SELURUH negara terkejut menerima berita kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, yang mengorbankan 23 nyawa Khamis lalu.

Pelbagai pihak, menteri, pihak berkuasa, badan bukan kerajaan, ibu bapa, pendidik dan ahli politik  muncul menyuarakan simpati dan memberi sumbangan.

Ramai menyuarakan kesedihan dengan tragedi yang sangat menyayat hati itu.

Ada segelintir yang menyalahkan beberapa masalah keselamatan dan seumpamanya di pusat tahfiz kerana menganggap itulah punca tragedi tersebut. 

Dua hari kemudian, seluruh negara terperanjat sekali lagi. Rupa-rupanya punca kebakaran itu tiada kaitan dengan keadaan keselamatan di situ, tetapi atas perbuatan sekumpulan remaja  angkara dendam; sesuatu yang tidak pernah difikirkan boleh berlaku di negara ini.

Mereka dikenali di kawasan kejiranan, tetapi mungkin tidak diberi cukup perhatian.

Tetapi dengan tragedi pada 14 September itu, remaja-remaja itu menarik perhatian seluruh negara. 

Polis sahkan enam daripada tujuh remaja yang diperiksa berkaitan kes tersebut positif dadah.

Difahamkan, ada kalangan mereka daripada keluarga bermasalah dari flat kos rendah dan terdedah kepada penyalahgunaan dadah.

Maka, bagi yang mungkin terlupa, kita kena kembali kepada hakikat rupanya dadah masih terus menjadi musuh nombor satu negara.

Sama ada ada kaitan dengan kes itu atau tidak, beberapa operasi pihak berkuasa di banyak tempat telah membuktikan penyalahgunaan dadah dalam kalangan juvenil (budak-budak) serta remaja sudah sampai ke tahap bahaya dan perlu diperangi habis-habisan.

Di Pulau Pinang sahaja, 26 remaja ditangkap di sebuah flat dalam keadaan mabuk akibat dadah. Mereka termasuk lima pelajar. Seorang daripada empat pelajar perempuan yang terlibat berumur 15 tahun.  

Menurut laporan, flat itu disewa oleh kumpulan pelajar itu pada kadar RM300 satu malam untuk berkhayal dengan dadah.

Mana mereka kaut duit ? Apakah ibu bapa mereka tidak pantau?

Kes ini berlaku di Prai. Bagaimana dengan tempat-tempat lain di Pulau Pinang? 

Apa sudah jadi dan kemungkinan sedang berlaku di merata tempat di negeri-negeri lain? Ia adalah hakikat yang menakutkan.

Laporan polis menunjukkan kira-kira 1,330 pelajar sekolah rendah dan menengah ditangkap atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah sejak tiga tahun lepas,

Seramai 439 ditahan pada 2014, 443 pada 2015 dan 448 tahun lalu.

Menurut polis, ia menunjukkan sedikit kenaikan, tetapi masih terkawal. 

Itu yang ditangkap setakat ini. Esok lusa bilangan mereka yang didapati terjebak mungkin bertambah. Wallahuaklam!

Bagaimana yang tidak dapat dikesan atau yang masih terlibat dengan penyalahgunaan dadah tetapi dilindungi oleh keluarga sendiri dan dipandang sebelah mata oleh segelintir masyarakat?

Kita perlu akui bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu masalah besar yang perlu ditangani segera secara serius oleh semua pihak yang cintakan negara ini dan cintakan generasi akan datang.

Tiada masa untuk kita menuding jari mencari kesalahan orang lain.

Penyalahgunaan dadah sudah terbukti berulang kali merosakkan perhubungan keluarga, mencetus perbuatan jenayah kecil dan besar, malah mengakibatkan tragedi seperti apa yang berlaku di pusat tahfiz di Keramat itu.

Kita tidak boleh nafikan kewujudan masalah besar ini yang sangat bahaya kepada keluarga, masyarakat, negara dan generasi kita.

Kita boleh mempunyai perbezaan pendapat, pegangan ideologi politik dan konsep perjuangan, tetapi hentikan pertelingkahan untuk kepentingan diri dan kumpulan. 

Kita perlu menggembleng tenaga dan fikiran, bersatu memerangi penyalahgunaan dadah, yang sudah terbukti menjadi musuh nombor satu negara, di semua peringkat, di semua tempat.

Peperangan terhadap musuh negara nombor satu ini tiada ada noktah. Selagi ada matahari dan bulan, ia perlu diteruskan.

Yang dikhuatirkan adalah sikap segelintir daripada kita yang hangat-hangat tahi ayam sahaja!

Apabila berlaku sesuatu musibah dan tragedi, riuh-rendah bagaikan langit nak runtuh, tuduh sana tuduh sini, desak sana sini dan ajukan  pelbagai cadangan.

Tetapi tidak lama kemudian, masuk kelambu, berdengkur kembali,  duduk di beranda, menumpang dagu, menggigit jari.

Mengenai keselamatan di pusat-pusat tahfiz, perlu disebut langkah menghantar penuntut-penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk memeriksa sistem pendawaian elektrik di kira-kira 100 pusat tahfiz yang berdekatan dengan IKBN di seluruh negara secara percuma adalah sesuatu yang tatut dihargai.

Syabas IKBN. Diharap inisiatif anda untuk menyumbang ke arah keselamatan nyawa ini diteladani oleh lebih banyak pihak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SAYA sangat sedih tetapi tidak terperanjat apabila diberitahu anak saudara saya, Murniza, meninggal dunia kelmarin.
  • KES leher kanak-kanak dirantai di tong gas Khamis lalu mengimbau fikiran saya kepada kisah Kunta Kinte yang saya tonton di TV penghujung 70-an.
  • SEORANG mukmin itu melihat dosanya seolah-olah dia berada di kaki gunung. Dia khuatir gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orangdurhaka melihat dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya. Dia mengusir dengan tangannya, maka lalat itu terbang.” - Hadis.
  • SAYA sangat tidak suka pergi ke kebanyakan pesta sebab di samping tidak tahan dengan kesesakan, ia lebih kepada buang duit dan masa sahaja.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.