KETIKA mula-mula dibangunkan pada 1963 untuk dijadikan pusat pentadbiran Kerajaan Selangor yang baharu bagi menggantikan Kuala Lumpur, Shah Alam tidak banyak menarik perhatian ramai.

Walaupun rumah-rumah dijual pada harga sangat murah ketika itu, tidak ramai berminat kerana menganggap ia terpencil dan mempunyai kemudahan pengangkutan terhad.

Shah Alam, yang awalnya ladang sawit dengan nama Sungai Renggam, terletak 6 km dari bandar diraja Klang, 27 km dari Petaling Jaya dan 35 kilometer dari Kuala Lumpur, dianggap kurang pembangunan dan kemudahan.

Hari ini, Shah Alam, digelar Bandaraya Anggerik, mempunyai pelbagai kemudahan dan tarikan yang menjadi kebanggaan rakyat.

Shah Alam, nama yang diberi atas perkenan DYMM Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor yang baharu pada 7 Disember, 1978, bagi menggantikan Klang.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah adalah yang kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal di Jakarta, Ia mempunyai kubah terbesar di dunia.

Tetapi biasalah, apabila sesuatu tempat itu maju dan menarik perhatian ramai, ia akan turut mengundang banyak masalah, termasuk jenayah.

Maka mulalah berlaku kes-kes pecah rumah, curi, samun, dadah dan sebagainya.

Itu pun ada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa tempatan dan pasukan rondaan dalam kalangan penduduk. Kalau tidak, entahlah apa nak jadi!  

Seperti di kawasan lain, Shah Alam juga tidak sunyi daripada kes-kes berkaitan kewujudan kucing dan anjing berkeliaran.

Banyak kucing dilepaskan di kawasan pasar dan kedai-kedai makan. Ada yang digilis kenderaan dan ada yang dibawa balik.

Yang tidak tahan adalah apabila binatang ini dibela tetapi dibiarkan merayau di tangga dan pintu-pintu jiran di flat.

Jenuh nak kena buang najis dan muntah kucing. Sudah ada pun cerita mengenai orang jatuh kerana tersepak kucing dalam gelap.

Serius atau tidak kes kucing ini, tahun lalu sahaja Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah menangkap 690 ekor kucing terbiar.

Akhir-akhir ini pula terdapat aduan gangguan anjing liar di kawasan perumahan, sekolah, kedai makan, masjid dan surau.

Setakat ini, belumlah dengar ada yang kena gigit atau anjing masuk masjid atau surau, tetapi kehadiran anjing yang banyak membimbangkan penduduk.

Murid-murid lambat ke sekolah dan penduduk takut nak ke masjid dan surau kerana  bimbang diserang kumpulan anjing jalanan.

Peliknya, ramai penduduk orang Islam; mana pula datangnya begitu banyak anjing?

Minggu lepas sahaja, pihak penguat kuasa MBSA menangkap tiga ekor anjing liar.

“Kita dah pasang perangkap untuk tangkap yang lain-lain,” kata jurucakapnya.

Kalau diambil kira bilangannya, nampaknya macam ancaman anjing lebih teruk daripada ancaman kucing di Shah Alam.

Tahun lepas sahaja 2,238 ekor anjing ditangkap oleh MBSA.

Kalau MBSA sudah angkut sampai banyak itu, maka tidaklah patut ada andaian, apa lagi tuduhan MBSA hanya berpeluk tubuh.

Yang penting adalah penduduk perlu terus bantu tangani masalah ini dengan memberi maklumat secara berterusan.

Setakat ini alhamdulillah, di kawasan perumahan saya itu belumlah ada yang kena gigit anjibng atau ada laporan anjing mencemari masjid dan surau.

Tetapi usaha perlu diteruskan, sebelum ia berlaku seperti apa yang terjadi 29 September lalu apabila lapan ekor anjing masuk dalam sebuah masjid di Ipoh.

Juga sudah ada laporan mengenai kemunculan sekumpulan enam ekor babi hutan berkeliaran di belakang sebuah masjid di Ampangan, Negeri Sembilan tidak lama dahulu, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan jemaah masjid.

Yang terbaharu adalah kes seekor babi hutan yang cetuskan ‘huru-hura’ apabila ia masuk masjid di Sungai Plong, Sungai Buloh, Selangor, 7 Mac lalu, menyondol dan mencederakan seorang pemuda dan mengejar kanak-kanak.

Kemunculan babi dan anjing juga pernah dilaporkan di kawasan-kawasan lain di negara ini.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pihak berkuasa memberi perhatian berat tentang ancaman ini, sementara masyarakat perlu memainkan peranan berkesan untuk membantu pihak berkuasa menangani masalah berkenaan.

Janganlah kita jadi orang yang sekadar tahu mengkritik tetapi tidak mahu membantu atasi segala masalah, tidak kira di mana ia berlaku.

Mungkin apa yang berlaku jauh dari kawasan kita dan tidak melibatkan kita atau keluarga kita, tetapi kalau dibiarkan, pada suatu hari nanti, masalah dan ancaman yang sama mungkin melibatkan kawasan dan keluarga kita pula. Wallahuaklam!