DENGAN hari buang undi semakin hampir, pengundi semakin giat mengumpulkan maklumat bagi menilai calon-calon PRU14.

Sementara pemimpin dan petugas berkempen bagi meraih sokongan untuk calon masing-masing rakyat mengkaji latar belakang, keupayaan, kredibiliti dan hati budi calon yang akan mereka pilih.

Ini zaman dunia tanpa sempadan. Sangatlah tidak bijak bagi mana-mana pihak cuba menyembunyikan maklumat atau menokok-tambah perkara yang tidak wajar.

Kalau calon ada kecacatan sikap atau amalan, lebih baik angkat tangan dan undur sahaja sebelum dibongkar, didedah dan diheret ke muka pengadilan.

Isu-isu kaum dan agama yang dimainkan untuk menimbulkan kebencian dan menarik penyokong sudah tidak laku lagi kerana pengundi semakin matang.

Hanya yang fanatik yang masih sokong calon yang memang sah tidak layak kerana mempunyai ciri-ciri yang boleh dipersoalkan.

Lebih baik berterus-terang dan tidak masuk gelanggang daripada kalah dan malu.

Negara kita sudah mempunyai ramai muka baharu yang berpotensi menjadi pemimpin yang baik jika diberi peluang, tidak semestinya yang lama dan dikenali.

Yang lama tentunya perlu mendapat pertimbangan kalau mereka telah berkhidmat dengan jujur dan amanah.

Yang terbaik tentunya yang cerdik dan komited demi agama, bangsa dan negara, dengan mengambil kita perpaduan kaum.

Sudah terbukti rasuah, apa lagi yang melampau-lampau, menjejaskan kemajuan dan pembangunan negara serta kehidupan rakyat.

Rasuah menaikkan harga barang, meningkatkan kos hidup dan menghimpit keadaan hidup rakyat marhaen.

Sementara kita mempunyai orang politik yang jujur, kita juga ada yang memikirkan keuntungan material lebih daripada nasib rakyat.

Bagaimana besarnya perubahan yang berlaku dalam dunia politik tanah air hari ini, begitu pulalah perubahan yang dapat dijangka dalam kalangan pengundi.

Bukan saja rakyat akan tolak calon atau wakil rakyat yang korup, tetapi mereka juga akan tuntut wakil rakyat bekerja lebih kuat untuk membela nasib rakyat.

Rasanya, ada baiknya kalau pengundi, di bawah satu payung, menghasilkan manifesto rakyat yang menekankan bahawa mereka akan:

* memerangi calon/wakil rakyat yang rasuah dan bersekongkol dengan perasuah;

* yang buruk perangai dan kata-kata serta cenderung kepada  memainkan taktik jahat bagi mencapai cita-cita;

*  yang tidak turun padang untuk memantau keadaan hidup masyarakat di kawasan masing-masing; dan

* yang memainkan isu-isu agama, keselamatan dan rasis untuk memecah-belah masyarakat bagi mendapat keuntungan politik atau peribadi.

Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa PRU kali ini berjalan lancar, tanpa sebarang keraguan dan insiden tidak diingini.

Mereka yang bermaruah adalah yang menerima kemenangan dengan bersyukur, memperbaiki diri dan menunaikan janji, sementara yang tewas menerima kekalahan dengan sabar dan bermuhasabah!

Pokok pangkalnya, jangan tipu untuk menang. Mereka yang menang dengan cara penipuan dan tidak bermaruah tidak akan hidup tenang dan aman walaupun ada kuasa dan harta.

Pengundi yang pilih wakil rakyat kerana disogok atau kepentingan peribadi akan rasa bersalah semasa hidup dan menjawab kepada ALLAH di akhirat.

Mereka yang memilih wakil rakyat bersandarkan kejujuran akan layari hidup dengan bermaruah dan menjawab soalan dengan yakin di hadapan ALLAH.

Marilah kita beramai-ramai keluar awal untuk mengundi pada 9 Mei ini. Pilihlah calon-calon yang dipercayai benar-benar layak.

Kekalkan jika mereka layak dikekalkan, tolak mereka yang tidak layak dikekalkan.

Masuklah ke pusat membuang undi dengan maruah dan keluar setelah mengundi dengan maruah. Insya-ALLAH!