WALAUPUN Malaysia berjaya naikkan taraf kehidupan rakyat, masih ada ruang yang memerlukan perhatian segera, termasuk kesejahteraan kanak-kanak.

Penyelidikan yang dibuat mendapati sesetengah kanak-kanak kekurangan zat makanan, manakala sesetengah mengalami gemuk keterlaluan.

Bahkan, masalah pertumbuhan yang terbantut dalam kalangan kanak-kanak di negara ini didapati meningkat walaupun di peringkat global bilangannya menurun.

Berdasarkan sampel miskin bandar yang dijalankan di flat kos rendah di Kuala Lumpur, hasil kaji selidik ini mendedahkan penemuan berkaitan kemiskinan kanak-kanak dalam pelbagai dimensi, terutama mengenai kekurangan zat.

Penyelidikan ini dijalankan oleh sekumpulan penyelidik yang diterajui oleh Ketua Pengarah DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid, seorang pakar ekonomi.

Kaji selidik ini menunjukkan wujudnya krisis di peringkat kebangsaan yang mempunyai kesan jangka pendek dan panjang ke atas kesejahteraan masa depan dan produktiviti ekonomi menjelang 2020 dan seterusnya.

Kadar kemiskinan negara kurang daripada 1 peratus. Malah di Kuala Lumpur ia hampir berjaya dihapuskan, tetapi ia tidak mencerminkan keadaan sebenar daripada hasil kajian.

Kuala Lumpur mempunyai pendapatan per kapita setaraf negara maju, tetapi kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah tidak mencapai tahap itu.

Kaji selidik ini mendapati kira-kira 22 peratus kanak-kanak bawah umur 5 tahun mengalami pertumbuhan yang terbantut, 15 peratus kurang berat badan dan 23 peratus sama ada mengalami berat badan berlebihan ataupun obes.

Mereka tiada ruang belajar yang kondusif dan keadaan persekitaran tidak selamat. Hampir semua kanak-kanak dari 7 hingga 17 tahun bersekolah, tapi hanya seorang daripada dua antara 5 dan 6 tahun dihantar ke pra-sekolah. Dengan pelarasan saiz isi rumah, kadar perbandingan kemiskinan kanak-kanak ini hampir 100 peratus.

Adalah diharapkan hasil kaji selidik ini memberi sinar baharu kepada kehidupan kanak-kanak miskin di bandar yang hidup terpinggir. Hasil kaji selidik ini sepatutnya memberi tumpuan kepada campur tangan terhadap dasar sedia ada untuk memastikan kanak-kanak miskin bandar turut terlibat dalam peluang yang banyak di bandar.

Analisa ke atas faktor yang menyumbang kepada kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun menekankan betapa pentingnya pemakanan dan pendidikan pra-sekolah.

Peningkatan penyakit anemia dalam kalangan wanita mengandung juga menunjukkan perlunya isi rumah bandar diberi kesedaran mengenai kepentingan pemakanan memandangkan ia memberi kesan kepada bayi yang dilahirkan.

Melangkah ke hadapan, salah satu cara optimum untuk memastikan kanak-kanak di Malaysia mempunyai permulaan sama rata adalah dengan menyediakan jaminan keselamatan sosial untuk semua.

Beberapa tahun kebelakangan ini, sistem keselamatan sosial muncul sebagai tumpuan baharu yang utama dalam usaha untuk mengurangkan kemiskinan di seluruh dunia.

Menerusi bantuan pendapatan dan program yang direka untuk memudahkan lagi capaian kepada perkhidmatan (seperti kesihatan, pendidikan dan pemakanan), keselamatan sosial membantu menyedarkan hak asasi kanak-kanak dan keluarga.

Strategi keselamatan sosial juga adalah elemen penting dalam keberkesanan dasar yang bertindak terhadap keadaan ekonomi yang buruk. Ia bukan sahaja menangani kelemahan yang disebabkan oleh keadaan semasa tetapi juga meningkatkan persiapan menghadapi masa depan yang tidak menentu.

Sistem keselamatan sosial yang peka kanak-kanak mengurangkan kesan kemiskinan keluarga, mengukuhkan peranan keluarga dalam penjagaan kanak-kanak dan meningkatkan capaian kepada perkhidmatan asas untuk golongan miskin dan terpinggir.

Memandangkan ramai kanak-kanak berisiko tinggal di pusat asuhan, sistem keselamatan sosial yang peka kanak-kanak mesti prihatin terhadap golongan lemah ini, termasuk kanak-kanak yang alami penderaan dan diskriminasi keluarga.

Cadangan munasabah bagi atasi masalah kemiskinan kanak-kanak bandar yang terhasil daripada kaji selidik ini dan untuk mencapai kesan yang lebih baik, termasuk:

1. Menyediakan elaun penjagaan sejagat untuk kanak-kanak.

2. Memastikan bayi mendapat susu ibu sepenuhnya untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.

3. Melaksanakan cukai ke atas minuman bergula.

4. Menyediakan ruang sosial yang selamat bagi  murid sekolah.

5. Mengkaji semula angka tunjuk kemiskinan khususnya bagi pendapatan garis kemiskinan dan menggunakan penunjuk pelbagai dimensi termasuk untuk tahap pemakanan kanak-kanak dan perbandingan pendapatan garis kemiskinan.

Sudah tiba masanya semua pihak berkepentingan meningkatkan usaha melindungi kanak-kanak sebagai ahli paling lemah dalam masyarakat.