SAYA boleh faham kalau kebelakangan ini perasuah dan yang bersekongkol dengan mereka berkeadaan seperti cacing kepanasan. Kini semakin banyak mata sedang teropong mereka.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengheret seorang demi seorang yang terlibat dengan kebejatan rasuah dan salah guna kuasa secara langsung atau tidak dan akan terus mengesan yang lain.

Amaran yang diberi oleh Datuk Dzulkifli Ahmad melalui ucapan-ucapan yang bersemangat sejak beliau menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016 menggambarkan kesungguhan suruhanjaya itu untuk memerangi rasuah habis-habisan.   

Dalam satu ucapannya, beliau mengajak pihak berkaitan bersama berjuang memerangi mereka yang ‘masih buta bertuhankan wang’. Kepada perasuah-perasuah, beliau memberi amaran mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang. Bukan sahaja mereka akan hadapi tindakan bawah Akta SPRM, tetapi juga bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Percukaian Negara.

 “Nasihat saya kepada perasuah-perasuah; hentikanlah (amalan keji mereka),” tegasnya.

Malang bagi perasuah-perasuah ini, mereka bukan sahaja diburu pihak penguat kuasa, malah dicemuh dalam khutbah-khutbah Jumaat dan ceramah agama. Khutbah mengenai gejala rasuah sudah beberapa kali disampaikan di banyak masjid di beberapa negeri. Kalau ada yang belum, eloklah memulakannya. Khutbah tegas begini bukan sahaja dapat mengelak jemaah daripada terlena, bahkan menanam rasa malu, gentar dan keinsafan dalam kalangan perasuah.

Dalam satu khutbah, khatib melontarkan soalan yang menusuk jiwa: “Sampai hatikah pengamal rasuah terus suap makanan haram ke mulut anak isteri yang dikasihi?”.

Memang benar, seperti selalu disebut, kesejahteraan negara sangat bergantung kepada sejauh mana kualiti diri setiap rakyatnya.

Jika rakyat mengamalkan budaya hidup murni berlandaskan ajaran Islam, maka negara akan kukuh dan bertambah maju. Tetapi, jika rakyatnya mengamalkan gaya hidup yang keji seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, negara akan bertambah mundur.

Jumaat lalu, khatib di beribu masjid di Selangor dan mungkin di negeri lain, sekali lagi menyampaikan khutbah yang mengingatkan pengamal rasuah bahawa mereka bukan sahaja akan dihukum di dunia, malah dilaknat ALLAH dan akan dihukum di akhirat.

Islam menganggap rasuah jenayah yang keji sebab ia memberi kesan amat buruk kepada sistem keadilan dan pentadbiran.

Ia mengetepikan hak-hak orang lain demi kepentingan diri. Sumber daripada rasuah kotor dan haram dimakan kerana setiap jasad yang tumbuh daripada sumber haram, nerakalah tempatnya.

Sebelum terjebak dalam perangkap rasuah, setiap insan, sama ada orang politik, penjawat awam atau orang awam perlu fikir manusia yang bergelumang dengan kemewahan melalui sumber haram tidak akan selamat dunia akhirat. Di dunia perasuah sentiasa resah dan dihina, manakala di akhirat mereka dicampak ke neraka. Nauzubillah!

Rasuah adalah satu kezaliman dan merupakan perbuatan khianat.  Statistik laman rasmi SPRM menunjukkan jumlah tangkapan pada 2015 adalah 841 orang, meningkat 57 orang dibandingkan dengan 11 bulan pertama 2016.

Tidak kira ia meningkat atau menurun, amalan rasuah tidak boleh dibiarkan bermaharajalela kerana ia bahaya dan mereka yang terlibat boleh dianggap pengkhianat kepada agama, negara dan masyarakat.

Pengamal rasuah adalah mereka yang bernafsu besar, atau bersifat haloba, mengamalkan cara hidup mewah, mahu cepat kaya dan terikut-ikut dengan gaya hidup rakan sekerja tanpa mengukur baju di badan sendiri. Rakyat benci kepada pengamal rasuah.

Kesungguhan pihak-pihak berkuasa menyelongkar segala sudut yang mungkin kini membuat mereka yang menyorokkan wang berjuta-juta, jongkong emas, jam dan beg mahal dan mewah di bawah katil atau di atas siling sudah tidak ada ruang persembunyian lagi.

Walaupun mereka lakukan lima atau enam tahun lalu dan barangkali sudah bertaubat dan berharap mereka terlepas daripada tindakan undang-undang, mereka perlu terima hakikat bahawa semuanya sudah terlambat.

Tiba masanya mereka akan ditangkap, didakwa dan dihukum.