SEJAK tertubuhnya kerajaan baharu pada 9 Mei lalu, wujud suatu suasana di mana rakyat menanti-nanti untuk mengikuti laporan berita baik di radio atau di televisyen.

Bagi mereka, banyak daripada laporan yang disiarkan kini memberi inspirasi, harapan dan kepuasan.

Suasana yang sama nampaknya juga wujud menjelang sidang Dewan Rakyat ke-14 yang dijadualkan berlangsung pada 16 Julai depan.

Ia ditunggu-tunggu kerana ia sidang Parlimen pertama selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan yang didominasi BN sejak lebih 60 tahun lalu.

Seramai 116 penggubal undang-undang mewakili Harapan sebagai kerajaan akan duduk di sebelah kanan dewan dan 57 ahli Parlimen BN di sebelah kiri sebagai pembang-kang.

Sidang Dewan Rakyat penting kerana di situ isu-isu dibentangkan untuk dibahaskan sebelum undang-undang digubal demi kepentingan rakyat.

Malangnya, dewan yang mulia ini kerap jadi gelanggang wakil rakyat bertikam lidah hingga melampaui paras kesopanan.

Ia kerap bertukar menjadi tempat kata nista dihamburkan.

Kadangkala keadaan menjadi panas dengan apabila Speaker dianggap berat sebelah, menolak usul pembangkang tanpa alasan memuaskan.

Selama enam dekad rakyat sudah menyaksikan bagaimana BN beraksi ketika menjadi kerajaan. Kini tiba masanya mereka mahu melihat bagaimana pula aksi Harapan sebagai kerajaan dan sejauh mana keberkesanan BN sebagai pembangkang.

Apakah Harapan akan memberi peluang secara adil kepada BN dalam perdebatan dan sejauh mana kebijaksanaan wakil-wakil BN berhujah dalam sesuatu isu?

Tentunya rakyat tidak mahu menyaksikan Harapan melayan wakil BN dengan cara yang mereka tidak suka dilayan BN ketika BN menjadi kerajaan dahulu.

Pastinya rakyat mahu tahu apakah wakil-wakil BN membuat kerja rumah sebelum membawa sesuatu isu untuk dibahaskan di Parlimen atau bercakap kosong dan mengeluarkan kata-kata kesat, seksis dan mengambil ringan isu-isu berat.

Sikap wakil-wakil kerajaan dan pembangkang kali ini akan menjadi kayu ukur untuk rakyat membuat penilaian tentang kemampuan parti yang diberi mandat menerajui pentadbiran pusat pada PRU14 lalu dan kemampuan BN menjadi pembangkang.

Yang pasti rakyat tidak suka menyaksikan sidang Parlimen dijadikan seperti sarkas yang mencemar imej wakil-wakil dan dewan mulia itu sendiri.

Sebagai parti lama dan berpengalaman, rakyat percaya BN layak menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan.

Kalau tidak, maka jelas BN akan terus kehilangan rasa hormat dan semakin payahlah untuk ia bangkit kembali sebagai parti yang berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

Perlu disebut ada juga wakil rakyat yang berprestasi baik, tetapi tidak kurang yang mengecewakan.

Dengan wujudnya kerajaan baharu, rakyat kini menunggu untuk menyaksikan satu suasana baharu di Parlimen di mana perbahasan dijalankan secara bijak dan terhormat tanpa gentar atau pilih kasih.

Semuanya ini boleh disaksikan jika kerajaan benar-benar mengamalkan ketelusan dan ketulusan, tanpa cuba menyembunyikan keburukan dan kesalahan.

Rakyat harap tidak akan ada isu tidak dibenarkan didebat di sidang Parlimen kerana sikap Speaker yang berat sebelah.

Bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi ketirisan, salah laku dan rasuah adalah antara kaedah terbaik mempertahankan martabat Parlimen.

Untuk mencapai prestasi yang membuat sidang Parlimen dihormati dan membuahkan hasil, contoh melalui teladan perlu datang daripada wakil-wakil rakyat yang menjadi menteri.

Lebih penting, perdana menteri sendiri mesti hadir untuk menjawab segala kemusykilan melibatkan kepentingan negara dan perbelanjaan kerajaan, bukan ponteng dan bersembunyi untuk mengelak tanggungjawab.

Kali ini rakyat menunggu untuk menyaksikan sidang Dewan Rakyat yang bermutu dan boleh dibanggakan, bukan yang berjalan seperti sarkas.

Rakyat mahu saksikan janji Harapan untuk mereformasikan sidang Parlimen supaya tidak berat sebelah seperti masa lalu, ditepati.

Bola kini berada di kaki Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota-anggota pasukannya!