KETIKA menjejak kaki di Langkawi pertama kali di awal 80-an, saya garu kepala untuk dapatkan bahan berita menarik.

Kawasan di situ hanya dipenuhi rumah-rumah kampung dan sawah, dengan kebanyakan penduduk menjadi pesawah, petani, pekerja kontrak serta pekebun.

Kalau ada pun yang berniaga dan bekerja, sebilangan besar terlibat dengan perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit dan rumah penginapan kelas rendah.

Ramai daripada penduduk pulau yang mempunyai lebih kurang 60,000 penduduk ketika itu menggunakan motosikal atau basikal. Kereta tidak banyak.

Pada tahun 1983, hasil daripada tabiat saya yang suka menyebuk, saya akhirnya berjaya bertemu seorang penduduk di Kampung Chenang. Hamad Said namanya.

Kisahnya sangat menarik hingga hasil penulisan saya itu diambil oleh beberapa wakil media lain, termasuk dari luar negara.

Hamad lebih dikenali sebagai Mat Getah kerana dia memperkenalkan pisau toreh dan juga Mat Basikal kerana dia orang pertama menaiki basikal di pulau itu.

Dia mendakwa lahir di Teluk Bahang, Pulau Pinang, dari keturunan Banjar Alai, pindah ke Langkawi pada usia 45 tahun dan tinggal di pulau itu selama 83 tahun. Ini membuatkan dia berumur 128 tahun.

Dalam rencana saya, saya sebut kalau benar dakwaannya itu, Hamad layak dinobatkan sebagai orang paling tua di dunia ketika itu.

Menurut Guiness Book of Records, lelaki paling tua di dunia masa itu adalah Shigechiko Izumi dari Jepun, berusia 116 tahun.

Hamad dan isterinya, Siti Minah Ishak, 102 tahun, meninggal dunia tidak lama selepas temu ramah itu. Mudah-mudahan ALLAH reda dengan mereka.

Dia mendakwa dia seorang daripada 2,000 pemuda yang  mempertahankan Acheh dalam perang dengan Belanda.

Katanya, dia ikrab dengan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dan muda sedikit daripada pahlawan Pahang, Mat Kilau, yang meninggal pada Ogos 16, 1970 pada usia 133 tahun.

Hamad dakwa dia pernah mendapatkan rawatan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bertugas di klinik kerajaan di Langkawi.

“Saya tanya Dr Mahathir kenapa dia simpan jambang. Dia senyum dan bagi tahu pada saya dia akan cukur apabila dia nikah," katanya.

Katanya, Dr Mahathir menepati janjinya itu kerana sebaik sahaja dia berkahwin dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, beliau cukur jambangnya.

Dr Mahathir,  yang menjadi doktor selepas lulus dari Universiti Malaya di Singapura pada 1953, juga berazam mengubah “Sumpah Mahsuri 7 Keturunan” bagi menjadikan Pulau Langkawi destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Hari ini saya kira pembangunan Langkawi sudah cukup pesat. Tidak hairanlah apabila penduduk Chenang sendiri tidak mampu membantu saya mengesan lokasi rumah Hamad di tepi pantai itu.

Langkawi, yang diberi status bebas cukai pada tahun 1987. sejak beberapa tahun lalu menjadi salah satu daripada destinasi pelancongan paling popular di dunia.

Beratus-ratus bangunan agam, termasuk kompleks perniagaan dan pejabat, menghiasi seluruh kawasan bandar dan pantai pulau itu.

Banyak daripada kawasan sawah, dengan padi menguning, dan kerbau yang berkubang, sudah bertukar dengan deretan pejabat, rumah, kedai, hotel dan homestay.

Rumah penginapan kecil dan murah tumbuh seperti cendawan, semuanya dapat tempahan menggalakkan.

Kenderaan, kereta dan motosikal model terbaharu terdapat di merata tempat di seluruh pulau itu.

Melihat kepesatan pembangunan Pulau Mahsuri itu, anda tidak perlu menjadi seorang perancang bertauliah untuk meramalkan bahawa pulau itu akan terus bertukar wajah ke tahap yang lebih baik.

Apa lagi kalau ada sebuah jambatan antara tanah besar dan pulau yang terpisah pada jarak 30 kilometer itu. Wallahuaklam!