ADA beberapa perkara yang saya sangat takut semasa kanak-kanak. Antaranya Pak Let, yang ada beguk sebesar bola takraw di leher, masuk jawi dan hospital.

Pak Let, seorang warga emas yang baik dan suka nasihatkan kanak-kanak jangan merayau-rayau. Tapi saya dengan rakan-rakan sebaya takut kerana saya dengar dia makan orang.

Masuk jawi pun saya takut sebab saya dihidangkan dengan cerita-cerita menggerunkan kononnya tok mudim guna kapak potong si anu. Apa lagi apabila saya pernah tengok kawan saya lari panjat pokok kelapa ketika sedang diarak untuk majlis berkhatan.

Bab hospital tak perlu cakaplah. Macam ramai orang lain, bahkan orang dewasa, saya takut kena injek. Nampak jarum sahaja sudah gementar. Belum jarum menikam isi punggung atau tangan, saya dah jerit bagaikan terserempak dengan jembalang.

Satu lagi, budak-budak kampung yang kurang zat makanan atau yang jenis telan apa sahaja yang lintas, kerap bela cacing kerawit dalam perut.

Doktor akan bagi sejenis ubat rasa coklat. Sejam selepas kunyah, bersedialah... habis semua tujuh atau lapan ekor cacing kerawit sepanjang 1 kaki berlumba-lumba keluar bersama air besar.

Takut atau tidak, Rabu lalu, buat pertama kali dalam hidup saya, saya masuk hospital.

Alkisah, saya tunggang motosikal balik selepas hadir majlis pengenalan perubatan rawatan Islam.Apabila saya brek tiba-tiba motosikal terbalik dan badan saya terhentak di handle.

Motosikal tersentap begitu ketika brek mungkin sebab hujan baru seriat dan jalan sedikit licin. Wallahuaklam! Atas inisiatif beberapa anak muda, keluarga saya dimaklumkan dan ambulan membawa saya ke wad kecemasan.

Pemeriksaan menunjukkan empat tulang rusuk dan tulang bahu patah. Saya dimasukkan ke wad, terlentang atas katil selama tiga hari, terus meraung kesakitan setiap kali diminta gerakkan badan untuk pemeriksaan.

Dalam keadaan PRU14 sudah terlalu hampir, ditambah dengan sikap pelik saya yang tidak suka ambil cuti sakit (MC), kecederaan dan pergerakan yang terbantut buat saya runsing.

Apa lagi saya sudah atur jadual wawancara bersama beberapa calon PRU.

Rekod saya sebagai wartawan yang tidak pernah ambil cuti sakit sejak jadi pemberita 45 tahun lalu, kecuali sehari, pun berkecai. Saya diberi 15 hari MC.

Saya tak berani langgar syarat, melainkan saya bersedia dimarahi anak isteri dan rakan-rakan sepejabat yang prihatin.

Saya pernah cedera di lutut dan tangan akibat dilanggar lori beberapa tahun lalu, tapi 5 jam kemudian sudah pun terkangkang atas kapal terbang untuk buat liputan perdana menteri ke Sabah.

Apabila difikirkan kembali, terfikir pula tentang hikmah yang ada di sebalik kemasukan ke wad dan dapat MC. Pertama, macam kata ramai saudara-mara dan rakan: ‘ALLAH nak bagi peluang untuk awak rehat’.

Ya lah! Tapi saya rasa ada lain lagi daripada hikmah itu. Umpamanya, saya jumpa beberapa orang di hospital yang memberi saya lebih kefahaman tentang pelbagai realiti kehidupan.

Disebabkan ruang yang terhad ini, saya boleh kongsi sedikit daripada kisah-kisah yang saya ikuti dalam tempoh lima hari di wad. Maknanya, apabila mendengar cerita orang,  macam kata peribahasa Cina: “Kamu ingat kamu sudah cukup malang kerana tiada berkasut, sehinggalah kamu berjumpa dengan orang yang tiada berkaki.”

Pesakit di katil sebelah saya seorang peniaga di pasar, bernama Amir (nama samaran), masuk ke wad seminggu sebelum saya.

“Saya kena pukul kerana minta balik RM200 yang saya hutangkan kepada seorang kawan,” katanya.

Menurutnya, pemuda yang pinjam duitnya itu, bersama ayah dan adiknya, belasah Amir dengan pemukul baseball, kayu dan buku lima apabila dia ke rumah mereka di Taman Medan untuk dapatkan kembali RM200 miliknya.

“Saya minta duit saya balik selepas sebulan. Bapa budak itu jemput saya masuk minum. Rupa-rupanya, selepas saya masuk, dia kunci pintu dari dalam dan belasah saya selama lebih sejam,” katanya.

Dia dapat capai kunci, buka pintu dan lari menyelamatkan diri. Bapa saudaranya membawanya ke hospital dalam keadaan tiga suku maut. Tangannya yang patah disimen. Pembedahan dibuat akibat beberapa tulang rusuk yang patah. Amir, 23, keluar dua hari sebelum saya.

Saya juga jumpa Pak Su, yang masuk wad kerana penat buat kali keempat. Dia begitu bersemangat menceritakan dia adalah antara yang terawal tinggal di kawasan kediaman itu.

“Masa itu (60-an) rumah teres di situ saya beli dengan harga RM14,000 saja,” katanya.

Hari ini rumah itu senang-senang boleh dijual dengan harga RM700,000. Dalam keadaan umurnya 80 tahun dan kesihatannya yang tidak menentu, keluarganya terpaksa sembunyi kunci lori.

“Kalau tidak, dia nak terus pandu untuk berniaga,” kata anaknya ketika saya bertanya khabar sebelum dibebaskan dari wad.

Ketika di wad juga saya diziarahi, dihubungi oleh sanak-saudara dan kawan-kawan yang sudah lama tidak bertemu. Jiran-jiran dan jemaah surau tak payah cerita. Ada yang ziarah lebih daripada sekali.

Yang saya akan tetap ingat dan hargai, walaupun sibuk dengan tugas melayan kerenah pesakit yang kepelbagaian, doktor, jururawat di hospital kerajaan masih mampu menguntumkan senyuman.

“Saya tabik kepada mereka. Mereka mampu senyum dalam keadaan sibuk begitu,” kata seorang Datuk yang ziarah saya dua hari lalu.

Kesimpulannya, walaupun bayarannya rendah terus percuma, layanan pihak hospital kerajaan tidak semestinya buruk seperti yang disangka segelintir masyarakat.

Barangkali kerana kemesraan begitu membuat pesakit masuk wad sampai hampir 90 kali dalam tempoh 10 tahun seperti yang pernah saya temui di sebuah hospital kerajaan di utara semenanjung.

Ada tempat, sudahlah bayaran-nya menyeramkan, muka pun seperti cuka. Wallahuaklam!