SEORANG datuk bandar di luar kota Rom dilaporkan menawarkan 200 rumah kepada penduduk dengan harga 90 Pence (RM5) sahaja sebuah.

Dia buat tawaran pelik itu bukan untuk memenangi hati pengundi, tapi bagi  mengelakkan bandar Ollolai di Sardinia yang terletak di kepulauan Itali itu menjadi bandar hantu kerana kadar kelahiran bayi turun mendadak setiap tahun.

“Kebanggaan masa lalu adalah kekuatan kami. Kami sentiasa hidup dalam keadaan sukar, tetapi kami tidak akan benarkan bandar kami mati,” demikian kata Afio, Datuk Bandar Ollolai, seperti dilaporkan Daily Mail minggu lalu.

Tawaran seperti tidak masuk akal itu merebak seperti api ditiup angin, menarik perhatian ramai. Dalam masa singkat sahaja, pejabat datuk bandar itu menerima 120 permohonan warga Amerika Syarikat, Australia dan Rusia untuk beli rumah murah giler itu.

Kisah ini mengingatkan saya kepada cerita datuk saya. Mudah-mudahan ALLAH menempatkan arwah bersama mereka yang diredai-NYA. Amin!

Datuk saya membeli rumah papan kecil beratap rumbia di Bukit Mertajam dengan harga RM13 (tiga belas ringgit) sahaja. Untuk mandi saya ada dua pilihan; di telaga sebelah rumah, guna timba atau berbaris dengan jiran-jiran tua muda di pancur tepi landasan kereta api. Saya ingat sangat rumah kecil itu kerana ia adalah rumah kelahiran saya.

Selepas kedua datuk dan nenek saya meninggal dunia di hujung tahun 70-an, rumah itu reput begitu sahaja. Apabila bekerja di Ipoh, Perak, pada pertengahan 70-an, saya membeli sebuah rumah papan juga. Harganya RM12,500.

Terdapat hampir 100 buah rumah berbentuk serupa di kawasan sama, diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, yang menawarkan rumah-rumah murah itu untuk orang-orang berpendapatan rendah seperti saya masa itu.

Saya difahamkan di sebuah kawasan lain di Ipoh tujuh atau lapan tahun sebelum itu, ada rumah seperti yang saya beli itu dijual dengan harga hanya RM5,000 atau kurang daripada itu. Wallahuaklam!

Pendek kata, rumah-rumah masa itu terlalu murah dibandingkan dengan harga rumah hari ini. Tetapi itu pun ramai yang tidak mampu.

Saya tidak berani bayangkan keadaan hari ini, apa lagi 10 tahun akan datang. Mampukah anak cucu kita membeli rumah?

Sebab itu saya melihat bagaikan ada sedikit cahaya di hujung terowong apabila baru-baru ini kerajaan menyatakan hasrat mahu mencadangkan kadar faedah pinjaman perumahan diturunkan bagi mengurangkan beban pembeli.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) mengenai perumahan yang beliau pengerusikan dan akan dibawa kepada Kabinet untuk keputusan.

Beliau akui kaedah faedah pinjaman yang tinggi merupakan antara sebab 13,605 unit rumah yang berharga di bawah julat RM250,000 hingga RM500,000 tidak dapat dijual tahun lalu.

Kadar pinjaman asas di Malaysia adalah 4.65 peratus, berbanding Australia (5.33 peratus) dan Singapura (1.45 peratus).

Beliau menyedari ramai pembeli rumah juga tidak ada pendapatan tetap dan tiada slip gaji yang diperlukan untuk membeli rumah.

“Kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat terpelihara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu turut mendengar cadangan Bank Negara untuk membangunkan pangkalan data bersepadu, melaksanakan inisiatif berpusat bagi rumah mampu milik serta menjadikan sewaan rumah kediaman sebagai satu daripada alternatif yang boleh dilaksanakan melalui penggubalan Akta Penyewaan dan Tribunal Penyewaan.  Doakan yang terbaik.

Saya pernah tulis, dalam filem, pengarah mampu mencipta apa sahaja khayalan semata-mata untuk menghiburkan penonton.

Dalam Nujum Pak Belalang, umpamanya, penonton dipersembahkan dengan satu demi satu telekan Pak Belalang, seorang nujum auta yang miskin, yang akhirnya menjadi menantu raja. Tetapi, dalam dunia realiti, ini mustahil.

Dalam suasana ekonomi tidak menentu, harga barang dan bayaran perkhidmatan semakin tinggi, kos hidup semakin meningkat seperti sekarang, pengkaji paling hebat pun payah hendak ramalkan masa depan rakyat dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang, apatah lagi nasib anak cucu kita.

Kita ambil contoh mengenai tempat kediaman. Bayangkan, harga rumah teres sederhana dua tingkat, jauh di pinggir bandar besar pun sudah mencecah RM450,000 sebuah, kalau pun tidak lebih daripada itu.

Mereka yang membelinya perlu bayar tidak kurang daripada RM2,000 sebulan selama 25 tahun atau lebih.

Maka rumah yang sepatutnya jadi mampu milik sudah jadi ‘mampu lihat’ sahajalah bagi kebanyakan anak muda yang bergaji RM4,000 dan berkahwin.

Apa yang saya sebut ini adalah apa yang berlaku sekarang. Bayangkan keadaan lima atau 10 tahun akan datang. Mampukah anak cucu kita beli rumah masa itu? Renungkanlah!