SYAWAL sudah pun masuk hari ke-18, tetapi saya percaya belum terlambat untuk saya ucapkan syabas kepada anggota Jabatan Amal Kelantan dan Pahang yang korbankan waktu di hari pertama Aidilfitri mengutip sampah yang dibuang pengguna Lebuh Raya Kuala Lipis - Gua Musang.

Mereka memang layak menerima penghargaan. Bayangkan ketika umat Islam bersuka ria bersama keluarga dan sanak-saudara, mereka sanggup luangkan masa keemasan berkhidmat demi masyarakat. Sesungguhnya, mereka antara insan luar biasa.

Sebenarnya, ramai insan di negara ini yang berhati mulia  seperti mereka yang bersedia melakukan kerja sosial dan kebajikan melalui kempen, kembara dan  sumbangan sama ada dari segi barangan, tenaga atau wang ringgit.

Ada juga kumpulan yang bergerak dari bandar ke bandar membersihkan masjid, taman rekreasi, kawasan perumahan dan sebagainya untuk kepentingan masyarakat, tanpa ada agenda tersembunyi untuk kepentingan diri atau politik.

Pendek kata, kalaulah ramai lagi dalam kalangan masyarakat sanggup menyumbangkan sedikit masa dan tenaga untuk kerja kemasyarakatan, bayangkan betapa bersihnya negara kita yang sudah sedia indah ini.

Sedih dan pelik, kita berdisiplin apabila di negara orang, tetapi di negara sendiri, ramai yang culas.

Walaupun masih ramai rakyat kita sedia menyumbang semampunya untuk menjamin kebersihan, tidak kurang yang bukan sahaja tidak menyumbang ke arah kebersihan, malah menjadi penyebab kepada kekotoran.

Mengikut statistik, 37,000 tan sampah dihasilkan di negara ini setiap hari atau 13.5 juta tan setiap tahun. Sampah sebanyak itu adalah seperti 30,000 kapal terbang Airbus A380 diletakkan di satu kawasan.

Perlu disebut, perbelanjaan uruskan sampah sebanyak itu dianggarkan RM2.2 bilion setahun.

Entah banyak mana lagi sampah akan terkumpul jika tiada usaha kitar semula sisa pepejal oleh pihak bertanggungjawab.

Berdasarkan data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), sehingga akhir tahun lalu, lebih 85,000 surat peringatan dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal asingkan sisa pepejal.

Menurut Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (NIOSH) , Tan Sri Lee Lam Thye, di sebalik program transformasi kerajaan yang sering diuar-uarkan, kita masih belum melihat transformasi sikap dan pemikiran di sektor awam dan swasta bagi mewujudkan budaya penyelenggaraan yang berkesan.

Perlu diketahui, di Malaysia, yang mencatat pertumbuhan populasi 2.4 peratus atau 600,000 orang setiap tahun sejak 23 tahun lalu, lebih banyak sampah akan dihasilkan dan ini akan pendekkan jangka hayat tapak pelupusan sampah.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila 113 daripada 289 tapak pelupusan sampah di negara ini didapati tidak lagi beroperasi.

Ini bermakna hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan tapak pelupusan sisa itu diuruskan dengan baik, manakala selebihnya beroperasi secara pembuangan terbuka atau apa yang disebut sebagai ‘open-dumping’.

Ada juga tapak pelupusan yang disambung hayat untuk menampung sampah yang ada, seperti di Sungai Sedu, Banting, yang sepatutnya sudah ditutup.

Mengikut statistik dikeluarkan oleh PPSPPA, 114 tapak pelupusan diuruskan pihak berkuasa tempatan, meliputi 58 tapak pelupusan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, 41 di Sarawak dan 15 di Sabah.

Nampaknya, masanya telah tiba untuk semua pihak berkaitan di negara ini memberi penekanan terhadap pembangunan budaya penyelenggaraan yang baik.

Kita perlu sentiasa ingat dan faham bahawa meningkatkan imej negara bukan tugas pihak berkuasa sahaja, tetapi tanggungjawab setiap rakyat yang cintakan tanah air.

Malaysia mungkin mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik, tetapi daripada apa yang berlaku jelas menunjukkan kita masih tidak berupaya membentuk masyarakat mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Sebagai contoh, pembuangan sampah merata-rata masih menjadi kebiasaan walaupun telah banyak kempen kesedaran dilaksanakan.

Janganlah hendaknya rakyat Malaysia hanya bertungkus-lumus  mencapai kejayaan dan mencari kekayaan tetapi terlupa dengan tanggungjawab sivik.

Moga-moga usaha murni mereka yang sanggup ketepikan kepentingan diri untuk mendidik rakyat erti kebersihan secara sukarela dapat menjadi iktibar kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Tidakkah agama Islam juga mengajar umatnya tentang pentingnya menjaga kebersihan dari segi jasmani dan rohani?

Malah, agama mengajar kita membersihkan diri daripada kemungkaran, termasuk jenayah, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan segala jenis kebatilan.

Oleh itu, marilah kita berganding bahu bagi membersihkan negara yang kita cintai ini daripada segala jenis sampah, termasuk sampah masyarakat.