BANYAK pihak jadi riuh rendah sebaik sahaja pengumuman dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin, iaitu hari keluar mengundi bagi PRU14 adalah 9 Mei, yang jatuh pada hari Rabu.

Macam-macam pandangan dan anggapan mula disuarakan. Kalangan mereka yang tidak setuju Rabu dipilih sebagai hari keluar undi mengaitkan pemilihan hari itu dengan niat jahat. Yang mempertahankan menunjukkan bukti dengan menyenaraikan hari-hari mengundi yang termasuk hari Rabu, Isnin dan Khamis, sejak PRU diadakan 59 tahun lalu. Wallahualam!

Pada mereka, memilih hari Rabu, iaitu hari kerja ketiga di kebanyakan negeri, adalah cubaan untuk menyusahkan pengundi balik kampung.

Mereka syak hari Rabu sengaja dipilih supaya bilangan pengundi yang sempat keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan kerajaan rendah dan apabila rendah, risiko kalah juga rendah.

Dalam masa singkat sahaja, berlegar-legarlah hadis yang dikaitkan dengan hari Rabu melalui WhatsApp.

Kenapa kali ini jadi sampai begitu mendalam sorotan setengah pihak, sedangkan dalam beberapa PRU yang silam, hari Rabu dan hari-hari lain biasa sahaja dipilih sebagai hari mengundi?

Saya tidak tahu membuat kesimpulan, kecuali balik kepada apa yang saya dengar dan baca, iaitu PRU14 ini adalah PRU paling sengit dalam sejarah Malaysia.

Dalam PRU ini, pembangkang, didorong oleh semangat keputusan yang semakin menyebelahi mereka pada PRU 2008 dan 2013, pastinya bertungkus-lumus untuk menarik pengundi sebanyak mungkin bagi merampas Putrajaya kali ini.

Tentunya BN, sebagai parti memerintah sejak 60 tahun lalu, akan turut mengatur strategi sebaik termampu untuk kekal sebagai pemerintah.

Mengaku atau tidak, kemunculan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di saf hadapan di medan perjuangan pembangkang menjadi igauan yang paling mengerikan kepada parti yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak.

Maka, tidaklah hairan apa sahaja perkara yang boleh dijadikan isu bagi mempengaruhi pengundi akan digunakan semaksimum yang mungkin.

Dari segi pemilihan Rabu sebagai hari buang undi, izinkan saya turunkan sebuah hadis bermaksud:

“Dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai hari Rabu. Maka Baginda menjawab: Hari Rabu adalah hari bencana yang berterusan kerana pada hari itu, ALLAH menenggelamkan Firaun dan kaumnya, memusnahkan kaum Aad dan Tsamud, iaitu kaum Nabi Salleh AS yang ingkar kepadanya.

Ada beberapa peristiwa yang dikatakan berlaku pada hari Rabu di zaman dahulu kala yang dikaitkan dengan nabi-nabi.

Terdapat kisah bahawa ALLAH telah membinasakan tujuh kaum kafir dengan tujuh macam azab pada hari Rabu.

Pertama, Auj bin Unuq yang dibinasakan dengan burung hud hud. Kedua, Qarun dibenamkan ke dalam tanah. Ketiga, Firaun dan bala tenteranya ditenggelamkan di Sungai Nil. Keempatm Namrud dibinasakan dengan nyamuk yang masuk telinganya. Kelima: Kaum Luth dibinasakan dengan batu. Keenam: Syidad bin Aad dibinasakan dengan suara jeritan Jibril AS dan ketujuh, kaum Aad dibinasakan dengan angin yang kencang.  

Dikatakan, ALLAH menurunkan 320,000 bala setiap tahun, terutama pada hari Rabu di akhir bulan Safar. Wallahuaklam!

Sehubungan itu, terdapat juga maklumat berkaitan perawi hadis berkaitan.

Dikatakan dalam rantaian periwayat hadis itu, terdapat seorang perawi bernama Abu al-Akhyal Khalid bin Amr al-Himsi.

Menurut seorang tokoh hadis, Ibn Adi dalam kitabnya al-Kamil fi Dhuafa’ al-RiRizal: “Dia meriwayatkan  hadis-hadis yang mungkar daripada orang yang dipercayai.

Jaafar al-Faryabi pula berkata: Aku telah melihatAbu al-Akhyal ini di  Hims namun aku tidak menulis  daripadanya kerana dia berdusta.

Imam al-Daruqutni puyla berkata: “Dia lemah”.

Berdasarkan rujukan daripada berapa kitab, termasuk Tahzib al-Tahzib oleh Ibn Hajar al-Asqalani, tokoh hadis telah mengklasifikasikan hadis berkenaan sebagai terlalu lemah.

Saya difahamkan, dari segi nilai sanad, hadis dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu hadis sahih, hasan, dan daif.

Juga terdapat hadis Qudsi. Ia adalah berita daripada ALLAH kepada Rasulullah SAW melalui ilham atau mimpi. Rasulullah kemudian menyampaikan mesej tersebut melalui ungkapan Baginda sendiri.

Akhir kalam, dari segi kupasannya, saya dengan hati terbuka menyerahkan kepada pakar-pakar bidang berkenaan untuk memberi penjelasan yang saya percaya banyak pihak sangat berminat mengikutinya secara terperinci. Wallahualam!