SAYA ingin sangat nak berkenalan dengan manusia yang memberi nama kepada kapal mewah yang bernilai RM1 bilion itu. Hanya satu soalan yang saya nak tanya.

Apa yang ada dalam kepala otak dia apabila, dia boleh pilih untuk namakan kapal itu Equanimity.

Tidak masuk akal dia tidak tahu apa makna equanimity dan mustahil dia tak dapat bayangkan bahawa kapal yang diharapkan menggamit ketenangan itu akan menderita dilambung ombak akhirnya. Apakah tidak terlintas di fikirannya mana mahu mencari duit selama-lamanya untuk membayar lebih 30 kru kapal, dan mana nak korek RM3 juta setiap bulan untuk selenggara kapal itu.

Saya terfikir, selepas meninjau Equanimity di Pelabuhan Klang baru-baru ini, fikiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terkenal sebagai seorang yang sentiasa berfikiran tenang, pun mungkin berserabut. Rasanya satu atau dua malam beliau tidak dapat tidur awal kerana memikirkan keadaan dan nasib Equanimity.

Pertama, kenapalah ada orang sanggup bina dan beli kapal yang begitu mahal hanya untuk bersantai sahaja. Alangkah baiknya kalau duit sebanyak itu digunakan untuk bina, katakan 20 buah sekolah atau apa-apa projek lain untuk kepentingan rakyat.

Kedua, Dr Mahathir tentu fikir siapalah orang yang bersedia tampil beli kapal mewah itu supaya kerajaan dapat balik duit untuk  bayar hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

Ketiga, mungkin apa yang dilihat dan difikirkan mengenai Equanimity itu boleh turut mewarnai buku Doctor in the House 2.0 yang saya cuba cadangkan ketika Sinar Harian diberi penghormatan berwawancara dengan beliau kira-kira sebulan selepas beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua pada 10 Mei lepas.

Keempat, bila Low Taek Jho atau Jho Low, ahli perniagaan dari Pulau Pinang yang dikaitkan dengan Equanimity itu dan skandal 1MDB akan keluar dari tempat persembunyian dan menuntut Equanimity kalau benar kapal mewah itu miliknya.

Tentu ramai ingin tahu siapakah selebriti dan VVIP yang pernah diundang naik kapal mewah itu, untuk berpesta dalam kapal itu. Saya tengok Equanimity melalui rakaman video sahaja. Semua yang ada di dalamnya, perabot dan lain-lain perkakas, memang mengagumkan. Ruang yang menempatkan katil sahaja jauh lebih besar daripada gelanggang badminton.

Itu pun saya sudah terkedu dan termenung memikirkan siapalah punya idea mewujudkan kapal mewah, yang, walaupun diberi nama Equanimity, ia lebih banyak mencetuskan masalah dan kekecohan  daripada memberi ketenangan.

Kapal yang semahal itu; orang yang berpendapatan RM3 juta sebulan pun tidak mungkin mampu menanggung kos penyelenggaraannya.

Saya ada seorang kawan yang ada sebuah bot kecil yang lama tersadai di sebelah pelantar di Pelabuhan Klang. Dia iklan sana-sini mahu melelongnya dengan harga RM15,000 sahaja. Maaf cakap, sehingga dia meninggal pun bot kecil itu tidak terjual. Inikan pula RM1 bilion.

Kalaulah saya berkesempatan naik meninjau kapal mewah itu, lagilah saya tak dapat lelap berhari-hari. Kalau ia milik saya atau dipinjamkan kepada saya, saya tidak sekadar ajak beberapa kerat selebriti dan VVIP naik untuk berhibur begitu sahaja.

Saya akan mengundang ramai pelakon Hollywood, Bollywood dan Kollywood ikut belayar dari satu pulau ke satu pulau. Atau saya melayan adik-beradik, kawan-kawan dan orang kampung pusing-pusing  perairan negara sampai habis minyak.

Ada kala timbul idea ingin letak kapal itu di tasik Putrajaya, biar ribu-ribu datang menyaksikannya sambil menyumbang untuk tabung bagi menolong kerajaan bayar hutang negara, tetapi dengarnya PM tidak benarkan ia dipamer kepada awam.

Tetapi rasanya lebih baik saya gunakan RM1 bilion, umpamanya untuk membina 1,000 banglo. Saya ambil dua buah; yang lain agih-agihkan kepada saudara-mara, rakan-rakan dan mereka yang memerlukan.

Sekurang-kurangnya 998 keluarga yang dapat banglo percuma akan doakan pagi, petang, siang dan malam sepanjang hayat supaya saya sihat dan panjang umur.

Sejak awal kemunculan Equanimity, saya percaya Jho Low, yang banyak duit itu pun lebih pening, tidak tenang dan mengigau setiap malam.

Tentu dia sudah fikir masak-masak kalau dia balik, apakah dia boleh tuntut kembali kapal mewah itu atau dia kena jawab kepada bermacam-macam lagi kemusykilan dan persoalan yang kerajaan dan rakyat Malaysia tidak sabar hendak tahu.

Dan dalam dua tiga hari ini, timbul pula cerita Bombardier Global 5000, yang dipercayai jet peribadi Jho Low. Jet itu kini ada di Lapangan Terbang Seletar, Singapura. Ia dijangka dikembalikan kepada Malaysia sedikit masa lagi. Jet itu dianggarkan bernilai AS$35 juta (RM143 juta) dengan kadar penyelenggaraan mencapai AS$200,000 setiap bulan.

Katanya, Jho Low naik angin mendapatkan jet itu pun mahu dibawa balik ke Malaysia. Lepas ini, entah apa pula isu memeningkan yang akan muncul. Rupa-rupanya inilah yang  dikatakan orang tua-tua: "Tiada beban, batu digalas!". Wallahuaklam!

Akhir kalam, perlu disebut sejak timbulnya cerita Equanimity lebih dua tahun lalu, selepas berbangkitnya skandal 1MDB yang melonjak nama Malaysia di seluruh dunia, banyak pihak, daripada kerajaan kepada rakyat di kampung, 'merindui' Jho Low kerana lelaki muda berkulit gebu itu mempunyai banyak rahsia untuk dikongsikan bersama semua.

Setakat ini, pemburuan ke atas Jho Low, 37 tahun, yang barangkali kini sudah berjambang atau botak atau berwajah macho atau bertukar menjadi wanita, diteruskan pihak berkuasa. Kita tunggu dan saksikan episod seterusnya.