SUDAH lebih setahun Mahadhir memerah otak merancang bagaimana dapat membantu anak Melayu/Islam mencari sumber pendapatan.

Dia sudah uar-uarkan seluas mungkin untuk menawarkan peluang latihan secara percuma melalui akaun Facebooknya.

Dia sudah berkongsi semua pengalamannya serta komitmennya untuk mendapat keyakinan mereka yang inginkan latihan yang disediakan.

Hasil usahanya, ramai dari seluruh negara  menghubunginya. Ada yang mahu tahu lebih lanjut tentang latihan yang ditawarkan dan ada yang datang bertemunya sendiri.

Tapi biasalah dengan orang kita, hampir kesemua yang hubunginya tidak ada tindakan susulan.

Yang datang bertemu dengannya, ada dua tiga orang yang sedia menerima tawaran, tetapi itu pun tidak konsisten mengikuti latihan.

Yang lain terlalu memilih, setengahnya tidak yakin pada kemampuan diri sendiri dan ada yang tiada semangat untuk meneruskan latihan.

Mahadhir, 42, adalah seorang tukang gunting yang mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun.

Beliau sudah bekerja dengan orang sebelum mengusahakan kedai gunting rambutnya sendiri lebih 10 tahun lalu.

Untuk dirinya saya kira beliau sudah  berjaya. Hasil yang diterima cukup untuk dia hidup selesa bersama isteri, seorang pendidik, dan lima orang anak.

Tetapi masalahnya, Mahadhir bukan jenis manusia yang fikir untuk diri sendiri

Padanya, tidak ada ruginya ilmu dan kemahiran yang ada dikongsi bersama orang lain.

Alangkah baik kalau ada lebih ramai orang yang sanggup berkongsi ilmu seperti Mahadhir dalam negara kita ini. Akan bertambah ramailah yang akan dapat manfaat dan bertambah maju tanah air kita.

Malangnya, ramai, sama ada malas atau atas alasan lain, tidak merebut peluang seperti yang ditawarkan. Saya tidak tuduh semua tapi ramai yang pilih merempit, bersembang kosong di kedai kopi dan menopang dagu, sementara orang asing merebut peluang yang ada.

“Saya cuma minta mereka keluarkan  modal yang sangat sedikit untuk sediakan sikat dan gunting. Latihan saya bagi percuma,” kata Mahadhir.

Tapi sambutan sangat mengecewakan. Hanya dua tiga kerat ambil tawaran itu. Itu pun datang lambat dan ponteng.

“Mereka tidak komited. Mereka nak untung besar dalam masa pendek,” katanya.

Mahadhir sendiri pernah melihat orang yang tidak ada kemahiran gunting rambut langsung tapi mampu meraih untung banyak.

Dia cuma uruskan kedai dan segala perkakas gunting yang diperlukan.

“Dengan cara itu pun dia sudah mampu dapat dalam RM10,000 sebulan,” katanya.

Tetapi Mahathir sah seorang anak Melayu yang bukan sekadar rajin, tidak tahu putus asa, bahkan mempunyai tahap komitmen tinggi untuk membantu orang.

Ketika bertemu dengannya baru-baru ini, beliau menunjukkan kepada saya kertas kerja tentang bagaimana beliau boleh mengembangkan perniagaan gunting rambut.

Kali ini projek yang dirancangnya lebih  memberangsangkan.

Kalau berjaya, ia menyediakan jaringan perniagaan yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh 222 kawasan Parlimen.

“Saya nak wujudkan sekurang-kurangnya satu kedai gunting di setiap kawasan itu,” katanya.

Usahanya kali ini bukan sekadar untuk beri sumber pendapatan, malah untuk mengimarahkan masjid dan surau.

Saya teruja membaca isi kertas kerjanya itu, siap dengan kewujudan jawatan CEO sekali.

“Untuk tukang gunting kita akan beri gaji, bonus, elaun kenderaan, elaun makan, sumbangan kepada KWSP dan lain-lain,” katanya.

Lebih daripada itu, beliau mahu wujudkan suasana agama dalam perkhidmatan yang ditawarkan.

Antaranya, semua kedai gunting wajib ditutup setiap kali masuk waktu solat.

Idea yang hendak dipraktikkan Mahadhir untuk mengimarahkan masjid ini sudah pernah dibincang pihak berkaitan agama dalam satu majlis perundingan beberapa tahun lalu.

Kesimpulan telah dibuat untuk semua pihak yang menyertai majlis itu mengorak langkah di seluruh negara.

Saya menghadiri majlis yang diadakan di Bangi itu untuk membuat liputan, tetapi setakat mana ia telah dipraktikkan dan sejauh mana pencapaiannya, saya tidak ada maklumatnya.

Antara yang diputuskan adalah semua AJK masjid perlu lakukan walkabout, mengunjungi rumah-rumah kariah dan anak-anak muda di padang mainan pada hari ditetapkan bagi merapatkan silaturahim.

Apakah usaha begini oleh AJK masjid sudah berlaku di negara kita? Wallahuaklam!

Akhir kalam, saya ingin tabik pada Mahadhir. Walaupun sudah dikecewakan beberapa kali dalam perancangannya, beliau tetap berdegil mahu teruskan usaha murninya untuk membantu anak watan.

Syabas Mahadhir. Saya doakan anda berjaya mencapai cita-cita. Insya- ALLAH!