MINGGU lepas, kali kelima dalam tempoh dua tahun, saya menziarahi kawan-kawan lama bersama enam sahabat melalui apa yang kami namakan “Kembara Ziarah”.

Selepas menziarahi berpuluh-puluh rakan yang mampu kami jejaki di seluruh semenanjung, kami mengulangi kembara ke arah utara, meliputi Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Betullah kata orang, jauh berjalan luas pemandangan, banyak pengalaman. Bukan sekadar melihat keindahan alam dan menikmati pelbagai jenis makanan, kembara mengajar kita erti kehidupan dan nilai persahabatan.

Kita akan menyedari persahabatan sejati adalah berbincang, bukan bertengkar, memberi bukan meminta, berkongsi ke arah kebaikan, bukan bersubahat mempertahankan kebobrokan.

Kita insaf melihat kesusahan orang lain dan bersyukur dengan nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita.

Kata pepatah Cina: “Anda anggap anda malang kerana tidak mempunyai kasut sehinggalah anda melihat orang yang tidak mempunyai kaki.” 

Dalam kehidupan ini, kita perlu belajar melihat kebaikan kawan untuk dijadikan teladan, bukan cari kesilapan untuk aibkan kawan. 

Kalau sembilan daripada 10 sikap sahabat kita baik, kita ambil yang sembilan itu dan abaikan yang satu. Kalau satu sahaja daripada 10 sikap sahabat kita baik, kita ambil yang satu itu untuk kita contohi dan abaikan yang sembilan lagi.

Kita selalu dengar atau baca bahawa bukanlah sahabat sejati mereka yang mencari kesilapan kawan untuk diaibkan, tetapi sahabat sejati adalah mereka yang bercakap benar di hadapan sahabat dan mencari kebaikan sahabat untuk dikongsi dan diamalkan.

Kembara kali ini membawa kami berenam sekali lagi ke rumah beberapa sahabat yang sihat dan kurang sihat, termasuk Haji Mohd Zain Lebai Othman di Natoi, mukim Hosba, kira-kira 10 kilometer ke utara Jitra, Kedah.

Ini adalah kali kedua kami menziarahi beliau. Saya terharu melihat ketabahan beliau.

Walaupun menghadapi masalah penglihatan akibat tumor lebih lima tahun lalu, kematian isteri pada 2014, kematian anak lelaki pada 2015, Zain tetap tabah.

Ketika kami menziarahinya, beliau sentiasa mempamerkan keceriaan, berkongsi cerita tentang pengalaman semasa bekerja dalam pasukan keselamatan di Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) bermula 1970 hinggalah bersara 2003.

Hanya ketika kami meminta diri selepas bermalam di rumahnya, Zain jelas sudah hilang kemampuannya untuk menyembunyikan perasaan sedih yang barangkali dipendamkan selama ini.

Dalam sedu-sedan, suaranya terketar-ketar mengucapkan terima kasih kepada kami kerana menziarahinya.

“Insya-ALLAH, panjang umur kami, kami akan datang lagi,” kami membalas, sambil mendoakan beliau semakin sembuh dan sihat.

Zain, sejak kematian isteri dan anak sulungnya, seorang peguam, dijaga oleh anak lelaki, juga seorang peguam di Jitra, dan menantu, yang tinggal bersamanya.

Kami juga menziarahi rakan-rakan lain dalam tempoh tiga hari itu - Othman Atim di Kuang, Idrus Abdullah (Bukit Mertajam), Yahaya Daud (Tikam Batu), Ismail Bahrum (Sungai Petani), Ismail@ N Saat (Pendang), Ishak Ibrahim (Simpang Empat, Kangar), Kho-Lin Ab Hamid (Jitra), Zulkifli Hassan (Kuala Kedah) dan Ahmad Rosdi Ismail (Guar Perahu).

Semua mereka bekas pegawai dan kakitangan Jabatan Keselamatan di LPK yang berkhidmat beberapa ketika sebelum balik ke negeri kelahiran masing-masing atau berkhidmat dalam kerjaya lain.  

Ismail Bahrum, yang kami ziarah kali kedua di Sungai Petani, kelihatan lebih sihat daripada ketika kami ziarahinya dua tahun lalu.

Ismail berkhidmat di Jabatan Keselamatan LPK sebelum bekerja di tempat-tempat lain, sebelum bersara, menjadi imam, nazir dan jurunikah. Beliau kini menetap di rumah anaknya untuk terus mendapatkan rawatan di pusat kesihatan.

Kepada semua rakan kami itu, kami berjanji akan cuba ziarahi lagi sekiranya keadaan mengizinkan.

Dalam usaha mempertemukan rakan-rakan yang sudah lama berpisah, kami berusaha menganjurkan majlis perjumpaan semula di Klang pada 19 Ogos depan. Insya-ALLAH.