DIA anggap dirinya biasa-biasa sahaja, tetapi bagi saya, Mahadhir seorang yang bersemangat kental dan berwawasan yang patut menjadi teladan kepada anak-anak muda.

Dilahirkan di Pantai Remis, Perak, 19 tahun selepas merdeka, dia dibawa ke Jengka, Pahang, apabila ayahnya diterima menjadi seorang peneroka, setahun kemudian.

Keputusan kelulusannya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia agak cemerlang, tetapi keadaan persekitaran dan semangat untuk berdikari mendorong anak kedua daripada sembilan adik-beradik itu mengetepikan peluang melanjutkan pelajaran dan mencari tapak bagi persediaan masa depan di bandar.

Di Kuala Lumpur yang pesat membangun itu, dia jadi pembantu kedai runcit, sebelum kerja di kilang alat-alat elektrik di Shah Alam.

Dipendekkan cerita, Mahadhir, 41, mara setapak demi setapak di dalam pekerjaan di kilang.

Tetapi kerana jiwanya jiwa kental insan yang ingin berdikari, dia memutuskan menceburi bidang usahawan, iaitu gunting rambut.

Dia berjinak dengan kerja gunting rambut ketika di bangku sekolah lagi. Ia memberikannya sedikit perbelanjaan harian, tetapi untuk berniaga tidak cukup sekadar ada gunting, sikat dan pisau cukur. Ia memerlukan latihan dan modal yang cukup.

Untuk belajar gunting dengan baik, Mahadhir membayar RM1,500 untuk kursus praktikal setahun.

“Ketar juga tangan saya masa mula-mula gunting rambut orang. Takut silap,” katanya.

Dengan sedikit modal yang ada, dia menyewa kedai pada 1999 tetapi ia bertahan dua tahun sahaja.

“Pelanggan tak ramai sebab kedai itu agak tersorok,” katanya.

Pendek cerita, lima tahun kemudian dia menyewa kedai gunting yang kali ini memberikannya pendapatan agak memuaskan.

Alhamdulillah, isterinya, seorang guru dan keluarga banyak memberi galakan dan semangat kepadanya.

Selepas lebih 20 tahun dalam perniagaan gunting rambut, kini dia rasa masanya sudah tiba untuk dia menurunkan ilmu kepada mereka yang memerlukannya.

Sejak tiga bulan lalu, Mahadhir tawarkan latihan gunting rambut selama tiga bulan. Percuma.

“Setiap pelatih perlu belanja dalam RM80 beli peralatan, termasuk gunting dan sikat,” katanya.

Malangnya, usaha Mahadhir untuk latih orang kita cari sumber pendapatan setakat ini gagal.

Dia buat iklan. Ramai juga hubunginya. Akhirnya tujuh orang beri komitmen mahu belajar.

“Sedihnya, ada yang datang sekali, ada datang dua kali, lepas itu tak nampak batang hidung lagi dan ada yang tak datang langsung,” dia menarik nafas panjang.

Saya difahamkan ada penggunting rambut yang mampu mendapat RM10,000 sebulan. Ada seorang yang tidak ada kemahiran gunting rambut, tetapi raih RM8,000 sebulan dengan buka kedai gunting rambut untuk penuntut institusi pengajian tinggi buat praktikal.

Maknanya jika diurus dengan baik, gunting rambut pun boleh datangkan pendapatan tinggi.

Jadi kenapa kursus seperti yang ditawarkan Mahadhir, walaupun percuma, masih tiada yang berminat?

Apakah, seperti yang pernah dikatakan Tun Dr Mahathir Mohamad - selepas beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun - bahawa (segelintir) orang Melayu malas? Wallahuaklam!

Tetapi Mahadhir yang saya kenal ini juga tidak tahu erti putus asa.

Walaupun gagal pada percubaan awal, dia masih membuka pintu kepada mereka yang mahu mencari sumber pendapatan melalui kerja gunting rambut.

“Saya sanggup sediakan kerja tetap selepas kursus. Tak ada pengalaman pun tak apa,” katanya separuh merayu.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Mahadhir melalui Facebook, Zass Barbershop atau telefon sahaja 017-6998789.

“Yang penting,” dia memberitahu saya, “kita boleh membantu orang yang memerlukan.”

Bagaimana? Apakah masih tiada sesiapa dalam kalangan orang kita yang sedia menyambut pelawaannya?

Tepuk dada, tanya sikap  dan pendirian sendiri.

Akhir kalam, saya teringat sebuah laporan tentang kebanjiran pekerja asing ke negara kita yang kerap menjadi polemik.

Pertama, dianggarkan 6.7 juta pekerja asing berada di negara ini. Daripada jumlah itu, 2.1 juta mempunyai permit. Bakinya, imigran haram. Saya tidak tahu sejauh mana tepatnya angka itu.

Kedua, sikap rakyat tempatan yang tidak mahu bekerja dalam persekitaran kotor merupakan antara sebab utama kira-kira 400,000 belia kita menganggur. Kekosongan itu direbut oleh warga asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam dipetik sebagai berkata tidak lama dahulu bahawa sikap memilih dalam kalangan belia kita menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan dan ini mendorong kepada pertambahan jumlah warga asing di negara ini.Fikirlah sendiri!