[DIKEMASKINI] DI Malaysia dan di mana sahaja di muka bumi ini perlu ada usaha lebih untuk membolehkan orang muda menjadi 'pemandu kepada perubahan'.

Orang muda perlu diberi kuasa untuk mempercayai bahawa masa depan adalah kepunyaan mereka untuk mereka pengaruhi dan bina.

Demikian titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dalam titah utama baginda berjudul "Masa Depan Milik Kita" di Persidangan Pemikiran Islam dan Tamadun Dunia Kelima, di Ipoh, Perak, pagi ini.

Pemimpin, cendekiawan dan mereka yang ada platform, titah baginda, bukan sahaja sekadar menjadi juara kepada isu-isu yang mereka rasa penting kepada belia hari ini, tetapi juga perlu mengundang orang muda bercakap dan didengar, untuk berkongsi pandangan dalam perkataan mereka sendiri, pada forum demokratik dan diplomatik, dan bukan di luar.

Baginda menjelaskan, hampir separuh daripada penghuni dunia terdiri daripada orang muda.

Pada 2017, sebanyak 42 peratus daripada penduduk dunia berumur bawah 25 tahun dan bilangan itu sedang meningkat.

"Beta fikir, hari ini juga kita perlu lakukan lebih lagi untuk berurusan dengan mereka yang berjuta-juta ini bagi membentuk hari esok," tambah baginda.

Sultan Nazrin turut menyentuh tentang PRU14 yang berlangsung dua bulan lalu, di mana pengundi, titah baginda, telah membuat transformasi politik yang tidak pernah berlaku melalui peti undi sebelum ini.

"Apa yang sungguh menarik tentang pilihan raya itu adalah ia menunjukkan pertukaran kerajaan di sini boleh berlaku dalam keadaan aman melalui demokrasi, di mana pengundi boleh mempengaruhi masa depan hanya dengan menandakan atas sekeping kertas," titah baginda..

Sultan Nazrin menyatakan harapan baginda supaya rakyat Malaysia berusaha bersungguh-sungguh demi masa depan negara.

"Seperti yang pernah beta tekankan lebih 10 tahun lalu, rakyat Malaysia daripada semua kaum, agama dan kedudukan geografi, perlu percaya tanpa ragu-ragu bahawa mereka semua mempunyai tempat di negara ini. Ia memerlukan apa yang ulama kita sebut sebagai tajdid dan islah, untuk memberi nafas baharu dan mempergiatkan lagi institusi kita dan di mana perlu, memperbaikinya," titah baginda.

Baginda bertitah, tidak dapat dinafikan akan ada 'kesakitan yang bertambah' dalam proses menjadikan Malaysia demokrasi yang matang, bagi menyertai masyarakat negara-negara yang sudah dalam 'demokrasi liga premier'.

Sebab itu, titah baginda, tiada yang boleh dibiarkan tertinggal di belakang dalam proses ini, termasuk mereka yang tidak mempunyai pandangan politik yang sama.

"Kita mesti elak amalan tidak sihat yang berlaku di beberapa negara di mana selepas keputusan pilihan raya penting, 'yang menang ambil semua'.

Setiap orang di Malaysia patut menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan kita perlu ingat untuk melibatkan semua stakeholders di negara ini dalam perjalanan bersejarah ini," titah baginda.

Titah baginda, baginda sudah banyak kali menyentuh tentang kepentingan memberi perhatian serius kepada pertumbuhan belia yang akan mewakili masa depan dunia.

Baginda mengulangi kata-kata pengarah Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu: "Orang muda adalah pembawa perubahan, pencipta, pembina dan pemimpin masa depan".

"Tetapi mereka hanya boleh mengubah masa depan jika mereka mempunyai kepakaran, kesihatan, kuasa membuat keputusan dan pemilihan yang betul dalam hidup," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, ramai yang bercakap tentang orang muda menjadi pemimpin dan pembuat polisi di masa depan.

"Tetapi beta cadangkan kita juga perlu lakukan lebih supaya orang muda rasa mereka dirunding secara aktif dan dilibatkan dalam proses membuat keputusan hari ini," titah baginda.

Sebagai contoh, titah baginda, berikutan tamatkan perang saudara di Nepal lebih sedekad yang lalu, penglibatan penuh orang muda dalam rundingan keamanan menyebabkan penurunan protes keganasan turun 80 peratus.

Menurut baginda, juga terdapat bukti bahawa apabila orang muda merasa mereka tidak diberi kuasa dan diketepikan, mereka akan membawa perubahan secara yang kurang membina, bekerjasama, demokratik dan aman.

Analisa Arab Spring 2011 menunjukkan pengangguran belia adalah antara sebab pergolakan. Protes bermula di Tunisia di mana kadar pengangguran dicatat hampir 30 peratus.

Mesejnya nampak sangat jelas, titah baginda. Apabila orang muda dirunding, dan terlibat dalam proses politik dan diplomatik secara aktif mereka boleh membantu melakukan perubahan yang berkesan, aman dan positif untuk semua.

Sebaliknya, apabila orang muda rasa tidak dihiraukan dan dihubungi, jalan mereka mungkin ambil dalam cubaan membuat suara mereka didengari boleh memburukkan keadaan.

Sebelum itu, baginda bertitah baginda amat sukacita dapat bertitah kepada hadirin di persidangan anjuran universiti yang menggunakan nama ayahanda baginda, Sultan Perak ke 34, al-Marhum Sultan Azlan Shah.

"Ia adalah institusi yang rapat dengan hati beta dan beta berbesar hati dan sungguh berbangga dapat kembali ke sini untuk satu lagi persidangan, melihat universiti ini, Jami'ah Azlaniyah, terus berkembang dan maju dalam konteks global yang meningkat," titah baginda.

Baginda memuji usaha penganjur-penganjur atas pemilihan tema yang positif, proaktif dan berhati-hati. Persidangan ini mengumpulkan antara pemikir, pemidato dan cendekiawan terbaik dunia, bagi menggambarkan cabaran penting mengenai 'Selamatkan Masa Depan' dan berkongsi idea mengenai strategi aktif dan praktikal dalam melakukannya.

"Frasa 'Selamatkan Masa Depan' mengingatkan kita bahawa masa depan, tidak dapat dipertikaikan lagi, belum selamat. Dunia berhadapan dengan banyak krisis bercambah. Kepanasan global dan pencemaran adalah ancaman sangat benar dan hampir pasti kepada dunia ini, bukan sahaja kepada pohon-pohon dan haiwan, tetapi juga akhirnya kepada kewujudan manusia.

"Kemiskinan dan ketidakstabilan kewangan terus membinasakan kehidupan ramai manusia di seluruh dunia, dengan lebih 780 juta individu mendapat kurang daripada AS1.90 setiap hari. Hampir setiap hari kita dengar berita perbalahan antara negara dan rakyat dan berdasarkan data dikumpulkan oleh Forum Ekonomi Dunia, setiap tiga saat, seorang individu hilang tempat perlindungan akibat peperangan atau penganiayaan. Hingga hujung 2016, bilangan mereka yang hilang perlindungan akibat persengketaan di seluruh dunia lebih ramai daripada semua populasi United Kingdom.

"Daripada semua perspektif ini, masa depan nampaknya jauh daripada selamat," titah baginda.

Baginda mengingatkan mereka supaya percaya bahawa 'masa depan adalah milik kita'.

"Masa depan adalah untuk kita jaga, bentuk dan untuk kita nikmati," titah baginda.

Menurut baginda, sebagai seorang Islam, baginda menyebut 'Masa depan milik kita'  kerana percaya Islam ada banyak untuk diberikan kepasa dunia dalam hal menangani cabaran-cabaran besar masa depan manusia, khususnya, dalam perkara ekonomi dam alam semual jadi.

Baginda bertitah, di masa lalu, baginda pernah menyebut mengenai cara-cara kewangan Islam boleh memainkan peranan penting dalam menangani isu kemiskinan dan ketidakstabilan pada tahap global.

"Sebagai contoh, bank-bank Islam diiktiraf secara meluas lebih baik ketika krisis kewangan 2007-2008, menunjukkan ketahanan lebih daripada bank bukan Islam, berdasarkan laporan Tabung Kewangan Antarabangsa.

"Ini tentunya satu tanda bahawa model kewangan Islam boleh menyumbang dengan baik kepada sektor bank global secara menyeluruh, memberikan kestabilan dan dan keselamatan dalam menghadapi ekonomi masa depan yang tidak menentu," titah baginda.

Di samping memberi harapan kestabilan ekonomi, kewangan Islam juga mempunyai jawapan berkaitan menangani masalah serius kemiskinan berleluasa.

Melalui institusi kewangan sosial, iaitu zakat, wakaf dan sedekah, Islam menggalakkan sumbangan dan tiada dapat dinafikan bahawa mekanisme ini dapat digerakkan secara lebih baik untuk menyumbang kepada lebih ramai individual, Islam atau bukan Islam, di seluruh dunia.

Titah baginda, perlu juga diambil perhatian tentang potensi besar bon sukuk untuk menjana hasil untuk kebaikan rakyat.

Walaupun sukuk itu pelaburan patuh syarak, beberapa Pelaburan Tanggungjawab Sosial (SRI) dimajukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk mengutip wang. membiayai projek-projek demi manfaat semua.

Sebagai contoh, Gavi, iaitu Vaccine Alliance, yang melancarkan susuk antarabangsa pertama untuk kegiatan amal pada 2004, mengumpulkan

AS$500 juta pada tahun pertama untuk membantu program imunisasi di beberapa negara miskin.

"Beta sukacita menyebut sukuk Khazanah sebagai contoh sukuk SRI yang membantu membiayai sekolah dan pendidikan di Malaysia. Beta, dengan rendah hati, berharap lebih banyak sukuk dapat digunakan untuk tujuan tanggungjawab sosial di masa depan," titah baginda.

Memandangkan pengeluaran sukuk terus meningkat, tersebar ke pasaran baharu seperti United Kingdom dan Afrika Selatan, titah baginda, nampaknya harapan ini dapat direalisasikan.

Bon sukuk muncul sebagai opsyen pelaburan yang sesuai, popular dan beretika, maka ia menjadi sumbangan Islam boleh usahakan untuk kepentingan ekonomi masa depan dan kebajikan manusia, pada taraf global.

Baginda bertitah, baginda percaya mempunyai peranan penting untuk menyelamatkan masa depan dunia, iaitu dengan melindungi dan mengekalkan alam semula jadi.

Di samping bon sukuk, juga terdapat kewujudan sukuk 'hijau' pada tahun-tahun kebelakangan ini.

"Sukacita beta menyatakan Malaysia menjadi pembawa pembaharuan, dari segi itu mempromosikan bida'ah hasanah.

Tahun lalu, titah baginda, Malaysia melancarkan sukuk Hijau yang pertama di dunia sebagai kerjasama antara Bank Pusat Malaysia dengan Suruhanjaya Sekuriti, bersama Bank Dunia.

"Hasil daripada  sukuk ini akan digunakan untuk membiayai projek memberi manfaat kepada alam semula jadi seperti pembangunan sumber tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia," titah baginda.

Titah baginda, banyak perlu dibuat untuk menangani masalah perubahan cuaca yang semakin bertambah.

Ini selaras dengan falsafah Islam  sebagai khalifah Allah untuk menjaga muka bumi.

Kemanusiaan, titah baginda, kini bertambah rosak, bukan menjaga muka bumi, dan ini bermakna akhirnya merosakkan masa depan.

Pencemaran karbon dioksida akibat pembakaran fosil menyebabkan pertambahan iklim global, hingga mengakibatkan pembekuan glasier dan ais serta kenaikan yang dramatik kepada paras laut.

Para penyelidik meramalkan glasier di kawasan tengah dan timur Himalaya akan pupus menjelang 2035.

Ini adalah satu petunjuk betapa lajunya manusia perlu bertindak untuk menangani masalah kepanasan global yang meningkat ini.

Perubahan iklim dan kegiatan manusia seperti memusnahkan hutan juga memberi kesan kemusnahan teruk, yang boleh menyebabkan haiwan turut pupus.

"Mengikut Tabung Kehidupan Liar Dunia, kadar kepupusan spesies adalah antara 1,000 dan 10,000 kali lebih tinggi daripada kadar kepupusan secara biasa. Kehilangan spesies yang boleh dielakkan itu sebenarnya kehilangan untuk masa depan kita.

"Adalah tugas umat Islam yang diberikan oleh ALLAH untuk bersungguh-sungguh mengembalikan keadaan atau sekurang-kurangnya memberhentikan kerosakan alam semula jadi.  Masa depan bumi ini adalah tanggungjawab kita," titah baginda.

Baginda bertitah, dengan menyebut 'masa depan itu milik kita' baginda tidak bertitah hanya sebagai seorang Islam.

"Beta juga bertitah sebagai seorang insan, sebagai seorang penduduk di dunia, sebagai berada dalam keluarga (Nabi) Adam (AS) kerana beta percaya masa depan milik kita semua, tak kira agama, kaum, bahkan warga negara.

"Malah, kalau kita hendak ambil cabaran-cabaran besar seperti perubahan iklim yang menjadi ancaman serius kepada masa depan kita, kita mesti fikir dan usahakan melampaui sempadan moden dan identiti kita dan juga membuat individu lain merasa tindakan mereka boleh memberi kesan," titah baginda.

Akhirnya, baginda mengingatkan hadirin bahawa pemikiran baginda hari ini tidak mengetepikan banyak cabaran perit yang dihadapi dunia pada masa depan.

"Ketiadaan kuasa untuk belia, persengketaan politik, pemanasan global; semua ini adalah sebahagian isu serius yang mesti kita tangani dengan cepat sekiranya kita mahu dunia kita ini mempunyai masa depan.

 "Tetapi, mesej beta adalah akhirnya, beta harap, sesuatu yang optimis. Ia tanpa ragu-ragu memerlukan usaha kita semua, yang muda, tua, lelaki dan perempuan, daripada setiap agama, warga negara, kaum dan kepercayaan, untuk selamatkan masa depan bumi kita.

"Masa depan adalah tanggungjawab kita bersama dan jika kita ambil tanggungjawab itu sekarang, masa depan juga, saya percaya, akan menjadi ganjaran untuk kita di dunia yang fana ini dan di akhirat," titah baginda.