MOHAMAD Thaqif Amin Mohd Gadaffi,11, sudah meninggalkan kita seminggu lalu, tetapi pemergiannya dalam keadaan yang sangat menyedihkan itu terus mendapat perhatian dan simpati banyak pihak.

Kerajaan mula mencari jalan untuk mengelak kes seperti itu berulang, pihak berkuasa menyiasat untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat, NGO mahu tindakan wajar diambil dan penganalisis mengulas punca dan kesannya.

Setiap kali berlaku tragedi dan kes menyayat hati seperti ini, reaksi yang serupa akan kita terima.

Sebenarnya, di negara memang banyak pihak yang cakna dalam hal-hal berkaitan kepentingan rakyat dan kita patut hargai usaha begini.

Sebab itu tidak hairan selepas kejadian pilu ke atas Thaqif yang dalam proses menjadi seorang hafiz, beberapa pihak meminta hukuman sebat di sekolah dimansuhkan.

Suhakam menegaskan hukuman sebat bertentangan di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, kementerian tiada rancangan menghapuskannya.

Beliau menjelaskan kementerian itu mempunyai peraturan tegas berkaitan hukuman sebat.

Katanya, cuma guru besar dan pengetua dibenarkan melaksanakannya dan itu pun hanya ke atas murid lelaki.

Bahkan, apabila pelajar melakukan kesalahan disiplin, mereka akan diberi kaunseling terlebih dahulu.

Kalau begitu tegas peraturan yang ada, hukuman menyebat atau merotan murid-murid tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Alhamdulillah, sekurang-kurangkan kes merotan murid di sekolah tidak kita dengar setakat ini. Masalahnya, kes dera, samseng dan buli serta penyalahgunaan dadah di sekolah, institusi pendidikan, pusat latihan, dan maktab pengajian agama yang menyebabkan kecederaan, malah kematian terus berlaku seperti tiada penghujung.

Apa yang menjadi tanda tanya adalah banyak daripada kes begini ada tanda-tanda awal sebelum tercetus kejadian tidak diingini.

Dalam kes Thaqif, sudah menjadi rahsia umum bahawa staf yang dikatakan terlibat dalam kes itu pernah menjalani hukuman penjara melibatkan  kes curi.

Menurut pihak Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ), tempat Allahyarham Thaqif belajar, pembantu warden tersebut mengaku tentang sejarah lamanya setelah diterima bekerja di situ.

Kita faham, tentunya pihak madrasah menerima staf itu untuk beri peluang menjadi lebih baik.

Soalannya, bagaimana seorang staf berlatar belakang demikian dibiarkan mengawas murid-murid tahfiz mengikut caranya sendiri?

Kenapa tidak dipantau sedangkan sudah ada cerita bagaimana dia layan murid-murid sebelum itu?

Menurut murid yang tidak mahu dikenali, mereka takut pada staf itu kerana caranya dan suka menyebat sekumpulan murid walaupun hanya seorang lakukan kesilapan.

Ini hanya satu daripada beberapa persoalan yang perlu dijelaskan oleh pihak berkaitan untuk diketahui umum agar kejadian yang tidak diingini boleh dielakkan dan tidak diulangi lagi.

Mengambil keadaan secara menyeluruh, kita perlu rasa terkejut dan bimbang mendapat tahu hampir semua institusi yang berkaitan kanak-kanak di negara ini tidak mengambil tanggungjawab menyiasat latar belakang staf masing-masing.

Menurut pengarah eksekutif sebuah persatuan kebajikan masyarakat, 95 peratus daripada institusi berkaitan dengan kanak-kanak, termasuk sekolah, tadika, rumah kebajikan dan kumpulan agama ‘tidak kenal’ staf mereka.

Berdasarkan kes Richard Huckle dan pembantu warden yang didakwa menyebat Thaqif, katanya, siasatan latar belakang staf sangat diperlukan.

Huckle, 31, dari United Kingdom, dilaporkan terlibat dengan 71 kes serangan seksual terhadap kanak-kanak ketika menjalankan kerja sukarela di Malaysia.

Thaqif pula meninggal Rabu lalu selepas kedua-dua kakinya dipotong akibat jangkitan kuman susulan daripada sebatan oleh seorang staf.

Staf yang didakwa menyebatnya itu sudah pun dikenal pasti sebagai bekas banduan dan direman.

Menurut pengarah eksekutif itu, seperti yang dilaporkan oleh The Star, Ahad lalu, banyak institusi berkaitan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Maknanya, banyak pihak seolah-olah masih belum beri tumpuan serius kepada syarat yang diberi.

Dengan lain perkataan, dalam banyak kes, sebahagian kita tidak bersikap proaktif. Kita bertindak hanya apabila sesuatu tragedi berlaku.

Kita tidak boleh terus begini. Semua pihak berkaitan perlu bersikap proaktif, bertindak sebaik sahaja mengesan bibit-bibit yang dipercayai boleh mencetus tragedi.

Selagi kita bersikap tidak mahu peduli keadaan yang berlaku sekeliling kerana kononnya bepegang dengan prinsip ‘tidak mahu jaga tepi kain orang’, selagi itulah kes demi kes yang tidak diingini yang membuat pihak tidak berdosa menderita akan terus berlaku di sekeliling kita.