PADA era moden dan membangun begini, kita ingat dan berharap banyak perkara sudah berubah kepada yang baik atau lebih baik. Malangnya ini tidak berlaku.

Tabiat buruk, vandalisme, keganasan, kebiadaban, pergaduhan atas perkara remeh dan berbagai unsur negatif masih berlaku di mana sahaja.

Anda tidak perlu pergi jauh untuk menyiasat dan mengesahkan perkara begini. Masuklah tandas di tempat-tempat rehat, restoran, stesen bas, malah surau dan masjid; anda akan dapati dinding dan pintu diconteng dengan perkataan-perkataan dan lukisan lucah dan pintu-pintu dan batang paip dikopak serta dirosakkan. Sangat menyedihkan.

Tabiat membuang sampah merata-rata dan memandu secara bahaya tanpa memikirkan keselamatan orang lain tidak perlulah dicakapkan lagi.

Maka, dalam keadaan begini, saya setuju sangat dengan cadangan pihak-pihak yang prihatin bahawa tabiat buruk yang ditunjukkan oleh masyarakat kita ini perlu ditangani secara berkesan melalui kempen bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya mengamalkan nilai-nilai murni.

Memang tepatlah seperti kata aktivis Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataannya bahawa kes-kes buli di jalan raya dan melanggar syarat lalu-lintas, buang sampah dan vandalisme yang berterusan adalah bukti sangat jelas bahawa sebahagian daripada masyarakat di negara kita masih jauh daripada bersikap positif, mesra dan baik.

Di mana sahaja ada lampu isyarat, kita akan terserempak dengan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang memecut walaupun lampu isyarat berwarna merah.

Ia bukti bahawa segelintir daripada kita tidak peduli dengan keselamatan diri dan keselamatan orang lain, tidak sabar dan tiada akhlak dan adab. Mereka penting diri sendiri.

Ramai penunggang motosikal, atas sebab yang mereka sendiri faham, memenuhi kawasan-kawasan kotak kuning di jalan raya dan di lampu isyarat dan memecut sebelum lampu hijau menyala.

Tidakkah mereka fikir hanya untuk ‘menjimatkan’ masa beberapa minit, mereka meletakkan diri dan orang lain dalam keadaan bahaya?

Betullah kata Lam Thye, daripada apa yang dilihat dalam kalangan masyarakat kita, kita terpaksa fikir dua kali sama ada kempen dan usaha yang sudah dibuat pada masa-masa lalu mencapai kejayaan dan berkesan.

Dalam keadaan begini, adalah perlu bagi kita semua, yang sayangkan negara ini, dan inginkan keselamatan, kebersihan dan harmoni berterusan, memainkan peranan masing-masing bagi meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya nilai-nilai terpuji.

Tabiat kurang menyenangkan ini bukan sahaja dilihat dalam kalangan pengguna jalan raya, bahkan anak-anak muda dan murid-murid sekolah.

Menurut Lam Thye, beliau dapati murid-murid sekolah sekarang tidak langsung mahu mengucapkan terima kasih apabila menerima hadiah atau pemberian daripada pelawat dan tetamu.

“Saya serahkan sijil atau hadiah berkaitan pencapaian akademik atau kejayaan lain kepada pelajar, mereka ambil dan berjalan terus tanpa mengucapkan terima kasih pun,” katanya.

Sikap begini sangat tidak wajar kerana amalan baik seperti mengucap terima kasih sudah lama ditanam dalam sanubari kita dan sepatutnya tidak dilupakan dengan mudah.

Tabiat buruk yang berterusan seperti buang sampah sewenang-wenangnya, letak kenderaan di mana sahaja mereka suka, potong barisan di kaunter hospital, stesen bas dan pusat beli-belah masih berlaku.

Katanya, perkara lain yang perlu diberi perhatian dan ditangani adalah tabiat suka bercakap kasar kepada pelanggan, menghisap rokok di merata tempat, termasuk di tempat yang dilarang merokok, berludah di mana sahaja di tempat awam dan keengganan memberi tempat duduk kepada orang tua, orang kurang upaya dan wanita hamil.

Tabiat buruk begini memang jelas dapat kita saksikan dalam bas, komuter dan di tempat-tempat menunggu.

Saya setuju kita semua bukan sahaja perlu bertanya setakat mana kita sendiri sudah mengamalkan nilai-nilai murni ini, tetapi mencari jalan bagaimana kita dapat memainkan peranan secara berkesan bagi menangani masalah ini dan meningkatkan tahap nilai-nilai murni ini dalam kalangan masyarakat kita.

Menganjur kempen untuk mempromosikan tarbiah terpuji tentunya penting, tetapi adalah lebih penting setiap daripada kita berusaha mengamalkan sendiri nilai-nilai murni yang hendak dipromosikan melalui kempen dan program.

Nilai-nilai murni perlu subur bukan sahaja di kawasan awam, malah lebih penting, dalam kalangan perkhidmatan awam di kaunter jabatan dan agensi kerajaan.

Kemesraan dan kesediaan membantu menyelesaikan masalah yang dikemukakan dan perkhidmatan yang diperlukan mesti ditangani dengan segera, mesra dan berkesan.

Lam Thye, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, berpendapat, kempen memberi kesedaran kepada nilai-nilai murni mesti dimulakan di sekolah.

Pendidikan Moral, katanya dalam the Star, patut diperkemaskan untuk menekankan pentingnya pembelajaran dan amalan semua nilai murni di sekolah. Janganlah menghafal semua 36 nilai murni itu semata-mata untuk lulus mata pelajaran itu dalam peperiksaan.

“Yang diperlukan adalah kita mesti amalkan semua nilai murni ini dalam kehidupan kita setiap masa,” katanya.

Pencapaian status negara maju dan yang mempunyai pendapatan tinggi hanya akan memberi makna sekiranya kita berjaya menerapkan nilai-nilai murni dan budaya yang terpuji dalam kalangan masyarakat kita secara meluas.

Seperti yang pernah saya katakan dalam kolum saya sebelum ini, janganlah hendaknya rakyat Malaysia hanya bertungkus-lumus  mencapai kejayaan dan mencari kekayaan tetapi terlupa dengan tanggungjawab sivik dan suburkan nilai murni.

Moga-moga usaha murni mereka yang sanggup ketepikan kepentingan diri untuk mendidik rakyat erti kebersihan dan nilai murni secara sukarela dapat menjadi iktibar kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Tidakkah agama Islam juga mengajar umatnya tentang pentingnya menjaga kebersihan dari segi jasmani dan rohani dan mengamalkan nilai-nilai murni?

Malah, agama mengajar kita membersihkan diri daripada kemungkaran, termasuk jenayah, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan segala jenis kebatilan.

Oleh itu, marilah kita berganding bahu bagi membersihkan negara yang kita cintai ini daripada segala jenis keburukan, jenayah dan masalah.