MASA di bangku sekolah lagi, saya sudah gila menulis, tak kira sama ada untuk majalah atau untuk mengisi penceritaan yang mengiringi lagu dalam program-program radio.                       

Saya tulis apa sahaja,  sajak, cerpen, pantun, malah gurindam dan menyalin kata-kata hikmat atau lirik-lirik lagu yang menyentuh jiwa untuk menjadi modal penulisan.

Dan sepanjang yang saya ingat, cita-cita saya hanya ingin menjadi penulis atau wartawan, walaupun tiada seorang dalam keluarga atau sanak-saudara menceburi bidang itu pada masa itu. 

Tak tahulah kenapa ke situ hala cita-cita saya. Barangkali kebolehan saya tidak menonjol di bidang lain.

Tetapi saya rasa Allahyarham ayah saya (moga ALLAH kumpulkan bersama para solihin) juga ada bakat menulis.

Sejak dilantik menjadi imam dan khatib di hujung 70-an, beliau tidak pernah gagal mengarang sendiri khutbah yang disampaikan setiap Jumaat di masjid-masjid di mana beliau diundang.

Yang menarik, kalau saya balik bercuti, beliau memberi penghormatan kepada saya untuk membaca dan mencadangkan fakta tambahan di mana saya rasa sesuai dan perlu. Biasanya, tiada  yang perlu ditokok tambah, kerana butir-butir dan cara penulisan beliau sudah cukup mantap dan berkesan.

Beliau meninggal dunia 27 tahun lalu, ketika saya di Britain sebagai koresponden dan beberapa khutbah yang beliau karang masih disimpan rapi dalam almari di rumah keluarga. Khutbahnya yang terakhir adalah mengenai amanah.

Dalam kalangan adik-beradik dan sanak-saudara, bidang kerja adalah pelbagai. Ada yang menjadi pegawai polis dan tentera. Ada juga yang memilih untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Apabila kami berkumpul pada hari raya atau kenduri, selalu kami berseloroh sesama kami.

“Jaga-jaga, jangan terlepas cakap. Wartawan ada di sini,” gurau bapa saudara saya, seorang pegawai polis ketika itu.

Hanyalah selepas saya sudah lebih 30 tahun sebagai wartawan, beberapa anak saya mengikut jejak langkah saya. 

Bermula 2005, seorang demi seorang menceburi bidang kewartawanan. Hari ini sudah empat daripada tujuh anak saya sudah menceburi bidang kewartawanan.

Ada dalam kalangan kawan-kawan yang mengucapkan tahniah kepada saya kerana ‘berjaya membimbing’ empat orang anak mengikut jejak langkah saya.

Tetapi, terus-terang, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk mendorong anak-anak turut menceburi bidang yang saya minati. .

Saya dipindahkan 12 kali ke hampir seluruh semenanjung ketika menjadi ketua biro dan koresponden antara 1980 dan 2014.

 Isteri dan anak-anak ikut berpindah tanpa ingkar tetapi tiada seorang pun pernah saya bawa ke tempat bertugas, kecuali ke pejabat sekali-sekala.

Sebagai seorang ayah, saya sentiasa berdoa dan berharap anak-anak saya ‘menjadi manusia’, berjaya di dunia dalam apa juga bidang yang mereka pilih dan tentunya saya mahu mereka lebih berjaya di akhirat.

Tetapi saya terima hakikat bahawa mereka sendiri memilih menjadi wartawan, walaupun di peringkat awal mereka tidak belajar dalam bidang itu di universiti; ada yang ambil bidang berkaitan arkitektur, ada bidang ekonomi dan bahasa.

Betullah kata pepatah, ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi! 

Ada yang percaya tentunya rumah saya riuh-rendah dengan perbincangan dan perdebatan mengenai isu-isu semasa kerana ada ramai wartawan, tetapi ini tidak selalu berlaku. Ada jugalah sekali-sekala kami bertukar fikiran tentang kaedah penulisan yang baik.

Saya tidak nafi pada awal penceburan mereka, memang saya pantau penulisan mereka dan tegur jika terdapat kesilapan, namun saya gembira mereka tidak ulangi kesilapan. 

Tetapi ia bukan sesuatu yang luar biasa pun kerana saya juga sentiasa memantau penulisan wartawan di bawah seliaan saya.

Pengalaman membaca dan menulis bertahun-tahun memberi sedikit kelebihan kepada saya untuk membezakan penulisan yang baik dengan yang tidak.

Kepada wartawan, tidak kira siapa mereka, saya sering tekankan pentingnya kita berpegang kepada etika penulisan, biar apa pun fahaman politik dan kecenderungan kita.

Kalau kita berani berbohong, sanggup membantu menyebar fitnah, sedia bersekongkol dalam kerja maksiat, penyelewengan dan rasuah, dan memaksa diri menyebarkan tanpa usul periksa perkara yang kita sedar tidak sewajarnya kita sebarkan sebagai wartawan yang beretika, maka bersedialah menjawab di hadapan ALLAH nanti, walaupun kita boleh melepaskan diri di dunia fana ini. Wallahuaklam!