ZED mempunyai apa yang ramai manusia di muka bumi ini hanya mampu nikmati dalam mimpi - wajah yang tampan, kerjaya yang baik dan kerukunan rumah tangga yang dicemburui.

Tetapi dia tidak ada suatu aset yang ALLAH beri kepada hampir seluruh manusia di dunia ini, iaitu cap jari.

Ada yang menganggap cap jari itu hanya satu aset kecil yang boleh dipandang remeh? Dengar cerita sahabat saya ini.

Menurut Zed, sejak remaja, telapak tangannya kerap berpeluh.

“Ia berpeluh ketika aku panik, gemuruh atau resah,” dia menceritakan kepada saya.

Saya kenal Zed hampir 30 tahun, tapi hanya baru-baru ini tahu dia menghidap penyakit pelik itu.

Buat pertama kali dia sendiri sedar tentang masalah tiada cap jari apabila mahu ke luar negara.

“Aku melalui laluan biometrik. Apabila imbasan dilakukan ke atas cap jari, alat pengimbas tidak dapat mengesan cap jari dalam cip pada pasport aku.

“Selepas mencuba kira-kira seminit, aku mundur dan masuk ke laluan manual,” katanya mengenai pengalaman pertamanya.

Peristiwa pelik itu, bagaimanapun, belum membuat dia ragu dengan status cap jarinya itu.

“Yang buat aku betul-betul ragu adalah apabila aku pergi ke pejabat KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pada 2014 apabila aku mencecah umur 50 tahun. Masa itu aku hendak keluarkan wang daripada Tabung II.

“Semua proses pengeluaran berjalan lancar sehinggalah imbasan pengecaman cap jari dilakukan. Sama macam di kawasan imigresen dulu, imbasan ini juga tidak lepas. Mesin imbasan cap jari tidak dapat baca cap pada ibu jari. Bukan kanan sahaja,  kiri pun serupa,” katanya.

Kali ini baru Zed yakin dia ‘berpenyakit pelik’. Nasib dia agak baik kerana pejabat KWSP yang dia pergi betul-betul bersebelahan  Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dia pun pergi ke JPN bagi menentukan ‘apa yang tidak kena’ dengan jari-jarinya.

Memendekkan cerita, JPN mengeluarkan surat khas yang mengesahkan dia pemegang kad pengenalan yang ada padanya itu.

Surat itu memudahkan banyak urusan hariannya selepas itu, seperti mendapatkan kad urusan wang dengan bank dan kad telco, walaupun terpaksa menghadapi sedikit sebanyak soal jawab dengan pihak yang berurusan dengannya.

"Apabila aku hendak memperbaharui pasport untuk keluar negara aku sekali lagi berhadapan dengan masalah yang serupa."

 Masalah besar kerana tidak ada cap jari itu bermula bagi Zed apabila dia perlu memperbaharui pasport untuk keluar negara.

Mesin pengimbas cap jari tidak dapat membaca tanda pada cap jarinya untuk mengesahkan cap jari itu serupa dengan cap jari yang ada pada kad pengenalannya.

“Kali ini aku dah hilang sabar. Aku pergi balik ke pejabat JPN dan desak mereka bagi kad pengenalan baru yang sepadan dengan apa yang diperlukan untuk mendapatkan pasport."

Kes Zed yang pelik itu menjadi tumpuan dan bualan pegawai-pegawai JPN hari itu.

Mungkin sehingga masa itu, entah-entah Zed adalah satu-satunya manusia yang mereka jumpa tanpa cap jari.

Saya tanya Zed apa agaknya punca yang menyebabkan dia tak ada cap jari? Dia sendiri tidak tahu.

“Aku rasa kerana aku suka lap jari aku setiap kali berpeluh,” katanya.

Sekarang, Zed terpaksa membawa satu JPN sebagai kad pengenalan sampingan untuk memudahkan urusannya apabila dia dikehendaki menurunkan cap jari.

“Aku kena mengaku bahawa aku adalah lelaki tanpa cap jari,” katanya separuh berjenaka, separuh sedih.

Pada abad ke-19, seorang saintis bernama Francis Galton telah mengesan kewujudan cap jari dan menjalankan kajian terperinci serta mencipta sistem pengelasan cap jari.

Sistem pengelasan tersebut dibuat berdasarkan corak rabung pada jari. Sistem tersebut dijadikan rujukan dalam analisis cap jari (Gurdoglanyan, 2001).

Pada abad ketujuh Masihi, al-Quran  menyebutkan bahawa cap jari menjadi tanda pengenal manusia.

Dalam al-Quran disebutkan mudah bagi ALLAH untuk menghidupkan manusia selepas kematian.

Ayat mengenai cap jari manusia,  dijelaskan dalam Surah al-Qiyamah : 3-4: “Apakah manusia mengira bahawa KAMI tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang-belulang mereka? Ya, bahkan KAMI mampu menyusun (kembali) hujung jari-jari mereka dengan sempurna.”

Nota: Corak permukaan di jari mempunyai ciri-ciri yang unik. Ia terbentuk sebelum kelahiran dan kekal hingga seseorang itu mati dan mereput. Keunikan ini membolehkan cap jari digunakan sebagai kaedah pengecaman yang berkesan (Wertheim, 2011).

Sesungguhnya al-Quran adalah firman ALLAH yang tiada tolok bandingnya sampai bila-bila.