SAYA sangat sedih tetapi tidak terperanjat apabila diberitahu anak saudara saya, Murniza, meninggal dunia kelmarin.

Sebab itu, apabila adiknya, Fatin, menelefon saya, saya sudah dapat meramalkan apa yang berlaku, walaupun apa yang saya dengar lebih banyak sedu sedan daripada mesej yang mahu disampaikan.

Allahyarham sudah masuk wad sejak lima bulan lalu akibat beberapa komplikasi yang mengehadkan pergerakannya.

Dan sepanjang lima bulan itu, dia ditemani siang malam oleh ibunya, adik saya, dengan dibantu oleh adik-beradik yang lain.

Murniza mula hadapi masalah, pada mulanya, dengan sedikit keadaan komplikasi, berikutan satu kemalangan lebih 20 tahun lalu.

Dia sedang menunggang basikal pada usia 12 tahun apabila dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta.

Dia jatuh, kepalanya terhentak di jalan dan dia dimasukkan ke wad.

Kemalangan itu mengganggu kelancaran pemikirannya.

Namun, sebagai seorang kanak-kanak pintar, dia mampu mengekalkan kepintarannya dan selalu mendapat markah yang tinggi dalam mata pelajarannya.

Hinggalah dia meningkat usia, kepintarannya terus tidak terjejas.

Kalau berjumpa saya, selagi saya sedia melayannya bercakap, dia akan lebih cenderung bertutur dalam bahasa Inggeris dan saya perlu akui, penguasaan bahasa Inggerisnya sangat baik.

Dengan perbendaharaan katanya yang kuat itu, beberapa jiran tidak teragak-agak mendapatkan khidmatnya untuk ajar bahasa Inggeris kepada anak mereka.

Malam kelmarin, jam 10.30, pada usia 37 tahun sahaja, Murniza pergi, tanpa banyak menyusahkan ibu dan adik-beradiknya. Ayahnya, Datuk Halip, meninggal dunia lebih dua tahun lalu.

Menyebut ‘tidak terperanjat’, saya terkenang waktu ayah saya meninggal 27 tahun yang lalu. Moga ALLAH mengumpulkan mereka bersama-sama orang-orang yang soleh dan solehah. Insya-ALLAH.

Pemergian ayah benar-benar memeranjatkan saya.

Ketika saya berlepas ke London untuk menjadi wakil New Straits Times pada 1989, ayah dan ibu menghantar saya ke lapangan terbang di Ipoh.

Hati ibu saya biasanya keras, tapi ketika saya cium tangannya hari itu, ibu menangis...jelas tidak mampu lagi menyembunyikan perasaannya.

“Buat apa menangis. Dia bukan nak pi mati. Dia nak pi kerja. Panjang umur kita, dia balik, jumpalah lagi,” kata ayah dalam loghat utaranya.

Maaf cakap! Saya tahu, ayah saya pun sama sahaja, cuma beliau mampu menangguhkan sedikit ‘ledakan’ perasaannya.

Entah-entah beliau mengalirkan air mata ketika berdoa bersendirian di masjid. Wallahuaklam!

Saya dijadualkan berada di kota metropolitan itu selama 9 bulan.

Selepas lima bulan saya di sana, ayah dan ibu menunaikan haji.

Sekembalinya mereka, ayah mengirim surat, berjanji akan cerita macam-macam pengalamannya ketika di tanah suci.

Tetapi, benarlah kata-kata yang selalu kita dengar: Manusia merancang, ALLAH menentukan.

Tiga bulan sebelum saya kembali, saya menerima panggilan telefon; ayah sudah tiada. Tersepuk saya di sofa apartmen.

Dalam keadaan bersendirian, saya tidak malu menangis sepuas-puas hati.

Kota London terletak 10,299.83 kilometer dari Pulau Pinang.

Saya tidak sempat balik untuk melihat ayah buat kali terakhir; hanya mampu mengimamkan solat ghaib dengan dua sahabat di Malaysia Hall.

Kembali kepada cerita ketika di tanah perkuburan petang semalam, ketika pengebumian anak saudara.

Dalam talkin yang ringkas itu, saya mendengar imam membaca ayat al-Quran bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” (Surah Al-Ankabut ayat 64)

Kata imam, mati itu benar, seksa kubur  benar, alam barzakh itu benar, siratul mustaqim itu benar, syurga itu benar, neraka juga benar.

Saya hanya mampu tunduk, mengesat air mata, memikirkan bila pula giliran saya dikembalikan kepada ALLAH dan apa yang akan mampu saya bentangkan di hadapan Yang Maha Esa!

Saya selalu mendengar bahawa sama ada kita bersedia atau tidak, muda atau tua, miskin atau kaya, raja atau rakyat jelata; sampai detiknya, pergilah kita.

Teringat pula lirik lagu: “Sepo-hon kayu daunnya rimbun, lebat bunganya serta buahnya; walaupun hidup seribu tahun; kalau tak sembahyang apa gunanya!"