WAKTU berlalu begitu cepat. Kita menanti kedatangan Ramadan dan kini ia sudah meninggalkan kita secepat ia datang. Panjang umur kita, kita akan bertemu lagi dengannya. Kalau tidak, tiadalah lagi.

Bagaimanapun, yang penting adalah setiap selepas Ramadan kita perlu nilai semula keadaan diri kita masing-masing. Adakah kita sudah menjadi semakin baik selepas Ramadan, atau keadaan kita kembali kepada yang asal sebelum Ramadan?

Menurut Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali: "Antara tanda diterima amalan adalah seseorang itu akan berterusan melakukan ketaatan yang lain selepas itu, manakala antara tanda tertolaknya sesuatu amalan ialah apabila amalannya dikuti dengan maksiat. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan selepas kejahatan akan menghapuskan kejahatan tersebut, dan yang terbaik ialah melakukan kebaikan selepas melakukan kebaikan yang lain. Yang paling buruk ialah seseorang melakukan kejahatan selepas kebaikan yang akan menghapuskan kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan. Melakukan dosa selepas seseorang bertaubat itu lebih buruk daripada 70 dosa sebelumnya".

Kita perlu insaf setiap hari yang berlalu bermakna umur kita semakin berkurang dan langkah kita semakin hampir ke kubur.

Sepanjang Ramadan, kita telah berpuasa pada siang hari dan beribadat pada malamnya. Kita tinggalkan nafsu syahwat, kejahatan dan maksiat kerana takutkan ALLAH.

Ramadan sudah berlalu, tetapi amalan baik kita dicatat dan kekal untuk dibentangkan di akhirat, Insya-ALLAH.

Mereka yang cuai dan buruk amalan pada bulan Ramadan perlu beristighfar dan bertaubat.

Kata alim ulama, selagi umur masih ada, kita masih mampu berusaha menebus dosa dengan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya. Kita boleh baiki amalan yang kurang dengan puasa enam.

Menurut hadis: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari puasa di bulan Syawal, maka ia seumpama berpuasa sepanjang tahun.”

Islam ingin memastikan kita berada dalam suasana ibadah dan amal soleh secara istiqamah, bukan sekadar bulan Ramadan.

Jadilah hamba ALLAH dan bukan hamba kepada Ramadan. Solat wajib diteruskan sama ada bulan Ramadan atau bulan-bulan lain.

“Perbezaan di antara kami dan mereka adalah solat. Sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kufur” - Hadis Riwayat al-Tirmizi.

Memang perlu sangat kita renungi kata-kata beliau itu kerana dibimbangi kalau-kalau keadaan kita selepas Ramadan banyak yang lebih buruk daripada yang buruk. Kita patut berusaha supaya tidak mendapat isyarat daripada ALLAH bahawa amalan kita ditolak.

Justeru, wajar kita meneruskan momentum amalan baik bulan Ramadan dengan berterusan melakukan amal kebaikan hinggalah bertemu Ramadan lagi, walaupun boleh jadi amalan kita di luar Ramadan tidak sekental dalam bulan yang berkat itu.

Alim ulama menjelaskan, antara amalan kebajikan yang wajar dilakukan secara istiqamah adalah adalah solat berjemaah di masjid bagi lelaki, terus melakukan puasa sunat dan solat malam, bersedekah dan membaca al-Quran. Wallahuaklam!

Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW ditanya: "Amal apakah yang paling dicintai ALLAH?". Baginda menjawab: "Yang berterusan walaupun sedikit. Bebanilah diri kalian dengan amal-amal yang mampu kalian lakukan".

Adalah amat menyedihkan sekiranya saf-saf dalam solat di banyak masjid dan surau tiba-tiba penuh dengan jemaah, tetapi apabila berakhirnya bulan yang berkat itu, suasana menjadi muram kembali.

Menurut alim ulama, kesimpulannya, ciri-ciri takwa ada lima. Jika kita memilikinya, puasa kita mencapai matlamatnya.

Ciri-ciri itu adalah menginfakkan harta sama ada waktu lapang ataupun waktu sempit, menahan marah, memaafkan kesalahan orang, teringat ALLAH dan memohon keampunan jika melakukan perbuatan keji dan tidak meneruskan perbuatan keji yang pernah dilakukan.

Menurut ulama, rajin beribadah bukanlah hanya patut dilaksanakan ketika Ramadan.

Ulama salaf pernah ditanya tentang sebahagian orang yang rajin beribadah pada bulan Ramadan, tetapi apabila bulan itu berlalu, mereka pun meninggalkan ibadah-ibadah tersebut.

Jawabnya: “Alangkah buruknya tingkah laku mereka itu. Mereka tidak mengenal ALLAH melainkan hanya di bulan Ramadan!”.

Menurut pendapat generasi salaf, seburuk-buruk manusia ialah yang tidak mengenali ALLAH kecuali dalam bulan Ramadan. Maka jadilah manusia yang menyembah Tuhan, bukan yang menyembah Ramadan.