ALKISAH, dalam sebuah kolam di pinggir hutan, ada seekor raja katak yang adil.

Ia selalu ingatkan rakyatnya berwaspada terhadap musuh, terutama ular, yang asyik menjadikan katak makanan mereka.

Apabila raja katak itu mati, maka takhtanya ditinggalkan kepada puteranya. Malangnya, sikap sang putera katak itu tidak mulia seperti sikap raja katak yang disayangi rakyat itu.

Putera katak itu bersikap egoistik dan tidak peduli dengan nasib rakyatnya. Dia  lebih  suka berfoya-foya dan mengisi kepentingan diri hingga urusan pemerintahan terbengkalai.

Maka tidaklah hairan apabila tingkah laku putera raja katak itu menjadi bualan seluruh rakyat katak yang benci kepadanya.

Kisah putera katak yang egoistik itu akhirnya sampai ke pengetahuan seekor ular yang hidup dalam sebuah lubang.

Kerana terlalu tua, ular itu tidak mampu lagi untuk berburu. Makanannya hanyalah  haiwan kecil yang merayap dekat kawasannya.

Pada suatu hari, ular tua itu menghampiri kolam putera katak dan menyatakan kesanggupannya mengabdikan diri untuk menjaga keselamatan putera katak berkenaan, tetapi dengan satu syarat, iaitu ia mesti dijamu dengan seekor katak setiap hari.

Menyangka ia terlalu hebat hingga ular sanggup mengabdikan diri kepadanya, putera katak itu termakan umpan ular tua itu. Maka, setiap hari seekor demi seekor katak dijamu kepada si ular tua itu.

Akhirnya, setelah habis rakyat katak di kolam itu dimakannya, putera katak itu sendiri terpaksa menyerah diri untuk ditelan ular tua itu.

Itu cerita dongeng, tetapi di dunia realiti pun banyak cerita berkaitan katak.

Terdapat sebuah laporan tahun lalu mengenai seorang kanak-kanak di Bihar, India, yang disisih dan diejek rakan-rakan sebaya kerana matanya tersembul seperti mata katak.

Shaili Kumari, 7, sebenarnya mengidap penyakit aneh, sindrom Crouzon, iaitu pertumbuhan tengkorak kepala yang tidak matang, yang menyebabkan bola matanya seolah-olah mahu terkeluar dari kelopak matanya.

Disebabkan dibuli, digelar katak dan makhluk asing, Shaili selalu tidak hadir ke sekolah dan akhirnya berhenti persekolahan.

Sebenarnya, bukan orang seperti Shaili sahaja yang digelar katak. Dalam politik tanah air, ramai yang berpindah daripada satu parti ke satu parti lain digelar katak.

Masalahnya, yang keluar parti untuk berkecuali, masuk parti lain atau menubuhkan parti baharu bukan calang-calang orang. Sebilangan mereka adalah nama-nama besar, yang disisih, disingkir atau keluar kerana rasa tertekan atau benci kepada tindakan  pemimpin.

Yang menjadi persoalan, apakah semua yang kekal dalam sesuatu parti itu tentunya baik, manakala yang meninggalkan parti dianggap tidak berguna? Tidakkah mungkin ada yang kekal dalam sesuatu badan itu bukan kerana setia, tetapi kerana takut hilang habuan, takut dikritik atau bimbang rahsia dibocorkan.

Mereka yang ada integriti akan berjuang dengan jujur ke arah kebaikan, menentang kemungkaran di mana sahaja, di mana sahaja mereka berada. Adalah payah meramalkan siapa yang jujur dan siapa yang khianat.

Siapa boleh nafikan ada yang kekal dalam sesuatu organisasi walaupun jiwa mereka memberontak dan tidak berani bersuara kerana takut hilang habuan atau berhadapan dengan kecaman, ugutan atau tekanan?

Siapa boleh nafikan ada juga yang menjadi katak kerana mereka tidak mendapat habuan yang mereka kehendaki di tempat lama?

Hakikatnya, kekal dalam sesebuah organisasi atau melompat seperti katak bukanlah ukuran dan penentu kepada sikap baik buruknya seseorang. Tetapi yang menjadi ukuran dan nilai adalah niat.

Apakah seseorang itu terus berada dalam sesebuah organisasi kerana dia betul-betul berazam mewujudkan perkara-perkara yang baik atau dia tidak berani tinggalkan organisasi itu kerana takutkan sesuatu.

Ia tidak bermakna seseorang itu baik dan jujur sekiranya dia terus dengan satu organisasi dan dia menjadi tidak jujur dan tidak ikhlas jika dia meninggalkan sesuatu organisasi.

Apakah seseorang itu perlu terus menjerat diri dalam sesebuah organisasi sedangkan tempat itu lebih banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat?

Menjadi katak atau tidak, pokok pangkalnya perjuangan sebenar memerlukan pengorbanan dan kejujuran, bukan untuk mengisi temolok sendiri.