putrajaya daripada Pakatan Harapan.

Alasannya itu disandarkan kepada dakwaan bahawa Pakatan Harapan sedang bermasalah, bergoyang dan retak. Biar betul!

Sejujur-jujurnya saya terkejut dengan kenyataan berani dan keyakinan menggunung seperti itu kerana PRU14 baharu sahaja berakhir dengan BN tersembam dan pemimpin-pemimpinnya masih belum pun betul-betul melakukan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kekalahan parti raksasa berusia 72 tahun itu.

Saya terkejut lebih-lebih lagi kerana kenyataan itu dibuat dalam keadaan Bersatu sedang mencari jalan melebarkan sayapnya ke Sarawak, kerajaan Pakatan Harapan yakin mencapai 2/3 majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat menjelang persidangan pertama pada 16 Julai depan selepas kemenangannya 9 Mei lalu, dan semakin ramai wakil rakyat dan orang BN keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Pakatan Harapan.

Dalam masa sama, keadaan BN bertambah parah; daripada gabungan 13 parti, kini hanya tinggal tiga, iaitu Umno, MCA dan MIC.

Gabungan itu sekarang hanya mempunyai 56 ahli parlimen, dengan 53 daripada mereka mewakili Umno.

Penganalisis dan rakyat umum seperti sealiran dalam mempercayai bahawa BN, kalau pun bernasib baik tidak terkubur, akan terpaksa bangkit berjuang untuk satu masa yang sangat panjang untuk kembali berkuasa sebagai kerajaan pusat.   

Seolah-olah kenyataan yang sangat pelik itu tidak cukup, ada pula satu lagi kenyataan yang menyifatkan kemungkinan Umno bergabung dengan Bersatu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri ibarat ‘ular lidi hendak telan ular sawa’.

Kenyataan itu berdasarkan kedudukan Bersatu yang mempunyai 13 wakil di Parlimen, berbanding Umno yang ada 54 ahli parlimen.

Diambil dari satu sudut sempit, barangkali memang begitulah keadaannya; ular sawa kekal sebagai ular sawa dan ular lidi kekal sebagai ular lidi.

Hakikatnya, ular sawa kini sudah pun kena telan dengan ular lidi dan ular -ular yang disangka kecil.

Kata orang, daripada sebatang pokok yang besar boleh dibuat berbilion batang macis yang kecil, tetapi sebatang macis yang kecil itu mampu membuat seluruh pokok yang besar terbakar.

Dalam isu siapa mampu telan siapa ini, Dr Mahathir pun baharu sahaja bercakap. Jadi biarlah saya masukkan serba sedikit di sini.

Katanya, terdapat banyak permintaan daripada ahli-ahli Umno untuk menyertai Bersatu.

Maka, katanya lagi, ahli biasa Umno boleh sahaja menyertai Bersatu dengan syarat mereka mengisytiharkan sokongan terhadap Pakatan Harapan - dan ramai telah berbuat demikian sejak BN tumbang pada PRU14 lalu.

 Tetapi pemimpin-pemimpin, wakil-wakil rakyat,  maksudnya ahli parlimen dan Adun daripada Umno yang mempunyai hasrat menyertai Bersatu perlu melalui tapisan ketat terlebih dahulu.

Tapisan itu perlu bagi memastikan pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil rakyat daripada Umno memahami terlebih dulu budaya politik dalam Bersatu.

“Budaya kita berlainan dengan budaya Umno. Kalau hendak masuk, kena belajar dan tahu dulu apa budaya kita,” kata Dr Mahathir pada sidang media, semalam.

Nampaknya, dengan lain perkataan, tidaklah begitu mudah bagi pemimpin-pemimpin Umno, parti yang diibaratkan seperti ular sawa itu untuk menyertai Bersatu yang disifatkan sebagai ular lidi sahaja.

Dr Mahathir tidaklah pula perjelaskan apa bentuk tapisan yang perlu dilakukan ke atas pemimpin-pemimpin Umno yang berhajat menyertai Bersatu.

Tetapi bukanlah payah sangat untuk memahami tujuan tindakan Bersatu membuat tapisan ketat itu.

Ia sudah pasti untuk menentukan pemimpin-pemimpin Umno yang berhajat menyertai Bersatu atas alasan yang jujur, bukan menjadi gunting dalam selimut untuk binasakan Bersatu, atau bagi mendapat habuan secara jalan pintas semata-mata. Wallahuaklam!