SUNGGUH saya tidak faham kenapa perlu ada segelintir manusia ganjil yang suka menjadi makhluk perosak.

Mendengar cerita-cerita makh-luk perosak ini membuat hati anda menggelegak.

Peliknya, kenapa mereka ini suka sangat rosakkan barang atau tempat yang disediakan untuk kemudahan orang ramai, termasuk mereka sendiri?

Tabiat buruk mereka bukan sahaja merugikan orang lain, malah sesuatu yang tidak menguntungkan mereka sendiri.

Tetapi perbuatan vandalisme ini tetap terus berlaku hampir di mana sahaja dari semasa ke semasa.

Maka, selepas memikirkan masak-masak, saya berpendapat mereka ini sebenarnya bukan sekadar nakal dan tidak bertanggungjawab, malah sakit jiwa.

Atau mereka jenis yang apa kita sifatkan sebagai ‘ada otak, tetapi letak di lutut’.

Conteng tembok, patahkan paip air, calarkan kereta, pecahkan mangkuk tandas dan lubangkan pintu tandas dengan puntung rokok atau pemetik api, umpamanya, tidak sedikit pun membawa manfaat, malah menyusahkan masyarakat dan merosakkan kemudahan.

Seperti ramai warga Malaysia lain yang cintakan tanah air, yang tidak suka imej kita dipandang remeh dan yang benci kepada perbuatan yang merugikan rakyat, saya memuntahkan kemarahan saya kali ini selepas membaca perbuatan vandalisme yang berlaku ke atas laluan Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang tidak sampai seminggu ia dilancarkan.

Tabiat buruk seperti pembua-ngan sampah sewenang-wenang-nya, merosakkan kemudahan di bilik air di stesen-stesen MRT hanya akan memburukkan keadaan dan imej projek pengangkutan awam bertaraf antarabangsa yang menelan belanja RM21 bilion itu.

Kerap kita dengar cakap-cakap yang mengatakan negara kita mempunyai kemudahan kelas dunia pertama, tetapi mempunyai sebilangan individu dalam kalangan masyarakat yang mempunyai mentaliti dunia ketiga. Tidak malukah kita?

Apakah makhluk perosak ini tidak peduli bahawa bukan sahaja mereka tidak untung sesen pun, malah beribu-ribu ringgit terpaksa dibelanjakan tidak pasal-pasal hanya untuk membersihkan kawasan dan membaiki kemudahan disebabkan perbuatan mereka yang tidak mengguna otak seperti sepatutnya?

Barangkali kita patut lakukan seperti di beberapa negara yang kuatkuasakan undang-undang bukan setakat denda yang berat ke atas makhluk perosak, tetapi juga kenakan sebatan.

Ia mengingatkan kita beberapa kes beberapa tahun lalu di mana pesalah, termasuk warga asing, didenda, dipenjarakan bahkan disebat atas kesalahan vandalisme, melibatkan kerosakan kepada kereta dan kereta api.

Di negara ini berlaku segala jenis vandalisme dan kecurian dari menconteng tembok, merosakkan kemudahan awam, mencuri harta masjid dan surau, mencalarkan kenderaan dan memecah cermin tingkap kereta api.

Apakah tindakan undang-un-dang diambil  setakat  ini mampu mengurangkan kes-kes vandalisme atau menakutkan makhluk perosak yang tidak menggunakan otak ini? Wallahuaklam!

Apakah meletakkan kamera tersembunyi di merata tempat untuk memantau kes-kes jenayah dan vandalisme ini sudah cukup berkesan? Pihak berkaitan perlu memikirkannya.

Ada yang mencadangkan pen-curi kecil-kecilan seperti yang rembat duit tabung masjid dan makhluk perosak yang mencacatkan kemudahan awam dihukum lakukan khidmat komuniti. Apakah ini boleh menangani masalah itu dengan berkesan?

Malu saya nak namakan ne-gara lain sebagai contoh, tetapi di beberapa negara, rakyat dididik menjaga kebersihan sejak kanak-kanak lagi. Di rumah, ibu bapa menunjukkan teladan, sementara di sekolah guru-guru membentuk disiplin. Tetapi di setengah negara, yang dewasa pun dua kali lima.

Saya percaya kawasan taman dan kemudahan awam di negara kita boleh kita jaga daripada menjadi mangsa makhluk perosak jika ada lebih ramai manusia seperti Faizal, seorang kontraktor muda yang menggaji beberapa pekerja untuk melaksanakan projeknya di sebuah kawasan industri.

Dia sewakan rumah untuk menempatkan pekerjanya. Antara syarat yang dikenakan adalah semua yang ditempatkan di rumahnya perlu kekalkan keadaan rumah seperti pada hari pertama mereka masuk.

“Saya bagi amaran, kalau mereka conteng sikit pun dinding, apa lagi rosakkan kemudahan yang saya sediakan saya akan potong gaji tiap-tiap seorang daripada mereka,” ceritanya kepada saya.

Setakat ini, semua dalam rumah yang disewakan itu tidak dicacatkan. Betullah, ramai yang tidak hiraukan nasihat atau amaran. Mereka hanya takut kena denda.