TIDAKLAH sampai ke peringkat bersumpah atau bertaubat, tetapi seboleh-bolehnya saya tidak mahu naik bas ekspres.

Perjalanan tidak ikut jadual, tiada layanan mesra, apatah lagi sikap bengkeng segelintir pemandunya memberi gambaran seolah-olah penumpang naik bas percuma.

Tetapi yang paling saya tidak suka, bahkan takut ialah tabiat segelintir pemandu yang pandu bas macam pelesit.

Kalaulah naik bas selaju dan sebahaya itu, nampaknya lebih baiklah naik roller coaster.

Namun begitu, ada kalanya bas ekspres jugalah yang jadi tempat saya bergantung.

Bukan kerana benci tapi rindu atau marah tapi sayang, tetapi kerana tiada pilihan.

Memang lebih selamat dan selesa naik kapal terbang atau kereta api, tetapi dalam keadaan terdesak pada saat akhir, perkhidmatan bas ekspres paling mudah didapati.

Anda tidak perlu buat tempahan, kecuali di musim perayaan. Beli sahaja tiket di kaunter atau daripada ejen tiket  yang ramai di kawasan terminal dan terus naik bas yang sedia menunggu anda beberapa langkah sahaja dari situ.

Anda boleh pilih naik kereta tetapi ia kerap kali meletihkan, apa lagi jika terperangkap dalam kesesakan. Jangan lupa, kosnya juga tinggi kalau anda seorang diri.

Tetapi memikirkan risikonya, anda terpaksa menimbang banyak kali sebelum memutuskan untuk naik bas ekspres.

Berdasarkan satu laporan, kemungkinan untuk mati dalam kemalangan kapal terbang adalah satu bagi setiap 11 juta orang, sementara nisbah mati dalam kemalangan kereta adalah satu bagi setiap 5,000.

Jika naik roller coaster, menurut laporan itu, ‘peluang’ untuk mati hanya satu bagi setiap 300 juta.

Jadi, nampaknya naik roller coaster  jauh lebih selamat daripada naik bas.

Tidak boleh dinafikan kema-langan di jalan raya di negara kita terlalu kerap berlaku.

Pelik memikirkannya, di beberapa negara, ramai mati kerana perang, tetapi di Malaysia yang aman lagi makmur ini, ramai hilang nyawa  akibat kemalangan jalan raya.

Ia bagaikan tiada hujungnya. Apabila kita ingat kemalangan yang baru berlaku adalah yang terakhir, kita dikejutkan pula dengan kemalangan yang kadang-kadang lebih dahsyat daripada yang sebelumnya.

Ada yang sampai mati 37 orang sekali gus, seperti dalam kes bas jatuh gaung ketika turun dari Genting Highlands dahulu; ada juga yang hampir 20 orang cedera parah apabila bas sondol belakang treler.

Kelmarin, satu lagi kemalangan berlaku di lebuh raya , menyebabkan seorang ibu tunggal terbunuh dan 20 penumpang cedera.

Bayangkanlah nasib mereka yang terlibat dan kaum keluarga mereka yang cedera dan terbunuh.

Walaupun sudah banyak jawatankuasa ditubuhkan untuk siasatan dan tindakan diambil, sikap segelintir pemandu bas ekspres masih menakut dan menyedihkan.

Senyum tak pernah langsung. Hanya apabila dengan rakan-rakan pemandu mereka sahaja mereka borak seperti tidak pernah jumpa 10 tahun, tetapi sebaik sahaja berada dengan penumpang, lebih-lebih lagi ketika memandu, mereka bertukar menjadi bengkeng.

Tentu pembaca budiman bersetuju dengan saya bahawa bukan semua pemandu bersikap bengkeng dan tidak hiraukan keselamatan penumpang.

Ada yang boleh diajak berbincang, boleh diminta berhenti perjalanan untuk ke bilik air atau menunaikan solat di kawasan rehat dan rekreasi.

Bahkan saya mesti mengakui saya pernah berjumpa dan berbual-bual dengan beberapa pemandu yang beradab dan jelas memikirkan dan berusaha untuk menjamin keselamatan penumpang.

Hakikatnya, walaupun hanya segelintir yang menimbulkan masalah kepada penumpang, yang segelintir itulah yang menjadi seperti kerbau membawa lumpur.

Kerbau pembawa lumpur inilah yang buatkan yang lain terpalit, yang burukkan imej syarikat, yang jejaskan nama pemandu yang berhemah yang jadikan keadaan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya huru-hara dan yang ‘menolong’ meningkatkan jumlah kemalangan, kecederaan dan kematian.

Tabiat buruk mereka ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana mereka mengakibatkan kematian dan kecederaan ke atas orang yang tidak berdosa dan penderitaan kepada keluarga, sanak-saudara dan masyarakat.

Kedegilan mereka menye-babkan ramai tiba-tiba hilang ibu, ayah, suami, isteri, anak atau saudara-mara, hilang punca rezeki dan terpaksa mengharungi masa depan yang gelap.

Selalu saya terbaca tentang ura-ura untuk mengadakan kursus buat pemandu bas ekspres bagi meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.

Tetapi saya kira lebih baik majikan anjur seminar supaya pemandu mereka menghormati penumpang dan belajar senyum dengan penumpang, bukan menganggap penumpang seperti musuh, hingga tidak menghiraukan keselamatan mereka.