APABILA saya berjumpa Mahadhir sekali lagi baru-baru ini untuk bertanya khabar, dia senyum panjang.

Saya kira tentu ada sesuatu kejayaan atau perkembangan baharu yang menarik hati hingga membuatkan dia tersenyum.

Sebulan yang lalu, saya menulis artikel mengenai niat murninya ingin buka peluang kepada sesiapa sahaja, terutama anak-anak muda yang menganggur atau yang mahu cari sumber pendapatan kedua.

Sejak beberapa bulan yang lalu, dia menyatakan azamnya hendak memberi latihan gunting rambut kepada sesiapa sahaja yang berminat secara percuma.

Maka, apabila dia mengukir senyuman ketika saya memasuki kedainya di Shah Alam, baru-baru ini, saya ingat dia sudah mencapai hasratnya; kalaupun tidak sepenuhnya, mungkin ada perkembangan menggalakkan.

Rupa-rupanya tidak. Senyuman itu hanya untuk menyambut saya sebagai tetamu, tidak ada kena-mengena dengan niat nya itu untuk melatih mereka yang berminat menjadikan gunting rambut sebagai sumber pendapatan.

“Tak ada pun yang lekat. Sorang datang sekejap hilang, lepas tu datang yang lain pula, hilang juga,” ujar Mahadhir, yang jelas kecewa dengan sikap segelintir masyarakat kita yang acuh tak acuh dengan peluang yang dibuka luas untuk manfaat mereka sendiri.

Bukan sahaja mereka berusaha sendiri untuk mencari jalan bagaimana hendak berdikari, malah sudah dipamerkan di depan mata pun masih tidak ambil pusing.

“Nak bagi duit pun susah sangat kan!,” kata saya selepas Mahadhir mengeluh tentang usahanya yang seperti tiada  sambutan itu.

Ia sungguh mengecewakan dan pelik dengan masyarakat kita.

Sesuatu yang bernilai yang ditawakna tanpa bayaran pun tidak mahu disambut, tetapi apabila latihan atau kursus yang dikenakan yuran, ada pula yang beretbut-rebut mahu menyertainya.

Selepas saya menulis dalam kolum mingguan saya mengenai rancangannya itu tidak lama dahulu, Mahadhir terima beberapa panggilan daripada individu-individu yang mahu tahu lebih lanjut tentang latihan percuma yang ditawarkannya itu.

Daripada yang menghubunginya dari merata negeri dan menyatakan minat, hanya dua orang yang datang.

“Datang sekali, timbul seminggu kemudian. Ada yang datang tanya sahaja, tapi tak mula-mula pun,” katanya, kali ini jelas dia mengukir senyum paksa.

Mahadhir menceritakan ada seorang lelaki membawa anak remajanya untuk diberi latihan gunting rambut yang dijadualkan selama tiga bulan.

“Boleh cari makan ke dengan kerja gunting rambut ini?,” tanya lelaki itu, seperti kurang yakin.

Kecewa sungguh Mahadhir mendengar soalan itu, tapi dia tetap tidak putus asa.

“Kemahiran seperti ini tidak rugi kita belajar. Kalau pun kita tidak berminat jadi tukang gunting, ia masih boleh digunakan sebagai batu loncatan untuk kembangkan perniagaan," jelas Mahadhir.

Malah, sudah ada bukti di beberapa tempat, seseorang yang tidak tahu gunting rambut pun boleh buat banyak duit apabila dia tahu menyusun perancangan dengan cara yang betul.

Ada individu yang tidak terlatih sebagai tukang gunting, tetapi mendapat hasil sehingga RM8,000 sebulan hanya dengan menyewa kedai gunting dan mengutip sebahagian hasil daripada mereka yang jadi tukang gunting di situ.

Dalam masa yang sama, ada segelintir daripada kita yang tidak mahu memanfaatkan peluang yang ada, tetapi apabila orang lain rebut peluang yang ada itu, mereka marah-marah dan salahkan semua pihak, kecuali diri sendiri.

Banyak cerita saya dengar anak-anak muda kita, sama ada yang lulus peringkat universiti atau sekolah menengah, menolak tawaran kerja kerana kononnya tidak sesuai dengan jiwa, kelulusan akademik atau jauh daripada keluarga.

Apakah kita masih tidak faham atau sengaja tidak mahu faham dalam keadaan ekonomi hari ini, peluang kerja tidak  mengetuk pintu rumah kita setiap hari?

Untuk Renungan: Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini, 54,103 daripada 238,187 siswazah universiti menganggur dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing pada tahun lepas.

Antara bidang yang mempunyai kadar pengangguran paling tinggi ialah pendaftaran perniagaan, sains gunaan, pengurusan sumber manusia, perakaunan, sastera dan sains sosial.

Jumlah itu digabungkan dengan institusi pengajian tinggi dari universiti awam dan kolej swasta.

Majikan sepatutnya bimbang dengan satu kaji selidik yang dijalankan yang mendapati 36 peratus lepasan ijazah berhenti kerja dalam tahun pertama mula bekerja bagi mencari prospek dan gaji lebih baik.

Kaji selidik dijalankan Monster.com menunjukkan 74 peratus bakat muda yang dikaji meninggalkan kerja  kerana 'kurang perkembangan', sementara 43 peratus lagi mahukan gaji lebih tinggi.

Maaf cakap, ramai daripada kita lebih suka duduk menumpang dagu dan menggigit jari di tepi gelanggang dan melihat orang lain bertungkus-lumus mencari rezeki.