DAHULU pun insiden begini pernah berlaku beberapa kali, tetapi kali ini nampaknya ia sudah jadi betul-betul riuh.

Banyak pihak, daripada menteri, duta, persatuan, hingga orang perseorangan, semuanya  tampil untuk meluahkan perasaan, membuat komen dan mencari jalan penyelesaian.

Ada juga kawan-kawan yang hantar mesej menyatakan perasaan tidak puas hati; yang maki hamun pelaku-pelakunya kerana menyusahkan orang lain dengan perbuatan tidak berhati perut itu.

Saya percaya pembaca-pembaca  budiman tahu isu yang saya sedang bangkitkan dalam cetusan kali ini.

Ia tentunya kes dera terbaharu melibatkan pembantu rumah Adelina Lisao, yang meninggal dunia selepas didakwa didera majikannya di rumah mereka di Pulau Pinang.

Mengikut laporan, beberapa orang jiran mendakwa pembantu rumah berusia 26 tahun itu dipaksa tidur dengan anjing rottweiler di tempat kereta lebih dari sebulan sebelum diselamatkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berserta pasukannya pada 10 Februari lalu

Adelina meninggal dunia pada Februari 11 dengan kecederaan teruk di kepala dan muka dan luka di tangan dan kaki.

Kes ini menarik perhatian banyak pihak.

Jakarta Post menyebut bahawa berikutan kejadian terbaharu ini, Duta Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana, sebagai berkata beliau telah mencadangkan penghantaran pekerja-pekerja domestik ke Malaysia dihentikan.

Dia juga meneliti penyusunan semula proses pentadbiran pengambilan kerja untuk memperbaiki hubungan diplomatik Indonesia dengan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata itu adalah kes terpencil dan berharap Indonesia tidak menghentikan penghantaran pekerjanya ke Malaysia.

Beliau khuatir tindakan demikian boleh merugikan kedua-dua negara berjiran itu.

Bagi saya, tidak kiralah sama ada pendera-pendera dalam kes-kes begini tidak ada otak atau memang jahat.

Tetapi apa yang sangat menyakitkan hati adalah sikap mereka seolah-olah tidak boleh fikir perbuatan mereka bukan sahaja menganiaya orang, menyebabkan diri mereka sendiri bakal didakwa dan dihukum, tetapi tidak pasal-pasal mencemar nama baik negara.

Dalam dunia moden hari ini dan kempen hak-hak kemanusiaan yang berterusan, di samping tindakan-tindakan tegas yang sudah diambil terhadap pendera-pendera, me-nganiaya orang seperti hamba abdi sepatutnya tidak patut berlaku lagi.

Kes-kes begini mengimbau fikiran kita kepada kisah Kunta Kinte yang kita tonton di TV penghujung 70-an.

Ia mengisahkan lelaki bernama Kunta Kinte dari Juffureh, Gambia, yang diculik pada 1767 dan dibawa bersama mangsa-mangsa culik lain dengan kapal dari James Island ke Amerika Utara, di mana mereka dijual sebagai hamba.

Hari ini banyak negara memer-lukan pekerja asing dan pekerja asing memerlukan kerja untuk menyara hidup mereka dan keluarga di kampung.

Layanan baik terhadap mereka bukan sahaja perlu dari aspek kemanusiaan, malah ia sangat penting bagi memberi gambaran baik kepada rakyat yang memangnya baik dan imej sesebuah negara.

Kita memerlukan pekerja asing dalam pelbagai bidang, termasuk ladang, kilang, kedai makan dan tapak pembinaan. Maka kehadiran mereka patut dihargai dan mereka patut dilindungi selagi mereka tidak melakukan kesalahan.

Sekiranya ada masalah dengan mereka, kita boleh menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menanganinya, bukan bertindak mengikut hukum rimba dan cara yang tidak bertamadun.

Kita sedia maklum melayan orang secara yang bertentangan dengan etika kemanusiaan, termasuk memaksa pekerja bekerja lebih daripada yang patut dan dipersetujui oleh semua pihak berkaitan adalah salah dari segi agama dan undang-undang sesebuah negara atau organisasi.

Tidak ada agama yang merestuai perbuatan zalim dan penganiayaan, bukan sahaja terhadap manusia, bahkan kepada binatang.

Apakah susah sangat untuk segelintir daripada kita fahami perkara yang mudah seperti itu?

Apa pun, semua pihak berkaitan, sama ada pihak berkuasa, penggubal undang-undang, pertubuhan sukarela, bahkan masyarakat umum perlu mainkan peranan secara lebih berkesan agar penderaan, peng-aniayaan dan tindakan-tindakan lain berunsur jenayah dapat dikawal secara efektif.

Jagalah tingkah laku kita untuk mempertahankan nama baik rakyat dan negara kita.

Amat tidak wajar tidak pasal-pasal kita semua menanggung malu dan imej negara kita tercemar hanya disebabkan beberapa kerat binatang yang bertopengkan manusia dalam kalangan kita.

Mengenai perbuatan penderaan perlu disebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencatatkan 4,652 kes penderaan kanak-kanak sahaja dari 2015 hingga tahun lepas dan 581 kes penderaan kanak-kanak melibatkan pengasuh antara 2015 dan Jun lalu.

Daripada jumlah itu, penderaan fizikal mencatatkan kes paling tinggi, iaitu 2,470 manakala 2,012 kes melibatkan penderaan seksual dan 170 penderaan emosi.