SUDAH diketahui ramai bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V seorang yang baik dan rajin turun padang bertemu rakyat, tetapi jarang kelihatan baginda senyum, apa lagi ketawa dan membuatkan orang lain ketawa.

Tetapi semalam baginda membuktikan segala sangkaan bahawa baginda seorang yang berwatak serius, salah.

Tanpa diduga, sebelum bersemayam di atas kerusi di-raja Dewan Rakyat, untuk merasmikan istiadat Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 Dewan Rakyat dan Dewan Negara, baginda, secara bersahaja, bertitah:

“Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tuan Yang Dipertua Dewan Negara dan ahli-ahli yang berhormat sekalian. Sila duduk dan jangan lari,” Titah baginda ‘jangan lari’ secara spontan itu mencipta kejutan dalam kalangan 221 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak hadir kerana masih berehat selepas pembedahan.

Untuk beberapa saat, seluruh dewan bergema dengan gelak ketawa. Rakaman video mengenai peristiwa yang menggelikan hati itu dikongsi melalui WhatsApp bertalu-talu.

Apa tujuan sebenar baginda mengeluarkan perkataan ‘jangan lari’ yang membuat semua hadirin berdekah-dekah dalam Dewan yang mulia itu tidaklah diketahui setakat ini, tetapi ia membuat setiap yang hadir semalam rasa selesa dan terhibur. Ia barangkali memadamkan rasa muram, geram atau bosan yang mungkin ada. Wallahuaklam!

Kepada Sultan Muhammad V, kita patut junjung kasih kerana telah membantu menyejukkan suasana dewan dengan suntikan lawak baginda.  

Menyebut mengenai kejutan, sebenarnya kejutan sudah berlaku di hari pertama kehadiran ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk istiadat angkat sumpah kelmarin. Peristiwa itu juga mendapat perhatian ramai dan ditular secara meluas.

Perlu disebut, sebenarnya ramai tidak sabar-sabar menanti untuk menyaksikan sesuatu yang baharu dan lebih menarik pada persidangan pertama diadakan selepas kerajaan bertukar tangan.

Ramai menjangkakan hasil persidangan kali ini dan seterusnya pasti membuahkan hasil lebih memberangsangkan kerana pembangkang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen berpengalaman, dengan kebanyakan mereka daripada parti yang kuat dan lama.

Mereka bayangkan setiap ahli Parlimen, tak kira yang mewakili kerajaan atau yang mengambil alih tempat pembangkang kali ini, masuk dengan pakaian segak dan penuh keyakinan bagi memulakan sesi pertama sidang Dewan Rakyat selepas PRU14 9 Mei lalu.

Saya tidak bertujuan menuduh siapa salah dalam perkara ini, tetapi pada saya, yang berlaku pada persidangan kelmarin bukan sahaja membuat ramai tertanya-tanya punca sebenar, malah ia sesuatu yang mengecewakan.

Rupa-rupanya, semua wakil pembangkang, kecuali Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, keluar Dewan kerana tidak puas hati dengan proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang dikatakan tidak mengikut peraturan. BN diwakili 51 ahli Parlimen dan Pas 18.

Apakah tindakan keluar dewan itu satu sandiwara pembangkang seperti yang didakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau ia satu kejutan daripada tindakan spontan?

Bagi saya, dan, saya percaya, bagi ramai lagi rakyat yang mahu melihatkan suatu perubahan dari segi kualiti persidangan Dewan Rakyat, ia suatu yang sangat menyedihkan.

Tindakan keluar dewan sebenarnya tidak tamat di situ sahaja. Kini Khairy dan Anifah, dijangka menghadapi tindakan Umno kerana tidak ikut keluar Dewan bersama yang lain.

Apakah mereka sendiri tidak sokong dengan tindakan rakan-rakan separti? Apakah itu tanda-tanda mereka akan ikut beberapa rakan lain lompat ke parti-parti dalam Pakatan Harapan dalam masa terdekat? Wallahuaklam! Setakat ini mereka masih setia dengan parti.

Apa pun, sebarang kekecohan dan kekeruhan suasana dalam Dewan Rakyat atau Dun membuang masa sia-sia dan tidak menguntungkan sesiapa.

Setelah 61 tahun negara mencapai kemerdekaan, tentunya tidak keterlaluan, bahkan sudah sepatutnya bagi rakyat berharap menyaksikan tahap kematangan tinggi di semua peringkat kepimpinan, sama ada dalam politik atau kerajaan.

Peringatan Sultan Muhammad V supaya ahli-ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan secara sihat, matang dan dapat merangsang dinamik berfikir supaya institusi Parlimen terus dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar, cukup dalam maknanya dan perlu dipatuhi semua pihak berkaitan.

Mudah-mudahan dalam suasana Malaysia baharu sekarang, kita tidak disajikan dengan kata-kata kesat dan perbahasan tidak berkualiti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dun. Insya-ALLAH!