PADA 1974 saya ditugaskan menemu ramah Pesuruhjaya Pakistan ke Malaysia ketika itu, Hafiz M Habibullah, seorang yang berbadan tegap yang kelihatan serius.

Antara soalan yang saya lontarkan adalah berapa banyak negarakah yang beliau sudah lawati.

“Boleh tak anda susun semula soalan anda,” katanya.

Saya agak hairan dengan permintaannya, namun saya lakukan juga apa yang dikehendaki.

“Berapa negara yang tuan tidak pernah lawati?” tanya saya.

Beliau nampak puas hati dengan soalan terbalik itu dan menjawab spontan: “Hanya Yugoslavia.”

Terpegun seketika saya mendengar jawapannya itu, tetapi saya elak meneruskan soalan mengenai perkara itu, takut-takut diminta susun semula soalan!

Saya cuma biarkan fikiran saya menerawang, membandingkan beliau yang sudah menjelajah ke seluruh dunia kecuali sebuah negara, dengan saya yang ketika itu tidak pernah melangkah keluar dari tanah air saya sendiri.

Maka apabila bertemu Pesu-ruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia ke-22, Julia G Bentley, baru-baru ini, saya lebih berhati-hati menyusun soalan, untuk mengelak pisang berbuah dua kali.

Julia jelas seorang yang mesra dan cenderung bertanya dan mendengar penjelasan tetamunya tetapi mempunyai banyak ilmu dan pengalaman yang sedia dikongsikan jika ditanya.

Kira-kira setengah jam selepas berkenalan dan bertukar fikiran, beliau meminta izin berucap kepada 11 tetamu daripada media.

“Good evening - Bonsoir (selamat petang dalam bahasa Perancis).

Datuk-datuk dan datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan, saya sangat berbesar hati untuk menyambut anda semua ke Kediaman Rasmi Kanada (di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur) pada hari ini,” katanya dalam bahasa Melayu, pelat orang putih, tetapi tidak begitu pekat.

Beralih kepada bahasa Inggeris, Julia memberitahu, tidak lama selepas tiba di Kuala Lumpur pada Oktober lalu, beliau dan tiga empat orang pegawainya merancang mengadakan resepsi untuk mewujudkan perhubungan rapat dengan pihak media.

Seminggu sebelum kedatangannya, Kanada, bersama Malaysia dan sembilan negara, menandata-ngani Perjanjian Komprehensif dan Progresif mengenai Perkongsian Transpasifik di Chile.

Beliau juga menyentuh tentang perbincangan mengenai kajian Perjanjian Perdagangan Bebas Kanada-Asean, langkah yang memberi satu lagi ruang untuk merapatkan lagi perhubungan komersial Malaysia-Kanada.

Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, kami bertukar-tukar fikiran tentang perkembangan politik, ekonomi, sosial dan lain-lain secara am.

Tetapi saya lebih ingin tahu pandangannya mengenai perkara-perkara baik dan menarik di Malaysia.

Julia, seperti kebanyakan orang asing, juga gemar makanan yang pelbagai yang terdapat di negara kita, masyarakatnya yang mesra dan keindahan alam semula jadi.

Beliau sudah ke Melaka, Lang-kawi dan Sarawak. Saya cadangkan beliau menjelajah semua negeri di Malaysia untuk menikmati lebih banyak keindahan alam semula jadi dan bertemu ramai lagi orang Malaysia yang baik-baik.

Beliau memberitahu, tren Bombardier di landasan LRT Kelana Jaya adalah dari Kanada.

“Semua kakitangan penerbangan dan kru Air Asia dilatih oleh syarikat Kanada di Subang, Suku daripada pesawat MAS adalah kapal terbang Kanada.

“Kalau anda makan roti kosong banjir kari dal dan soya ais untuk sarapan pagi, ia adalah seperti anda makan gandum, lentil dan kacang soya (yang diamalkan di Kanada) tanpa anda menyedarinya,” beliau menjelaskan.

Julia boleh bertutur bahasa Mandarin hasil daripada tugasnya di Beijing, China, selama tujuh tahun.

“Beliau sedang tekun belajar bahasa Malaysia,” kata seorang pegawainya.

Fikiran saya menerawang lagi. Orang asing yang baharu datang sudah berusaha belajar bertutur bahasa Melayu.

Adalah sangat mengecewakan kalau ada dalam kalangan kita sendiri yang tidak gemar berbahasa Melayu, apa lagi kalau langsung tidak tahu, walaupun sudah bertahun-tahun bermastautin di negara ini. Wallahuaklam!