SELANG dua tiga hari akan adalah kawan-kawan bertanya kepada saya Jho Low berada di mana sekarang.

Macamlah Jho Low atau nama penuhnya Low Taek Jho itu kawan saya, atau menjadi tugas dan tanggungjawab saya menentukan di mana dia berada.

Secara jujur, saya pun, macam rakan-rakan lain, sentiasa tertanyatanya di manakah lelaki yang dikaitkan dengan kehidupan mewah dan skandal 1 Malaysia Development Board (1MDB) berada sekarang.

Apakah dia berada di Hong Kong, di Macao, di China, di Timbaktu atau di mana-mana ceruk di Malaysia saya tak pastilah. Yang saya pasti adalah, apabila seseorang itu ada banyak duit dan harta, dia boleh pergi ke mana sahaja dia suka di muka bumi ini dengan mudah.

Bahkan dia boleh buat pembedahan untuk menukar bentuk muka yang bulat kepada bujur, daripada licin gebu kepada bermisai, berjanggut dan berambut panjang atau terus menjalankan pembedahan untuk menukar jantina sekali pun.

Kalau polis kita yang kita tahu sangat cekap pun kata mereka belum tahu di mana lelaki bermuka bulat itu berada sekarang, kalau Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengatakan beliau tidak tahu, siapalah saya untuk tahu kedudukan Jho Low.

Setakat ini, macam-macam ceritalah saya dengar. Dia didakwa pernah berada di Hong Kong, di Macau, di China dan banyak tempat lagi.

Ketika kita berdebar-debar menunggu keputusan PRU14 pada 9 Mei lalu, Jho Low dikatakan berada di Hatyai, Thailand, sebelum beredar ke Hong Kong apabila BN tewas di tangan Pakatan Harapan.

Dikatakan dua minggu lalu, Jho Low, yang licik itu, berjaya ditangkap di Hong Kong dan akan dihantar ke negara ini melalui Pulau Pinang.

Bagaimanapun, polis menegaskan mereka tidak dapat apa-apa maklumat mengenai perkara itu,

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sekadar berkata, laporan dari Hong Kong itu perlu diperiksa terlebih dahulu..

Menurut beliau, satu Interpol Red Notice sudah pun dihantar untuk mengesan ahli perniagaan berusia 37 tahun itu. “Kita percaya dia bergerak ke Taiwan, Hong Kong, Macau and China. Itulah yang terbaharu kami dapat tahu," katanya baru-baru ini. Pemburuan Jho Low, yang dikehendaki untuk membantu siasatan rasuah global yang dikaitkan dengan 1MDB itu membawa pihak perisik hingga ke pulau-pulau Hindia Barat.

Lebih sebulan lalu, pasport Malaysia Jho Low telah dibatalkan.

Laporan dua minggu lalu menyebut Jho Low sudah beredar jauh ke pulau-pulau Saint Kitts and Nevis, negara kecil di Hindia Barat, yang mempunyai banyak pulau. Jho Low dikatakan telah menjadi warga Saint Kitts and Nevis and memiliki harta di Saint Kitts.

Menurut sumber, dia terpaksa bersembunyi di sana kerana sudah tiada tempat lain lagi yang dia rasa selamat untuk bersembunyi.

Pemegang pasport Saint Kitts dan Nevis dikatakan boleh pergi ke lebih 140 negara, termasuk Eropah, Britain dan Kanada, tanpa visa. Kisah pelarian Jho Low ini mengimbau fikiran saya kepada cerita hebat filem bersiri televisyen, The Fugitive..

Filem itu adalah antara yang paling diminati di masa itu. Maka, tidaklah hairan ia ditayangkan di televisyen selama empat tahun bermula 1963.

Filem itu mengesahkan Dr Richard Kimble (lakonan David Janssen) yang dijatuhkan hukuman penjara kerana didakwa membunuh isterinya sendiri.

Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila dia berjaya menyelamatkan diri daripada genggaman polis setelah gerabak kereta api yang membawanya ke penjara terbalik.

Bermula dari situ Dr Kimble terpaksa bergerak dari satu tempat ke satu tempat sebagai seorang pelarian, dengan terus diburu polis.

Sementara polis giat menjejakinya, Dr Kimble mengatur rancangannya sendiri untuk bersemuka dengan pembunuh isterinya, iaitu seorang lelaki kudung tangan kiri, bagi mengheretnya ke muka pengadilan dan membuktikan dirinya tidak bersalah.

Pada siri terakhir The Fugitive itu, pegawai polis yang ditugaskan menangkap Dr Kimble sendiri bertindak menembak mati lelaki itu ketika lelaki itu hampir menembak Dr Kimble dalam pergelutan di atas sebuah menara.

Akhirnya, Dr Kimble mendapat seorang saksi yang sedia membuktikan dia tidak bersalah. lalu dia dibebaskan daripada tuduhan.

Jho Low macam mana? Apakah pengakhirannya? Apakah polis akan berjaya menangkap ahli perniagaan itu atau dia sanggup terus menjadi pelarian dan hidup di dalam persembunyian sehingga dia dikesan, ditangkap dan dibawa balik ke negara ini untuk membantu siasatan kes berkaitan skandal 1MDB.

Saya kira adalah paling balik kalau Jho Low kembali sahaja ke Malaysia untuk menyerah diri dan membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Tidak ada gunanya dia lari, kerana pada suatu masa, dia pasti akan ditemui juga.