MEMANG tepatlah dakwaan beberapa pihak bahawa di Malaysia ini kempen pilihan raya berjalan 365 hari setahun.

Apabila selesai sahaja proses kira undi PRU14, malah sebelum  kerajaan baharu dapat ditentukan, orang politik dan rakyat riuh-rendah mengenai apa yang betul dan apa yang silap.

Hari ni, seminggu selepas kerajaan baharu ambil alih pentadbiran negara, macam-macam tuduhan, kritikan, kecaman dan andaian sudah berlegar, terutama di media sosial.

Rakaman video tentang janji-janji dalam manifesto, terutama mengenai isu-isu yang dekat dengan hati rakyat, seperti harga minyak, tol lebuh raya, dan cukai, sudah mula ditular.

Kritikan dan tuduhan yang dihadapi oleh kerajaan lepas sudah mula dilempar kepada kerajaan yang menggantikannya.

Sudah ada cerita Sultan Brunei menyumbangkan ASD1 juta kepada Pakatan Harapan ketika bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin. Ia segera dinafikan.

Juga terdapat, antaranya, video menunjukkan pemimpin parti berjanji GST akan dimansuhkan dan harga petrol akan diturunkan di hari kedua kerajaan baharu ditubuhkan juga sedang ditular di media sosial.

Semasa menyiapkan coretan ini saya belum dimaklumkan apakah ia fakta atau auta.

Yang pasti kalau ia fitnah atau tuduhan dibuat tanpa usul periksa bersedialah si pemfitnah menanggung dosa dan dan kemungkinan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Apakah ia dibuat oleh musuh luar atau yang berada dalam selimut pun saya belum pasti. Tetapi bagi saya, fakta atau auta, dakwaan begini membantu membentuk proses ‘check and balance’ yang baik.

Kritikan yang berterusan sama ada dibuat dengan niat membina atau merosakkan, jujur atau kerana dendam, semuanya baik bagi kerajaan sedia ada, dari satu aspek.

Ia akan dan patut meletakkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan semua pihak berkaitan sentiasa berada dalam mode berjaga-jaga dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Yang sangat-sangat utama bagi saya dan tentunya bagi keseluruhan rakyat adalah bukan sahaja ia dapat mengelak ketirisan, penyelewengan, unsur rasuah, penipuan, kecurian dan salah guna kuasa seperti yang berlaku di merata pelosok dunia, tetapi lebih daripada itu, untung untuk rakyat kini dan generasi masa depan.

Inilah proses yang sangat baik kepada sesebuah negara. Ia juga satu hikmah apabila tahap kemenangan satu parti di atas satu parti yang lain tidak keterlaluan.

Apabila kemenangan yang dicapai oleh sesuatu parti terlalu hebat dan bergaya, pemimpin dan ahli parti itu dikhuatiri naik tocang, hidung tinggi dan lupa daratan.

Dalam keadaan demikian, akan muncullah golongan dan individu tamak seperti Kassim Baba dan Qarun.

Namun apabila mereka sekadar ‘cukup makan’ parti yang menang akan selalu sedar diri, tidak bongkak dan cuai dalam memenuhi janji yang dibuat kepada rakyat.

Dr Mahathir pun sudah memberi kebebasan kepada media untuk laporkan apa sahaja, termasuk yang kerajaan tak suka dengar, asalkan tidak bertujuan mencetuskan huru-hara dan menjejaskan ketenteraman awam.

Tahniah kepada rakyat Malaysia yang bijak mencaturkan perancangan terbaik untuk negara kita.

Tahniah kepada mereka yang prihatin dan bersedia untuk terus jadi watchdog dan whistleblower bagi menjamin kerajaan baharu ini melayan baik rakyat yang cintakan negara ini.

Lima tahun adalah suatu tempoh yang sangat singkat. Tiada yang mustahil. Sejarah boleh berulang. Rakyat kita semakin bijak.

Mereka sentiasa memantau dan membuat penilaian terhadap kerajaan, menteri-menteri, orang politik dan pegawai-pegawai.

Sejarah membuktikan rakyat kita sangat baik kecuali mereka rasa mereka terus-menerus ditindas dan diperlekehkan.

Gajah dengan gajah boleh terus bergaduh kalau perlu, tetapi tentukan pelanduk tidak mati di tengah-tengah.