CUMA setengah bulan sahaja lagi untuk kita semua sambut 2018. Macam biasa, adalah yang tanam azam; antaranya, mahu lebih rajin, cari kerja bergaji lebih, ingin kahwin atau melancong, mahu tingkatkan amalan-amalan baik, berhenti berkongsi berita fitnah dan palsu melalui Facebook dan WhatsApp, tunai haji atau umrah, dan mahu tamatkan tabiat merokok.

Tetapi dengan keadaan kos hidup yang semakin meningkat, ramai yang tentunya tiada mahu fikir sangat pasal perkara yang disebut tadi. Ramai yang fikir belanja dan apa benda nak buat lagi untuk isi perut dan cari sumber pendapatan untuk diri, anak dan isteri.

Yang bijak berjimat akan masak dan makan di rumah dan membeli hanya benda-benda yang perlu. Cuma yang muda-muda, bujang dan sibuk dengan kerjaya atau yang banyak duit akan terus sahaja makan di restoran dan membeli barang-barang yang bukan keperluan.

Biasalah, ramai orang politik tentu tidak sabar-sabar mahu tahu tarikh PRU14 yang wajib diadakan selewat-lewatnya lapan bulan lagi kerana ingin jadi calon pilihan raya atau mahu tengok siapa yang menang dan siapa yang akan tergolek.

Pengundi juga menunggu peluang untuk membuang undi bagi memilih wakil rakyat yang dirasakan layak.

Tetapi yang jelas mengeluh adalah ibu bapa, terutama yang berpendapatan sederhana dan rendah. Macam-macam yang perlu disiapkan; paling penting kumpul wang. Pakaian seragam sekolah anak-anak, buku-buku teks, beg sekolah dan yuran; semua itu perlukan wang.

Dan kini dengan berita terbaharu bahawa tambang bas sekolah akan naik lagi pada sesi persekolahan akan datang, bertambah peninglah ibu bapa, apa lagi yang beranak ramai.

Masa saya kanak-kanak, masalah tambang bas tidak pernah timbul kerana saya dengan kawan-kawan sebaya pukul kaki sahaja sejauh 8 kilometer berulang-alik antara rumah dan sekolah.

Kalau nasib baik, adalah pakcik jiran tumpangkan saya naik basikal. Itu pun mungkin sebulan sekali.

Seronoknya tidak terkira walaupun bertenggek di palang basikal dalam keadaan yang tidak selesa.

Ada dua tiga orang murid yang saya kira daripada keluarga berada dihantar dan dijemput oleh ayah dengan kereta. Ada beberapa kerat bonceng motosikal atau basikal.

Hari ini, mahal atau murah tambangnya, suka atau tidak, ramai murid naik bas sekolah, pertama, kerana perkhidmatan itu wujud di mana-mana kawasan dan kedua, kerana kebanyakan ibu bapa bekerja.

Seperti berlaku beberapa kali pada masa lalu, kadar tambang bas sekolah untuk sesi persekolahan pada tahun hadapan dijangka meningkat antara RM10 dan RM20.

Menurut Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof, kenaikan tersebut tidak boleh dielakkan disebabkan peningkatan pelbagai kos termasuk alat ganti dan penyelenggaraan, yang terpaksa ditanggung pengusaha.

Seperti pihak-pihak lain, harga minyak yang tidak menentu setiap minggu turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi pengusaha terlibat menjadi alasan kenaikan tambang bas sekolah.

“Kita tidak menolak kemungkinan terdapat pengusaha bas sekolah yang akan menaikkan tambang untuk membolehkan mereka terus memberikan perkhidmatan tersebut.

“Selain itu, kita juga menjangkakan akan berlaku kenaikan sebanyak RM10 untuk kawasan luar bandar dan RM20 untuk kawasan bandar,” katanya.

Mengeluh orang kampung dan orang bandar. Perubahan harga minyak setiap minggu, terutama kenaikan, memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

Di merata tempat di seluruh negara kita dengar keluhan ibu bapa dan badan-badan berkaitan yang merayu supaya tambang bas sekolah tidak dinaikkan untuk tidak membebankan rakyat.

Beberapa persatuan ibu bapa dan guru menganggap cadangan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia untuk menaikkan tambang bas sekolah tidak munasabah.

Kata mereka, tanpa kenaikan tambang pun pengusaha bas sekolah sudah boleh membuat untung, kerana pengusaha bas sekolah mempunyai pendapatan tetap setiap bulan dan margin keuntungan yang baik.

Ada yang minta supaya kenaikan tambang itu ditangguhkan kerana ia tidak mengikut peraturan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Menurut mereka, sebarang kenaikan tambang bas sekolah mestilah berdasarkan persetujuan ibu bapa, pengendali bas dan pihak sekolah.

Apa sahaja alasan yang diberikan oleh semua pihak terlibat, yang jadi persoalannya, apakah tambang bas sekolah tetap akan naik pada sesi persekolahan awal tahun depan?

Bagi ibu bapa dan pengguna, sama-samalah kita bersiap sedia untuk menempuh cabaran berterusan pada tahun baharu ini. Wallahuaklam!