KETIKA mula bertugas sebagai ketua biro Terengganu pada 1980, negeri Pantai Timur itu panas dengan isu kafir-mengkafir.

Sejauh mana seriusnya tidak dapat saya pastikan masa itu, tetapi di sana-sini kedengaran cakap-cakap tentang ‘fatwa’ yang, antaranya, mengharamkan solat berjemaah dan nikah kahwin sesama agama.

Akhirnya, dalam tahun yang sama, realiti isu mengkafir itu menjadi umum apabila seorang guru agama didakwa di Mahkamah Syariah Kampung Raja, Besut.

Dia didakwa mengeluarkan kenyataan, yang antaranya - kalau tidak salah - mengharamkan pernikahan, solat berjemaah, sembelihan, ziarah jenazah, menjadikan imam, bahkan salam mereka tidak boleh disambut.

Yang kena tuduh itu berbaju Melayu dan berserban, tetapi tidak pula disebut ahli mana-mana parti. Kes itu menarik minat ratusan penonton yang mengerumuni galeri mahkamah dan kawasan sekitarnya.

Riuh-rendah suasana mahkamah apabila orang ramai bersorak dan bertepuk tangan setiap kali mendengar perdebatan antara pihak pendakwa dan peguam bela, atau jawapan saksi, seolah-olah mereka mengikuti satu wacana politik atau kempen pilihan raya.

Saya masih ingat bagaimana ramai ketawa dan menjerit memperlekehkan seorang imam, yang barangkali disebabkan gugup, memberitahu mahkamah ‘rukun Islam itu ada enam’.

Keadaannya di luar kawalan pegawai mahkamah sehingga peguam terpaksa menjerit mengeluarkan amaran bahawa perbicaraan akan dijalankan secara tertutup jika orang ramai terus tidak bersopan.

Saya percaya ada dalam kalangan ahli politik lama, terutama dari Kelantan dan Terengganu, boleh tolong pastikan sama yang dituduh itu dari Pasir Tumbuh, dekat Kota Bharu, Kelantan, atau dia berucap di Pasir Tumbuh.

Dia didapati bersalah, tetapi bentuk hukuman ke atasnya saya tidak ingat.

Apa pun, maknanya ada orang lain yang mengeluarkan ‘fatwa’ mengkafirkan orang Islam dan perlulah kajian dan siasatan dibuat sama ada kesannya itu menjalar hingga ke daerah lain di Terengganu dan di negeri-negeri lain atau tidak.

Saya tidak mahu menuding jari, tetapi saya sedar isu ini memang panas, mencelarukan pemikiran dan boleh terus memburukkan suasana perpaduan serta harmoni dalam kalangan masyarakat, terutama umat Islam di negara kita.

Bagaimana pula kaitannya dengan akidah tidak dapat dipastikan. Sebab itu saya rasa isu ini perlu dibereskan segera; tidak apalah kalau pun ia masih terus menjadi kontroversi dan belum nampak bibit-bibit penyelesaian walaupun setelah 32 tahun berlalu.

Tidak apalah kalau ia tenggelam timbul mengikut musim sejak ia disedari bermula. Tenggelam musim biasa dan timbul barangkali kerana pilihan raya; secara kebetulan atau ada petualangnya.

Bukanlah rahsia lagi bahawa ramai dalam kalangan kita menanti dengan penuh debaran sambil berdoa untuk menyaksikan peristiwa bersejarah di mana dua parti besar dan berpengaruh dapat duduk semeja, mencari penyelesaian dalam isu tersebut dan lain.

Ketidaksabaran masyarakat untuk menyaksikan pertemuan dua pihak itu dan hasilnya boleh difahami kerana keputusan dua parti ini akan mengubah landskap politik, ekonomi, sosial dan imej tanah air, antara lain.

Kata orang, lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Banyak sudah berlaku dan berubah sejak 32 tahun lalu. Yang muda sudah jadi tua dan ada ramai juga yang sudah tiada lagi.

Bukankah ada kata-kata bahawa jauh perjalanan, luas pemandangan; pengalaman juga mematangkan kita.

Tidak rugi membuka dan mengambil peluang kedua atau ketiga. Apa salahnya duduk berbincang, ketepikan kepentingan politik atau apa sahaja.

Sampai bila mahu terus bercakaran, buang tenaga, masa dan wang serta rugikan rakyat melalui kecenderungan tuduh-menuduh, cabar-mencabar dan sebagainya?

Lagi pun, kata pepatah: Ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya.

Untuk rekod, laporan itu saya buat hanya beberapa bulan sebelum atau selepas Presiden Pas, Datuk Sri Abdul Hadi Awang, menyampaikan ucapan yang dilabelkan - entah oleh siapa - sebagai Amanat Haji Hadi, di Banggol Peradong, Manir, Kuala Terengganu, pada 7 April, 1981.

Liputan kes itu, bagi saya, sangat penting kerana implikasinya bukan sekadar terhadap landskap politik dan perpaduan, bahkan merentasi sempadan akidah.