SEORANG mukmin itu melihat dosanya seolah-olah dia berada di kaki gunung. Dia khuatir gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orangdurhaka melihat dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya. Dia mengusir dengan tangannya, maka lalat itu terbang.” - Hadis.

Cikgu Azmi, yang rajin membuat kaji selidik untuk kepentingan masyarakat, memberitahu saya, tidak lama dahulu beliau menganjurkan kajian mengenai kecenderungan pelancong terhadap arak.

Beliau letakkan tiga orang pelajar di Lapangan Terbang Langkawi. Tugas mereka mudah, iaitu menemui pelancong dan bertanya kepada mereka apakah mereka melawat pulau legenda itu kerana tawaran araknya.

Semua sekali pelajar-pelajar itu menemu ramah 80 pelancong asing yang bukan Islam.

Keputusan kaji selidik itu sangat menarik; 76 orang mengatakan mereka datang bukan kerana arak, tetapi untuk menikmati keindahan semula jadi pulau tersebut.

“Jadi, kenapa kita nak sediakan arak dengan anggapan minuman memabukkan itu dapat menarik pelancong?," kata cikgu Azmi.

Susulan itu, Gerakan Sokong Syariah (Gesa), anjuran gabungan beberapa NGO, iaitu Mapim, Salimah, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Landas menuntut kerajaan membatalkan status bebas cukai ke atas arak di Langkawi.

Memetik dokumen yang pernah dikeluarkan oleh Teras, bertajuk 50 Cara Selamatkan Malaysia, pada perkara ke-23 disebut:

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan industri arak. Bukan sahaja masalah sosial merebak akibat arak malah negara akan berhadapan dengan risiko besar dari segi kesihatan awam dan keselamatan awam jika dibiarkan berterusan. Pemerintah tidak lagi boleh melihat industri arak sebagai penyumbang ekonomi negara sedangkan ia bukan sahaja dosa besar dalam menghalalkannya, malah ia adalah musibah yang sangat berat untuk diatasi jika industri ini dibiarkan berintegrasi dalam ekonomi negara. Haramkan segala pengiklanan dan promosi arak. Banteras arak yang dijual secara pek yang murah yang menyasarkan anak muda untuk mudah membelinya. Semak semua premis penjualan arak dan jangan disambung permit jualan arak bila tamat tempohnya”.

Menurut Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya 45 peratus penduduk dunia tidak mengambil minuman beralkohol.

Status konsumsi arak di Malaysia tiga tahun lalu pula mencatatkan:

* Malaysia sebagai pengguna arak nombor 10 dunia! 45 peratus remaja bawah 18 tahun pengguna arak. Setiap tahun rakyat Malaysia belanja RM1.9 bilion untuk arak.

*  Seramai 200,000 orang adalah penagih arak, dan kematian akibat arak lebih banyak berbanding akibat heroin, dan:

* Sudah banyak negara, termasuk yang bukan Islam, menyedari mudarat arak.

Antara negeri yang mengambil langkah proaktif menyekat merebaknya pengaruh arak adalah Kerala, negeri di barat daya India.

Apa yang menarik ialah, dengan lebih separuh daripada hampir 34 juta penduduknya beragama Hindu dan dengan jualan arak yang memberi hasil banyak kepada kerajaan (cukai dan yuran berjumlah AS$1b (RM3.2 b) pada 2012-2013) dan peniaga arak, kerajaan Kerala tetap bertegas untuk mengharamkan penjualan arak sewenang-wenangnya.

Keputusannya menguatkuasakan pengharaman penjualan arak sejak dua tahun lalu bertolak daripada kesedarannya tentang kesan buruk kepada akhlak dan keselamatan rakyatnya sendiri yang sebahagian mereka sudah menjadi kaki botol.

Pastinya ia sedar gejala minuman arak di negeri itu akan menjadi barah yang merosakkan masyarakatnya dengan lebih parah.

Kedai arak yang diminati ramai yang digerakkan kerajaan juga ditutup secara berperingkat pada kadar 10 peratus setahun untuk tempoh 10 tahun. Sementara aktivis gembira dengan langkah itu, pihak kementerian pelancongannya menganggap isu memansuhkan jualan arak itu adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.

Kementerian mencatat sejuta pelancong antarabangsa setiap tahun dan arak adalah sebahagian daripada diet mereka. Penjualan arak juga membantu menarik sesetengah pihak mengadakan persidangan dan mesyuarat berkaitan perniagaan di hotel-hotel di situ.

Di negara kita, isu berkaitan jualan arak masih tenggelam timbul. Sudah ada teguran dan desakan para agamawan, NGO dan orang awam agar tradisi menyajikan arak dalam pesawat kita dihentikan.

Mereka yang membantah bertegas kecemerlangan perkhidmatan bukan berdasarkan berapa gelen arak kita saji, tapi hidangan makanan berkualiti dan perkhidmatan yang cepat, selesa dan selamat.

Betapa bangganya kita kalau, sebagai negara yang selalu uar-uarkan imej Islam, boleh berdiri dengan yakin dan menyambut pelancong dengan senyuman, sambil berkata: “Selamat datang, tapi kami tidak saji arak di sini! ”