SAYA tidak rasa ragu-ragu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha mereka memerangi rasuah.

Bahkan saya percaya pegawai-pegawai mereka selalu bersengkang mata dan berjaga malam untuk mengumpul bukti bagi mengukuhkan kes-kes yang mereka siasat supaya sesiapa sahaja yang masuk jaring mereka, sama ada bilis atau pun jerung, tidak lolos.

Kalau tidak masakan selang beberapa hari ada sahaja individu yang kena tangkap, diheret ke mahkamah dan akhirnya meringkuk dalam penjara kerana rasuah.

Bukan sahaja orang biasa dan pegawai kerajaan bertaraf bilis, penjawat awam bertaraf jerung turut dibawa ke muka pengadilan.

Semalam lima pengurusan kanan daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dipercayai menyalah guna kedudukan mereka untuk kepentingan diri, pula ditahan.

Mereka disyaki terlibat dalam penyelewengan projek pemindahan teknologi tenakan sturgeon bernilai kira-kira RM47.6 juta sejak 2014.

Namun, apa yang saya musykil adalah bagaimana setengah daripada mereka yang terlibat dengan rasuah ini mampu menikmati kenaikan pangkat dan memegang jawatan tinggi sedangkan mereka disyaki melakukan jenayah itu beberapa tahun sebelum itu.

Dalam perkara ini, saya ambil contoh penangkapan seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian baru-baru ini yang didakwa mengaut wang dan harta yang banyak secara rasuah. Bagaimana dia boleh memegang jawatan utama itu sedangkan dia sudah disyaki terlibat dengan rasuah beberapa tahun lalu?

Bukankah kuasa seseorang KSU itu sangat besar kerana dia berhak mengawal pergerakan perbelanjaan dalam kementeriannya?

Apakah ada pihak terlepas pandang atau ada tangan ghaib yang membolehkan mereka yang sudah disyaki terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa menikmati kenaikan pangkat? Apakah ada tekanan ataupun campur tangan orang politik?

Saya tidak menolak hakikat bahawa seseorang itu ‘innocent until proven guilty’ (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah) dan kerana itu tidak adil dia dihukum hanya berdasarkan syak wasangka dan andaian.

Tetapi masalahnya ialah saya percaya kementerian-kementerian, agensi-agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan mempunyai kaedah untuk memantau tindak-tanduk, kegiatan dan stail kehidupan pegawai dan kakitangan masing-masing secara berkesan.

Betulkan saya sekiranya saya tersasar, tetapi bukankah pegawai-pegawai perkhidmatan awam, apa lagi yang memegang jawatan utama, perlu mengisytiharkan harta mereka dan keluarga mereka dari semasa ke semasa?

Kalau belum ada, ia wajib diadakan dan kalau sudah ada, peraturan itu mesti dikuatkuasakan secara berkesan tanpa kompromi.

Saya percaya banyak pihak setuju dengan pendapat saya bahawa tidak guna ada peraturan sekiranya ia mahu dijadikan hiasan sahaja kerana kerajaan tidak membuat peraturan-peraturan hanya untuk dijadikan hiasan.

Memantau dan menguatkuasakan peraturan-peraturan seperti itu hanya perlu mengikut kaedah yang ditetapkan; tidak perlu hadiri kursus yang canggih dan panjang. Yang penting adalah cara pelaksanaan dan yang lebih penting, kesungguhan.  

Sekiranya ada peraturan pengisytiharan harta, tentulah ada pemantauan dan siasatan untuk menentukan kakitangan awam di semua peringkat tidak terlibat dengan kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kalau mereka bergaji sederhana, bagaimana mereka boleh punyai wang yang terlalu banyak, enam tujuh biji kenderaan mahal, beberapa kediaman mewah serta tanah di kawasan-kawasan strategik?

Kalau tidak terlibat dengan rasuah, bagaimana mereka boleh selalu keluar negara untuk bermain golf dan membawa isteri dan anak-anak melancong ke negara jauh?

Saya tidak mahu membuat andaian, apa lagi tuduhan tentang apakah ada pihak yang tutup mulut dan membutakan mata terhadap orang-orang ini. Tetapi tentunya  ada sesuatu yang tidak kena hingga segelintir penjawat awam dan masih mampu naik pangkat walaupun dipercayai terlibat dengan rasuah.

Ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana perasuah mengkhianati negara dan rakyat.

Menurut Audit Negara semalam, adalah diramalkan hingga 30 peratus nilai projek awam hilang akibat amat salah urus dan rasuah.

Amat malang dan mengecewakan kerana dalam kegigihan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan mengharumkan nama negara, terdapat segelintir penjawat awam dan pengurusan kanan yang terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang, jika tidak dikawal, boleh mencemar nama baik kerajaan dan membawa kerugian besar kepada rakyat dan tanah air yang kita cintai ini.